Menurut Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, beliau adalah salah seorang mangsa amukan itu yang didakwa dipukul lebih 50 anggota polis lewat petang Sabtu lalu.
Katanya, ketika beliau dipukul bertalu-talu, polis yang memukulnya itu mendakwa ada anggota polis meninggal dunia dipukul peserta Bersih 3.0.
"Antara yang mereka kata ada anggota polis mati kena pukul oleh demonstran.
Polis termakan hasutan ini sehingga bertindak di luar kewarasan," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini berhubung kekerasan pihak polis terhadapnya.
Dalam laporan itu, Chegu Bard mendakwa dipukul ketika berada di kawasan Jalan Masjid India kira-kira jam 7 petang.
Ketika itu, beliau dan seorang lagi rakannya Sany sedang melihat anggota polis merosakkan dan menterbalikkan meja gerai peniaga yang ditutup di situ.
Tiba-tiba katanya, 10 anggota polis meluru ke arah mereka berdua dan terus memukul mereka tanpa bertanya apa-apa.
"Saya dipukul beberapa kali, kemudian diheret ke Jalan TAR dan dipukul lagi oleh anggota polis yang pakai uniform tapi tiada nombor polis atau tanda nama," katanya.
"Kemudian saya dibawa ke tempat kepungan di Dataran Merdeka dan di situ lebih teruk saya kena pukul. Saya muntah, telinga berdarah, hidung berdarah sampai saya tak larat dah.
"Kemudian datang dua orang pegang dan dirikan saya. Seorang anggota polis datang terus flying kick dada saya," tambahnya lagi.
Menurutnya juga, kepalanya turut berdarah dipercayai dipukul menggunakan objek keras.
Dalam keadaan separa sedar itu juga ujarnya, beliau dapat merasakan poketnya diseluk dan hanya menyedari duitnya lebih RM200 hilang ketika dibawa naik ke atas trak.
"Saya merayu, saya mintak maaf, tapi saya seperti bercakap kepada orang yang langsung tidak ada pertimbangan.
"Saya ingin bagitahu kepada anggota polis, kami bukan memusuhi kamu. Kamu juga adalah mangsa kepada keadaan ketakutan Umno BN," katanya. -HD
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone