KOTA BHARU, 3 Ogos: Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kini dianggap tergolong dalam kelompok pemimpin yang dianggap semakin banyak bercakap tambah dibenci orang. Kedudukannya kini dikatakan sebaris dengan anggota parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan anggota parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Ramai menganggap mereka sedang menghabis sisa-sisa usia sebagai anggota parlimen kerana mengkhianati mandat rakyat. Seorang pengundi di Bayam Baru ketika dihubungi berkata, kepimpinan Zahrain kini tidak lagi diterima rakyat yang pernah mengundinya pada pilihan raya umum lalu. Beliau yang enggan dikenali berkata, pengundi Bayam Baru hanya menanti masa untuk menghukum pemimpin yang tiada prinsip seperti Zahrain. Bekas Adun Wakaf Bharu, Ramli Abu Bakar berkata, kelompok tiga pemimpin terbabit (Trio Bebas) itu tidak perlu dilayan kerana orang ramai sudah tahu keperibadian mereka. ”Bagi saya apa pun tomahan yang dilemparkan tidak perlu dijawab kerana keperibadian mereka sendiri dipertikaikan. ”Orang yang tidak ada prinsip perjuangan hanya menunggu masa sahaja untuk berakhir dari pentas politik,” katanya sebagai mengulas cabaran Zahrain terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anggota parlimen tanpa parti di Bayam Baru hari ini dilaporkan mahu Menteri Besar Kelantan menafikan secara terbuka pembabitannya dalam pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi melantiknya sebagai Ketua Pembangkang. Ramli berkata, kenyataan yang dikeluarkan seseorang pemimpin yang tiada prinsip perjuangan dianggap membazir masa kalau dilayan. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Zahrain dianggap ahli politik yang tidak berkredibiliti. ”Rekod membuktikannya telah banyak kali membuat dakwaan kosong yang akhirnya tidak dapat dibuktikan. “Antaranya dia pernah mendakwa beberapa ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat ketika rancangan mengambil alih kerajaan pada 2 September 2008. “Ini termasuk anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin serta ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya di sini. Selain itu, Zahrain pernah membuat dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menjayakan rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008. Ahmad Fadhli berkata, banyak kenyataan Zahrain tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini. Oleh itu katanya, Pemuda PAS Kelantan mencabar anggota parlimen Bebas itu membuktikan dakwaannya terlebih dahulu dan bukan hanya sekadar menjaja cerita kedai kopi. ”Semua orang tahu siapa Zahrain esok akan datang pula dakwaan baru pula semata-mata bagi memanjangkan hayat politiknya,” ujarnya. Beliau juga menasihatkan pemimpin terbabit menghormati Ramadan supaya tidak dicemari dengan pembohongan dan dikhuatiri puasa hanya letih dan dahaga tanpa pahala. |