SharpShooter Followers

Friday, October 23, 2009

Tiada Penyelewengan - Pegawai Kewangan P.Pinang

PULAU PINANG: Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Datuk Farizan Darus berkata, tidak berlaku penyelewengan dalam urusan penyelenggaraan tayar kenderaan milik kerajaan negeri itu mahupun dalam pembelian minyak seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Beliau berkata kekerapan penggantian tayar seperti yang dinyatakan dalam laporan itu dilakukan disebabkan keperluan sebenar bagi kenderaan berkenaan.

Menurut laporan itu, sejumlah RM31,064 telah dibelanjakan bagi 17 kali penggantian tayar antara 12 Jan 2006 dan 11 Sept 2008 melibatkan lapan kenderaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Farizan berkata bahawa tiga daripada 17 penggantian tayar kenderaan itu dibuat setelah melakukan perjalanan melebihi 40,000 km bagi kenderaan bernombor PAF 1 sebanyak dua kali dan kenderaan PFW 5151 sekali manakala penggantian tayar bagi perjalanan kurang daripada 40,000km dibuat berdasarkan alasan tertentu.

Menurutnya, antara alasan untuk membuat penggantian tayar kurang 40,000 km adalah keadaan bunga tayar yang haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam, tayar keras dan tayar berbunyi bising apabila kenderaan bergerak.

"Atas alasan tersebut ia telah diperakukan oleh penyelia kenderaan setelah dimohon oleh pemandu kenderaan terlibat untuk pertukaran tayar," katanya.

Farizan berkata, Jabatan Kewangan Negeri telah menetapkan bahawa kelulusan pertukaran tayar dan pembaikan lain yang diperakukan oleh penyelia kenderaan perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha Kewangan.

"Sekiranya kerosakan yang sama berlaku, ia hendaklah mendapat kelulusan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran) sebelum pertukaran atau pembaikkan dilakukan," tambah beliau.

Menurutnya lagi, amat penting kenderaan rasmi kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik kerana selain daripada digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai tertentu, kenderaan itu juga digunakan untuk membawa tetamu negeri bagi urusan rasmi termasuk di luar Pulau Pinang.

Mengenai pembelian dan pengisian minyak dalam tempoh masa yang singkat, Farizan berkata, kenderaan yang mendapat teguran dari Ketua Audit Negara adalah PHK 42 (Proton Perdana), PGW 7744 (Bas) dan PCT 7777 (Bas).

"Sebenarnya pada masa itu, PGW 7744 dan PCT 7777 mengisi minyak melebihi RM200 kerana melakukan perjalanan yang jauh,"katanya.

Farizan berkata, semakan juga mendapati kad inden PHK 42 turut digunakan oleh kenderaan PDC 7722 pada tarikh 23 Jun lepas berikutan kerosakan kad inden kenderaan itu.

"Kerosakan kad inden PDC 7722 menyebabkan ia menggunakan kad inden PHK 42 dan ini mengakibatkan PHK 42 mendapat teguran kerana tidak mencatat bahawa kadnya telah digunakan oleh PDC 7722," jelas beliau. Tambahnya, teguran pembelian minyak dalam kuantiti yang tidak munasabah berpunca daripada kesilapan teknikal oleh pihak stesen minyak.

"Kedai berkenaan tidak meletakkan "unit price" di pam berkenaan setelah berlaku kenaikan harga minyak kepada RM2.70 seliter," katanya. - BERNAMA

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/