SharpShooter Followers

Friday, August 12, 2011

Kenyataan Media Exco Hal Ehwal Agama Islam P.Pinang isu pembesar suara sebelum Subuh..

Kenyataan Media

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang

YB Abdul Malik Kassim, 12 Ogos 2011

PIMPINAN KERAJAAN NEGERI TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAJLIS FATWA NEGERI BERHUBUNG ISU LARANGAN PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH

Pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Sahibul Samahah Datuk Seri Haji Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulamak, professional agama, serta wakil daripada istana.

Saya hanya mengetahui keputusan Majlis Fatwa berhubung larangan menggunakan pembesar suara sebelum subuh, berdasarkan laporan akhbar yang disiarkan pada hari ini.
Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.

Namun begitu, kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang  bil. 2/2011  yang bersidang  pada 7 April 2011, mengenai  hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara.

Mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011, yang dipengerusikan Mufti Negeri Pulau Pinang kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid
sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut Hukum Syara'. 

Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh
mempertimbangkan sama ada  mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya,  setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.

Sungguhpun begitu, sebagai pentadbir institusi agama, mereka sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah.  Ini berdasarkan hadis dan dalil yang berkaitan, bermaksud…

"Daripada Abi Sa'id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat."    ( sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis)
Keputusan tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk  tindakan selanjutnya.

Saya yakin, demi kepentingan politik sempit pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan majlis fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.

Dalam semangat  Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.

Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone