SharpShooter Followers

Saturday, October 31, 2009

Keperitan PKR adalah sementara demi Reformasi

KEPERITAN SEMENTARA SEBELUM PEMBAHARUAN, AMK KEADILAN BERTERIMA KASIH ATAS TEGURAN DAN HARAPAN TINGGI RAKYAT

Angkatan Muda Keadilan Malaysia berterima kasih kepada semua pihak atas teguran dan tumpuan yang diberi ke atas perselisihan dalaman KEADILAN. Rombakan semula lapisan pimpinan kebelakangan ini sebenarnya merupakan keperitan sementara sepanjang menuju pembaharuan. Ia juga merupakan perjalanan yang akan dilalui oleh setiap parti politik. Harapan tinggi rakyat akan diterima dengan sepenuh hati oleh KEADILAN. Para pengundi yang memberi kepercayaan kepada KEADILAN tidak akan dikecewakan.

AMK juga bersetuju dengan iltizam YAB Menteri Besar Selangor untuk mengambil tindakan atas ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham. Sebenarnya, keinginan Badrul Hisham melompat adalah di dalam jangkaan kami. Sering kali KEADILAN meminta beliau memberi kerjasama dan berkhidmat untuk rakyat secara bersungguh-sungguh, tetapi dukacitanya, dia bukan sahaja tidak melaksanakan tanggungjawab dia malah lompat keluar parti KEADILAN dan memihak kepada BN.

AMK menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dan tidak bertanggungjawab. Ini juga selaras dengan keputusan PAS untuk menyerahkan isu PAS Selangor kepada Jawatankuasa Disiplin parti tersebut. Kita mesti memastikan kestabilan kerajaan Negeri Selangor agar Pakatan Rakyat dapat menumpukan perhatian untuk merealisasikan dasar demokrasi dan memanfaatkan rakyat.

Berkenaan dengan salah faham dan ketidakpuasan hati akibat pertukaran pucuk pimpinan di Sabah, Presiden KEADILAN telah memberi jaminan bahawa beliau akan mengamalkan sikap terbuka dan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat untuk mencapai persetujuan. Oleh yang demikian, adalah diharapkan pimpinan parti dan pihak berkenaan dapat bersatu hati menyelesaikan perselisihan faham supaya dapat memperjuangkan agenda reformasi parti bersama-sama.

Seperti parti politik lain yang baru ditubuhkan, AMK mengakui bahawa KEADILAN masih sebuah parti yang muda. Lebih-lebih lagi, KEADILAN berhadapan dengan tindasan, ugutan dan muslihat BN yang mempunyai sumber kewangan dan jentera negara yang kuat. Kebangkitan KEADILAN sebagai parti yang mampu menggantikan BN juga menjadikannya sasaran utama pihak BN.

Selepas tsunami politik pada 8 Mac, KEADILAN sedang mencuba sedaya-upaya untuk mentransformasikan parti supaya memberi lebih peluang kepada golongan muda. Seperti apa yang dilaporkan dalam ”Off the Edge”, liputan terhadap beberapa tokoh muda KEADILAN yang mempunyai pandangan tersendiri terhadap parti dan negara telah mendapat sambutan baik daripada kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, kita jangan mengadakan tanggapan salah terhadap KEADILAN sedangkan yang mereput hanya sebilangan kecil sahaja.


LEE Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
012-2258607

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/