SharpShooter Followers

Saturday, October 17, 2009

Isu Zaid - Azmin - Pengajaran buat Anwar

Datuk Zaid Ibrahim hari ini membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.

"Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti," kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.

Zaid, yang baru mengumumkan penyertaannya bersama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada Jun lalu, dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Naib Presiden PKR Azmin Ali.

Beliau, yang juga ahli parlimen Gombak, dilaporkan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah esok - berselinding di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri - untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadapnya, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Dalam satu mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu, Azmin (kiri) didakwa melepaskan kemarahannya terhadap bantahan ketua-ketua bahagian di Sabah sehingga Anwar sendiri sukar menenangkannya.

Dalam kenyataannya hari ini, Zaid bagaimanapun menafikan pembabitannya dengan isu kepemimpinan parti itu di Sabah dan Sarawak seperti dilaporkan Malaysiakini sebelumnya.

"Saya diundang menghadiri perhimpunan dan majlis Hari Raya anjuran pemimpin PKR untuk bertemu dengan ahli-ahli, yang saya sudah menerima pelawaan itu.

"Begitu juga saya turut diundang bertemu beberapa pemimpin Sarawak di Kuching. Saya tidak nampak sebarang niat buruk dalam undangan-undangan ini," katanya.

"Saya tidak apa-apa kepentingan dalam politik dalaman PKR atau parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Saya juga tidak berminat mengambil peranan kepemimpinan dalam PKR.

"Saya telah jelaskan perkara ini sejelas-jelasnya kepada Anwar sewaktu saya menyertai parti ini."

Selepas Azmin tidak senang dengan kehadiran Zaid di majlis berkenaan, Anwar pula menghalang bekas senator itu menghadirinya.

Tindakannya bercuti membolehkan beliau keluar daripada arahan pemimpin besar PKR itu.

Pada pendapat saya, isu sebenar tidaklah besar mana pun, tetapi inilah akibatnya bila Anwar terlalu yakin dan percaya pada bekas2 menteri yang join PKR selepas PRU 12.

Kesilapan Anwar bila menempatkan mereka ini pada jawatan yang tinggi. Mereka ini tidak mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka ini saya nampak lebih mempunyai kepentingan dan kedudukan.

Jika mereka (bekas menteri atau pemimpin besar) yang masuk PKR selepas PRU 12, apa salahnya letak mereka di peringkat Cabang atau Ranting (Bahagian atau Cawangan) sahaja. Kenapa nak letakkan mereka di peringkat Pusat?

Sepatutnya letak mereka ini di peringkat Cabang atau Ranting sahaja. Biar mereka bermula dari bawah dan kita tengok berapa ramai pengikut dan pengaruh mereka yang boleh ikut sama masuk PKR? Semua yang masuk PKR selepas PRU 12 adalah mereka-mereka yang bermasalah dalam parti lama mereka.

PKR dilihat ibarat parti tong sampah sebab menerima sesiapa sahaja tanpa ada syarat tertentu. Kalau mereka ini ahli biasa parti lama mereka tidak mengapa tetapi jika mereka ini adalah bekas pimpinan tinggi dalam parti lama mereka, syarat tertentu perlu terhadap mereka.

Bayangkan jika mereka ini (bekas menteri atau pimpinan besar) yang masuk PKR selepas PRU 12 dan keluar beramai-ramai pula bila menjelang PRU 13 kerana mendapat 'offer' yang tinggi dari BN? Tidakkah ini akan menjatuhkan imej PKR?

Inilah hakikat sebenar PKR adakalanya saya lihat bukan lagi sebagai sebuah Parti Perjuangan yang menuntut keadilan. Tetapi PKR juga adakalanya macam bukan lagi Parti Keadilan Rakyat tetapi macam parti Anwar Ibrahim.

Sepatutnya PKR kena kembali ke perjuangan asal. PKR harus meletakkan identitinya yang tersendiri. Apa guna jika ramai ahli barunya yang berduyun-duyun masuk selepas PRU 12 tetapi umpama buih di lautan.

Kepada Zaid...kalau takut dipukul badai...usah berumah di tepi pantai...


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/