SharpShooter Followers

Monday, August 22, 2011

YB Law dan YB Ong isytihar perang

Yb Law Choo Kiang Exco Asas Tani dan Yb Ong Chin Wen Adun Bukit Tengah isytihar perang terhadap masalah bau busuk, selain pertambahan jumlah lalat menjadi beban kepada penternak yang mengusahakan ladang ayam.

Justeru, bagi mengurangkan masalah yang dihadapi, Jabatan Veterinar Negeri mengambil inisiatif dengan memperkenalkan satu kaedah baru sebagai alternatif mengurangkan masalah yang dihadapi seterusnya, mengurangkan aduan daripada orang ramai.

Penggunaan enzim dan Useful Mikro Active Solution (Umas) yang diuji penggunaannya secara berperingkat di tiga ladang ternakan ayam di Juru Estate, dekat sini, semakin menampakkan hasil apabila ia berjaya mengurangkan bau najis dan juga lalat.

Penolong Pegawai Veterinar Negeri, Noor Aisha Wani Azmi Ismail berkata, walaupun kaedah tersebut baru mula digunakan sepenuhnya Januari lalu dan dalam tempoh percubaan, namun ia menampakkan respon positif dari masyarakat.

Buktinya, aduan yang diterima selepas Tahun Baru Cina lalu hanya satu, berbanding purata empat ke lima aduan sebulan yang diterima sebelum ini.

“Enzim yang digunakan untuk projek ini adalah ekstrak Migroorganisma Efektif (EM) yang diambil dari ekstrak buah-buahan. Ia dibekalkan oleh sebuah syarikat konsultan yang dilantik pihak jabatan.

“Enzim ini digunakan secara minuman, manakala Umas disembur ke atas najis dan turut digunakan untuk membasuh reban dengan masa tindak balas sekitar tempoh seminggu selepas digunakan. Begitupun, ia perlu digunakan secara konsisten untuk menampakkan kesan.

“Sejak ia dimulakan Januari lalu sehingga Februari, respon yang diterima dari orang ramai amat menggalakkan. Aduan terakhir diterima selepas Tahun Baru Cina lalu, dan sehingga kini kita belum menerima aduan mengenai bau busuk dan lalat oleh orang awam,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, disamping disamping bau busuk kurang, kaedah itu juga dilihat telah mengurangkan indeks lalat daripada 42 kepada 10 hingga 15 sahaja.

Katanya, selepas dari kesan positif yang ditunjukkan, awal Mac lalu pihaknya mula menyakinkan penternak untuk menaik taraf sistem perparitan, disamping menggantikan lantai tanah dengan simen di ladang masing-masing, yang mana ia adalah salah satu cara untuk mengurangkan jumlah lalat.

“Kita masih dalam proses untuk melihat tahap keberkesanan penggunaannya dan jika berjaya, ia dapat diperluaskan kepada lebih 400 penternak ayam di negeri ini. Begitupun, kita tidak mempunyai kuasa untuk memaksa mereka menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, Ecxo Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang ketika mengunjungi salah satu ladang ternakan ayam dekat sini, berkata, usaha yang sedang dilakukan itu merupakan projek permulaan di bawah plan tindakan dalam usaha untuk memerangi lalat, selain mengurangkan pencemaran bau.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan kini berjuang ke arah sebuah negeri yang bersih dan hijau, adalah perlu satu tindakan diambil dalam mencari jalan untuk membantu penternak untuk mengurangkan masalah yang dihadapi.

Justeru itu, katanya, satu jawatankuasa tindakan bersepadu ditubuhkan dan tempoh masa enam bulan diberikan untuk melihat hasil daripada projek yang dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri amat memandang serius isu berkaitan pencemaran ini. Dan, bermula April hingga September, kita akan memantau ladang-ladang ternakan ini dan melihat sejauh mana keberkesanan projek dalam mengurangkan pencemaran dan lalat.

“Selain Jabatan Veterinar, agensi yang terlibat dalam projek ini adalah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Disamping itu, jika sesebuah ladang itu berdekatan dengan kawasan industri, maka ia juga akan diletakkan juga di dalam senarai bagi memastikan ladang itu sentiasa dijaga dengan rapi,” katanya.

Hadir sama pada lawatan berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen.

Beliau berkata, tindakan saman akan terus dikenakan kepada pemilik ladang yan gagal mematuhi syarat yang terkandung dalam permit.

Namun, jelasnya, jika ia masih gagal, maka tindakan lebih tegas akan diambil iaitu dengan menghentikan sementara operasi ladang sehinggalah mereka mematuhi syarat tersebut.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi kesedaran kepada pemilik untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mahu mereka lebih berdisiplin.

“Dalam tempoh enam bulan itu juga kita akan lihat adakah kaedah penggunaan enzim dan Umas itu berkesan sepenuhnya dalam mengurangkan indeks lalat.

“Jika berkesan, kita akan teruskan. Jika tidak pun kita akan teruskan juga, tetapi kajian perlu dilakukan mengenalpasti punca, seterusnya menambah baik kaedah agar ia dapat menjayakan apa yang dirancang,” katanya.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/