SharpShooter Followers


Thursday, May 31, 2012

Mengapa projek 6 billion menjadi keutamaan? Ada udang sebalik batu ke?

Kerajaan Negeri Selangor yakin semua pihak bersetuju air mentah di Selangor lebih dari mencukupi untuk keperluan pengguna meskipun ada pihak yang mengatakan empangan kita hampir kering.

Sepertimana yang disahkan oleh Lembaga Urusan Air Negeri Selangor (LUAS) minggu lepas, kesemua tujuh buah empangan di Selangor berada dalam tahap memuaskan.

Saya seterusnya bawa perbincangan ke fasa 2 iaitu isu air terawat. Dalam isu ini, dua orang Menteri Persekutuan telah mendakwa Selangor akan menghadapi masalah bekalan air terawat jika Loji Langat 2 tidak dibina secepat mungkin.

Projek Langat 2 yang dikatakan bernilai lebih RM6 billion ini bukan sahaja melibatkan loji rawatan air tetapi juga terowong penyaluran air mentah dari Negeri Pahang. Air mentah ini akan dibayar sebanyak 10sen setiap liter padu.

Saya mempersoalkan pendirian ini kerana jika air mentah di Selangor mencukupi dan masalah kita yang ada adalah air terawat; mengapakah kita perlu membina terowong untuk mendapatkan air mentah dari Pahang?

Bukankan lebih praktikal dan jimat jika kita hanya membina loji rawatan air (water treatment plant) berdekatan dengan empangan yang sedia ada?

Dalam memperkatakan isu air terawat, kita juga perlu mengkaji kos dan kecekapan operasi di loji rawatan air yang sedia ada.

Terdapat 33 loji rawatan air di Selangor dan 29 daripadanya dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor tetapi diurus oleh Puncak Niaga Sdn Bhd. Dalam satu laporan yang disediakan oleh Enrico terhadap 29 loji rawatan, kesemua loji tidak beroperasi secara optimum manakala 18 dari mereka (62.07%) memerlukan penambahbaikan.

Empat lagi Loji rawatan dimiliki oleh syarikat konsesi dan salah satu daripadanya adalah loji rawatan air Sungai Selangor 2 (SSP2) milik Puncak Niaga – salah satu loji rawatan air termahal di dunia pada harga RM1.3billion untuk kapasiti 950 mld (juta liter sehari).

Di sini jelas menunjukkan jika kita mahu memperbaiki hasil air bersih; satu kajian yang menyeluruh perlu dibuat ke atas semua loji rawatan yang sedia ada bagi memastikan mereka beroperasi secara optimum.

Jelas pengurusan loji rawatan oleh syarikat konsesi perlu disoal keberkesanannya kerana setelah 8 tahun mereka mengurus, loji rawatan ini masih tidak boleh beroperasi secara optimum.

Satu lagi isu yang perlu diberi keutamaan adalah kadar non-revenue water dimana sekarang berada dalam paras 33%. Dalam pengurusan air yang cekap, tahap NRW adalah pada 10% kebawah. Di Selangor, jika kita boleh kurang 15% dari masalah NRW, kita dapat selamatkan 222.4 mld dari dibazirkan begitu sahaja.

Ini bermakna, Selangor tidak akan menghadapi apa-apa masalah bekalan pada 10 tahun akan datang tanpa berbuat apa-apa.

Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri menggesa agar proses penyusunan semula industri air Selangor diselesaikan seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 yang boleh menyelesaikan semua isu: bekalan air mentah dan air bersih, pengurusan loji rawatan, pembaikan paip-paip air dan NRW.

Ini akan membolehkan Kerajaan Negeri sendiri memastikan segara urusan penghasilan dan pembekalan air menjadi lebih berkesan serta memastikan tarif air yang munasabah.

Kesimpulannya projek Langat 2 bukan jawapan bagi menyelesaikan masalah air di Selangor. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor Barisan Nasional sebelum ini gagal mengkaji keseluruhan aspek permasaalahan yang sebenar sebelum membuat keputusan membina projek Langat 2 yang saya kira antara matlamatnya adalah memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.

Kerajaan Negeri komited dalam menyelesaikan proses penyusunan semula industri air Selangor yang akan memastikan hak rakyat dalam isu pembekalan air sentiasa terjaga.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Dato Menteri Besar Selangor



Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone