Mengikut statistik Jabatan Perangakaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang adalah 1, 609, 000 orang dan mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini; 676, 900 (42.06%) orang Melayu dan 658, 700 (40.93%) orang Cina dan selebihnya 155, 600 orang India dan 118, 700 etnik lain – lain. Maka, label bahawa Pulau Pinang adalah negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai. Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir seimbang tetapi secara geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.
Mac 2008 menyaksikan antara tsunami politik terbesar berlaku di Pulau Pinang. Jika pada Pilihan Raya Umum 2004, Barisan Nasional dengan selesa memenangi 38 kerusi DUN, tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi 19 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sembilan kerusi dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) satu kerusi manakala Barisan Nasional melalui UMNO sekadar memenangi 11 kerusi.
Keputusan ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pad Pilihan Raya Umum 1969 dengan memilih Parti Gerakan.
Keputusan ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pad Pilihan Raya Umum 1969 dengan memilih Parti Gerakan.
Saat Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti cauvinis Cina diapi – apikan di kalangan orang Melayu. Secara tiba – tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.
Walhal, kita semua sedia maklum, UMNO pernah menerajui kerajaan negeri bukan hanya selepas merdeka bahkan selepas 1969 pun, UMNO berada di tampuk kuasa. Maka dimanakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan pimpinan UMNO ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan pembelaan dan idea – idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari segi politik mahupun sosioekonomi? Mengapa pengkhianatan yang dibalas atas kepercayaan setiap rakyat kepada mereka dahulu?
Amat malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah - olah ianya bermula hanya selepas Pakatan Rakyat memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional. Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu (terutamanya di Tanjung) tergadai lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup. Umno bukan saja gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas agenda ketuanan Melayu.
Namun, sejak 2008, Pakatan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, telah melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini. Antaranya menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairiat kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.
Hakikat yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya lebih terjamin semenjak Pakatan Rakyat memerintah. Program - program ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini bukan lagi rahsia atau retorik kosong semata - mata. Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak Pakatan Rakyat memerintah.
Menjelang Pilihan Raya Umum 13 yang semakin hampir, parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan, masih lagi gagal untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu di negeri ini. Krisis kepimpinan yang dihadapi komponen Barisan Nasional nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini.
Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini. Kenyataan Dato' Zainal Abidin (pengerusi perhubungan Umno negeri) bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.
Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini. Kenyataan Dato' Zainal Abidin (pengerusi perhubungan Umno negeri) bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.
Maka, realiti politik orang Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan adalah untuk tidak lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri. Sudah tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada Keadilan dan PAS. Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili orang Melayu.
Orang Melayu harus sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama. Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura - pura. Pemimpin Melayu yang progresif,, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin yang kita perlukan di saat ini. Moga sosok pemimpin ini mampu membawa pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak - anak negeri ini.
oleh Dr Afif Bahrdin