SharpShooter Followers

Sunday, October 11, 2009

Isa menang besar

PORT DICKSON: Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang apabila calonnya bagi pilihan raya kecil kawasan itu, Tan Sri Mohd Isa Samad menang dengan majoriti 5,435 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala lawannya daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar memperolehi 2,578 undi.

Sementara itu, jumlah undi rosak adalah 223 undi.

Perkara itu diumumkan oleh pengurus pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Abdul Wahab Shamsuddin di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, sebentar tadi.

Pilihan raya kecil ini merupakan yang kesembilan sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi BN memenangi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada April lalu.

Dalam reaksi awalnya, Mohd Isa ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan perkembangan setakat ini yang memihak kepada BN.

"Memang kita yakin akan mendapat sokongan yang baik. Tambahan pula, Perdana Menteri telah jelaskan kenapa saya dipilih untuk mewakili BN dan Umno dan ia disokong oleh Timbalan Perdana Menteri yang berkempen siang dan malam di sini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perkembangan ini. Bagi saya, faktor kemenangan setakat ini adalah orang dah yakin semula kepada BN.

"Ini petanda baik bukan sahaja di Bagan Pinang malah di seluruh negara. Ini menunjukkan rakyat dah kembali yakin bahawa BN adalah parti yang mampu membangunkan negara walaupun kita akui ada sedikit masalah tapi ia mampu diselesaikan," katanya.

BERITA TERDAHULU

PORT DICKSON: Barisan Nasional (BN) sedang mendahului kiraan undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan majoriti 4,747 undi.

Sehingga pukul 7.20 petang tadi, BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad memperolehi 6,761 undi manakala PAS yang diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar dengan 2,014 undi.

Jumlah undi itu adalah berdasarkan 15 daripada keseluruhan 19 peti undi yang telah diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini.

Pengiraan undi bagi pilihan raya kecil tersebut bagaimanapun dihentikan seketika buat masa ini untuk memberi laluan kepada umat Islam untuk menunaikan fardhu Maghrib dan akan disambung semula pada pukul 8 malam nanti.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/