SharpShooter Followers

Tuesday, October 06, 2009

YB Ustaz Salleh Man pilihan Yang Dipertua MAIPP

PAS Pulau Pinang tetap ingin mencadangkan pesuruhjayanya Mohd Salleh Man bagi mengisi jawatan yang dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang kosong Disember ini.

Jawatan tersebut kini disandang ADUN Umno, Shahabudin Yahya, yang juga setiausaha politik menteri bagi urusan agama Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

"Kita berpegang kepada keputusan terakhir kita, kerana kompromi tidak berlaku. Jadi kita menerima tamat kontrak beliau bulan Disember ini.

"Pakatan bersetuju kerusi itu diberikan kepada PAS. Kerusi itu milik PAS," kata Timbalan I Pesuruhjaya PAS negeri Mujahid Yusof kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas perebutan jawatan tersebut antara Mohd Salleh dengan bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Ellias Zakaria yang dilaporkan akan mengetuai MAIPP.

Dihubungi hari ini, Mujahid berkata tuntutan Pakatan Rakyat untuk Shahabudin meletakkan jawatan sejak mengambil alih teraju kepimpinan negeri mulai Mac tahun lalu telah gagal.

Dalam perbincangan antara kerajaan baru dengan ADUN Pengkalan Berangan, Mujahid mendakwa Shahabudin bersedia meletakkan jawatan sekiranya ia tidak diisi dengan orang politik, sebaliknya seorang pemimpin NGO.

"Oleh kerana jawatan tersebut lantikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, maka kita ambil jalan tengah, setuju beliau memegang jawatan sehingga bulan Disember 2009.

"Atas kepentingan orang ramai, kita terima cadangannya. Tetapi peletakkan (jawatan Shahabudin) itu tidak berlaku," katanya.

Menurut Mujahid, PAS dan Pakatan mempersoalkan janji Shahabudin dan beliau yang juga ahli parlimen Parit Buntar tidak mengetahui mengapa wakil rakyat Umno itu tidak mahu melepaskan jawatannya.

Sehubungan itu, Majlis Pakatan Rakyat Pulau Pinang berbincang semula mengenai perkara tersebut - sebelum pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu - dan menganggap keputusan perbincangan dengan Shahabudin telah terbatal.

"Dengan itu, Majlis Pakatan bersetuju untuk melantik Mohd Salleh mengetuai majlis tersebut," katanya.

Pelantikan pesuruhjaya itu sebagai yang dipertua baru MAIPP dipersetujui mesyuarat exco kerajaan negeri sehari selepas kemenanganya, 25 Ogos.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/