SharpShooter Followers

Monday, August 29, 2011

Perutusan Aidilfitri MB Selangor

PERUTUSAN 'AIDILFITRI 1432H

TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM

DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil-hamd.

1) Syukur kepada Allah subhanahu wata'ala kerana dengan izin-Nya kita semua masih dikurniakan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sempena 1 Syawal 1432 Hijrah.

Marilah kita memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah subhanahu wata'ala.

2) Ketibaan 1 Syawal ini bererti tamatlah sudah sebulan kita semua menjalani ibadah puasa dan sejumlah amalan lain sempena bulan Ramadhan. Sesungguhnya bulan Ramadhan mempunyai pelbagai kelebihan dan kita dituntut memanfaatkannya.

3) Berakhirnya Ramadhan sering disambut dengan kesedihan oleh para sahabat radiallahu anhum.

Bagaimanapun, Rasulullah sallahu 'alaihi wassalam bersabda bahawa 'Aidilfitri adalah satu daripada Hari Perayaan yang lebih baik dikurniakan Allah subhanahu wata'ala bagi menggantikan perayaan masyarakat sebelum kedatangan Islam.

Maka, ia perlu disambut dengan syukur dan gembira.

4) Justeru, marilah kita merayakan 'Aidilfitri ini secara sederhana. Seperti kebiasaan, kita akan bersama di masjid membesarkan Allah subhanahu wata'ala, menunaikan solat sunat 'Aidilfitri dan seterusnya bermaafan sesama kita di samping amalan ziarah ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan kenalan.

Ambillah peluang ini untuk saling bertanya khabar dan mengeratkan tali silaturrahim. 

5) Di samping itu, janganlah kita lupa mengenangkan mereka yang tidak bernasib baik. Selain daripada zakat fitrah yang diberikan, bantuan lain juga boleh dihulur untuk meringankan beban keperluan mereka.

6) Sesungguhnya sambutan Aidilfitri mempunyai makna besar tentang hubungan sesama makhluk dan Allah subhanahu wa taala, Tuhan yang Maha Pencipta. Di samping amalan berpuasa sunat selama enam hari yang digalakkan sepanjang Syawal, marilah kita merenung apakah ertinya perayaan ini jika madrasah Ramadhan yang telah kita ikuti tidak berjaya menyuntik keinsafan kepada kita tentang kebesaran Allah subhanahu wata'ala serta mengeratkan hubungan sesama kita melalui sikap adil, berkasih-sayang dan saling membantu.

Muslimin dan muslimat yang dihormati,

8) Meskipun 'Aidilfitri ini disambut khusus oleh penganut agama Islam, itu tidaklah menjadikan kita bersikap eksklusif. Maka, ambillah peluang ini untuk kita berkongsi pengetahuan tentang hal ehwal yang dituntut oleh agama Islam daripada penganutnya. Semoga dengan pemahaman ini akan menggalakkan sikap tolak ansur serta keakraban kemanusiaan sesama kita.

9) Di samping itu, kita mesti memperbetulkan banyak salah faham penganut agama Islam yang melihat orang bukan Islam sebagai ancaman, malah mengambil sikap bermusuh. Semua ini hanya akan memberikan imej negatif kepada ajaran Islam yang mendokong keadilan untuk semua.

Sesungguhnya usaha memecah-belahkan masyarakat dengan alasan tidak benar adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

10) Bagi mereka yang bercuti dan memandu untuk pulang ke kampung, pastikanlah anda telah memperolehi kadar rehat yang cukup serta kenderaan anda sudah diperiksa dan sesuai digunakan dengan selamat. Pandulah dengan cermat dan tidak terburu-buru. Semoga perayaan 'Aidilfitri kali ini dapat disambut dengan jiwa yang bermuhasabah dan penuh ceria.

11) Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput seluruh rakyat di negeri Selangor menghadiri jamuan rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Dataran SUK, Shah Alam, pada tanggal 1 Syawal bermula jam 11 pagi.

12) Akhir kata, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin daripada anda semua serta mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh penganut agama Islam khususnya rakyat di negeri Selangor Darul Ehsan.

Sekian.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil-hamd

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone