SharpShooter Followers

Tuesday, January 01, 2013

Jingga 13 desak SPRM siasat MB Terengganu dan kuncu-kuncunya isu skandal RM226 juta

LAPORAN KEPADA SPRM : AGAR SIASATAN DIBUAT KE ATAS MENTERI BESAR NEGERI TERENGGANU , EXCO DAN BEKAS EXCO PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR & KEMUDAHAN AWAM , ADUN TELUK PASU , KETUA PEMUDA UMNO NEGERI TERENGGANU , PENGARAH JKR NEGERI TERENGGANU DAN PENTADBIR TANAH KUALA TERENGGANU BERKAITAN SKANDAL JALANRAYA GEMUROH KE KG. BANGGOL TUAN MUDA SEPANJANG 7.6 KILOMETER BERHARGA RM 226 JUTA BERTENTANGAN DENGAN UNDANG-UNDANG , PROSEDUR DAN SEKSYEN 4 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 SEPERTIMANA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA NEGERI TERENGGANU 2011


TARIKH :

1 JANUARI 2013


TEMPAT:

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

CAWANGAN TERENGGANU

LAPORAN KEPADA SPRM : AGAR SIASATAN DIBUAT KE ATAS MENTERI BESAR NEGERI TERENGGANU , EXCO DAN BEKAS EXCO PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR & KEMUDAHAN AWAM , ADUN TELUK PASU , KETUA PEMUDA UMNO NEGERI TERENGGANU , PENGARAH JKR NEGERI TERENGGANU DAN PENTADBIR TANAH KUALA TERENGGANU BERKAITAN SKANDAL JALANRAYA GEMUROH KE KG. BANGGOL TUAN MUDA SEPANJANG 7.6 KILOMETER BERHARGA RM 226 JUTA BERTENTANGAN DENGAN UNDANG-UNDANG , PROSEDUR DAN SEKSYEN 4 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 SEPERTIMANA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA NEGERI TERENGGANU 2011

LATARBELAKANG

Projek pembinaan jalan susur lebuhraya dari Gemuroh ke kg. Banggol Tuan Muda sepanjang 7.6 kilometer ( termasuk 2 kilometer jalan naik taraf) adalah merupakan satu projek yang dibina dengan penuh misteri dan mengundang bantahan dari penduduk kampung terutamanya penduduuk yang tinggal di Kampung Banggol Donas yang melibatkan 22 buah rumah kediaman.

Projek yang dibina dengan pembiayaan Dana Khas ini telah 'dianugerahkan' kepada sebuah syarikat yang ada kaitan kepentingan Ketua Pemuda UMNO Terengganu. Bantahan yang dibuat oleh penduduk kampung supaya mengubah jajaran yang melibatkan rumah-rumah kediaman tidak pernah dilayan oleh kontraktor dan kerajaan negeri walaupun projek ini telah dijalankan tanpa mengikut prosedur Akta Pengambilan Tanah(APT) 1960.

Kontraktor yang dianugerahkan bagi menjalankan projek pembinaan jalan susur lebuhraya ini dengan rakusnya telah menjalankan projek pembinaan ini sedangkan ianya melibatkan tanah yang masih belum diwartakan. Penduduk kampung kemudiannya, melalui Jawatankuasa Bertindak Kg Banggol Donas, telah mengemukakan bantahan rasmi kepada pihak kerajaan tetapi ianya tidak di pedulikan. Bahkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, wakil rakyat pembangkang (dari Pakatan Rakyat ) telah mengemukakan bantahan berkenaan dengan perkara ini, tetapi pihak kerajaan negeri tetap mempertahankan yang jalan tersebut dibina dengan mengikut prosedur.

BANTAHAN PENDUDUK

Melalui jawatankusa yang ditubuhkan oleh penduduk, mereka telah mengemukakan bantahan-bantahan sepertimana berikut:

i) Ubah jajaran yang melibatkan rumah-rumah kediaman kerana masih ada tanah kosong yang boleh dibina jajaran.

ii) Membantah kontraktor yang membina jalan tersebut kerana tidak mematuhi prosedur APT 1960 (Akta 486)

Bantahan-bantahan tersebut telah dibuat melalui surat rasmi dan memorandum telah dihantar kepada pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan semenjak dari bulan Januari 2008 namun tidak mendapat sebarang respon.

Berikut ialah surat-surat bantahan yang dihantar oleh Jawatankuasa Bertindak:

i) Pada 31 Januari 2008 kepada Pengarah JKR Negeri Terengganu, sk Menteri Besar dan Jurutera Perunding Mecip

ii) Pada 30 April 228 kepada Menteri Besar Terengganu

iii) Pada 6 Jun 2008 kepada Ketua Pengarah JKR Malaysia.

iv) Pada 30 Disember 2009 kepada Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, sk Pengarah JKR Terengganu, Unit Rekabentuk Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia, Perunding SSE dan Pengarah Tanah Dan Galian.

v) Pada 14 April 2010 kepada Perdana Menteri Malaysia.

vi) Pada 19 Jul 2010 kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu, sk Menteri Besar Terengganu, EXCO Kemudahan Awam Negeri, Pengarah JKR Terengganu dan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu.

vii) Pada 22 Mac 2011 kepada Perdana Menteri Malaysia – surat kali kedua.

Berikut ialah laporan dan memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Bertindak.

i) Pada 8 Okt. 2010 di laporkan kepada SUHAKAM berhubung pelanggaran hak pemilik tanah

ii) Pada 11 mei 2011 memorandum bantahan kepada Menteri Besar meminta jajaran yang melibatkan rumah kediaman di ubah dan bantahan pembinaan tidak ikut prosedur APT 1960.

iii) Pada 12 Jun 2011 laporan kepada SPRM

iv) Pada 31 Mei 2012 laporan kepada SPRM.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA.

Pada muka surat 37 laporan Ketua Audit Negara Negeri Terengganu Tahun 2011, telah membuat laporan di bawah tajuk Agensi Pemohon Tidak Mengisytiharkan Pengambilan Di Bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 Bagi Tanah Yang Melibatkan Jajaran.

a) Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1. Tahun 2003 antaranya menetapkan Agensi yang memerlukan tanah bagi sesuatu projek hendaklah mencari dan menentukan tapak atau jajaran yang sesuai iaitu 2 tahun sebelum pelaksanaannya.

Agensi berkenaan hendaklah berunding dengan Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian mengenai kesesuaian lokasi dengan perancangan guna tanah sekitarnya, keadaan fizikal tanah, aksesibiliti serta mengambil kira isu-isu sosial dan ekonomi penduduk tempatan. Pekeliling di atas juga menetapkan bagi sebarang projek baru berupa jajaran, Agensi pemohon di kehendaki memohon pengisytiharan pengambilan tanah di bawah seksyen 4 APT 1960 terlebih dahulu.

b) Semakan Audit mendapati pengambilan tanah bagi projek pembinaan jalan dan jambatan dari Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong (Fasa 1) dan dari Kg. Jeram ke Kg. Banggol Tuan Muda, Mukim Manir (Fasa 11) yang melibatkan 76 lot tanah bagi fasa 1 dan 184 lot tanah bagi fasa 11 tidak di wartakan di bawah seksyen 4 APT 1960 terlebih dahulu di mana Agensi pemohon di beri tempoh 1 tahun selepas pewartaan di bawah seksyen 4 APT 1960 (Borang A) untuk menyelesaikan kajian dan memutuskan sama ada hendak meneruskan pengambilan balik tanah atau tidak.

Sebaliknya ia telah terus di wartakan di bawah seksyen 8 APT 1960 (Borang D) masing-masing pada 24 Jun 2010 dan 28 Okt. 2010 tanpa menjalankan kajian keadaan fizikal tanah, aksessibiliti serta mengambil kira isu-isu sosial dan ekonomi penduduk tempatan. Berdasarkan maklum balas PTKT bertarikh 29 Mac 2012, projek ini adalah melibatkan projek yang perlu dilakukan dengan segera.

JINGGA 13 meminta pihak SPRM menyiasat teguran Ketua Audit Negara dan perlakuan salah guna kuasa jabatan-jabatan berkenaan yang boleh menjurus kepada perbuatan rasuah.

I) Pembinaan tidak ikut prosedur, notis di bawah seksyen 4 tidak pernah diwartakan sebelum pelaksanaan projek. Ini telah disahkan oleh pihak Ketua Audit Negara sendiri dan satu siasatan hendaklah dibuat untuk mengenal pasti punca Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak dipatuhi.

II) Kontraktor telah memulakan projek pembinaan sebelum tanah-tanah milik penduduk kampung diwartakan di bawah seksyen 10 pada 28hb. Okt. 2010. Siasatan hendaklah dibuat samada kontraktor menceroboh tanah milik atas kehendaknya sendiri atau mendapat arahan dari mana-mana pihak yang berkepentingan.

III) Pihak Pejabat Tanah Kuala Terengganu tidak menghalang pembinaan projek sebelum tanah diwartakan walaupun bantahan telah dibuat. Siasatan hendaklah dilakukan ke atas Pegawai yang bertanggungjawab sama ada mendapat arahan dari pihak lain atau beliau sendiri mempunyai kepentingan dalam pelaksanaan projek.

IV) JKR tidak menghalang kontraktor dari melaksanakan projek di atas tanah yang masih belum diwartakan. Siasatan hendaklah dibuat terhadap pegawai JKR yang sengaja membiarkan kontraktor menceroboh tanah milik penduduk kampung tersebut.

Siasatan juga hendaklah di lakukan untuk mendapat kepastian samada projek tersebut telah mendapat kelulusan sebelum tanah di wartakan dan siapa yang bertanggung jawab meluluskannya .

Lawatan EXCO Kemudahan Awam pada 3 Ogos 2010 ke tapak bina yang belum diwartakan jelas memperlihatkan JKR bersekongkol dengan kontraktor. Siasatan hendaklah dilakukan samada ianya mempunyai kepentingan di pihak JKR atau individu tertentu di dalam projek ini. ( Lihat laman web JKR Terengganu berhubung dengan lawatan EXCO KEMUDAHAN AWAM).

V) Semenjak dari awal tahun 2010 kontraktor telah mendapat suntikan moral membina jalan di atas tanah yang belum diwartakan apabila pada 31 Jan 2010 ADUN Teluk Pasu seperti yang dilaporkan di dalam sebuah akhbar "Saya berterimakasih kepada penduduk kerana membenarkan kerja pembinaan di jalankan walaupun proses pengambilan tanah belum selesai".

Beliau sepatutnya menghalang pembinaan sehingga proses pengambilan tanah selesai dan tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian. (Sila rujuk Sinar Harian bertarikh 31 Jan 2010)

Siasatan hendaklah dilakukan bagaimanakah kenyataan yang memihak kepada kontraktor boleh dikeluarkan, walhal bantahan penduduk Kg. Banggol Donas sejak dari Januari 2008 tidak pernah dipedulikan. Apakah kepentingan beliau di dalam pelaksanaan projek ini sehingga membelakangi kepentingan pemilik tanah yang di jamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

VI) Siasat kenapa Pejabat Tanah tidak mematuhi seksyen 16 APT 1960-Penyampai Award (Anugerah). Seksyen ini menghendaki Pejabat Tanah menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang berkepentingan pada tanah itu sebelum cek pampasan dikeluarkan.

Sebaliknya Pejabat Tanah menyediakan cek bayaran terlebih dahulu dan meminta pemilik tanah mengambilnya sebelum notis Borang H di keluarkan. Apakah kepentingan Pejabat Tanah yang menafikan hak pemilik tanah? (sila rujuk surat Bil PTK.TR.00/62/2009/A/005. Bertarikh 26 Jan 2012

VII) Kos pembinaan projek ini dianggap luar biasa, bernilai RM226 juta sepanjang 7.6 kilometer (termasuk 2 kilometer jalan naik taraf). Siasatan hendaklah dibuat mengapa kos untuk 1 kilometer lebih tinggi dari kos LPT2. Siasatan juga hendaklah dilakukan samada kos yang tinggi ini menjurus kepada salahguna kuasa dan tidak mematuhi prosedur APT 1960.(sila rujuk Sinar Harian bertarikh 25 Jan 2010)

VIII) Jawapan yang diberikan oleh Pejabat Tanah berkaitan dengan teguran audit ialah projek ini perlu dilakukan segera. Jawapan ini tidak munasabah dan siasatan hendaklah dibuat bagaimana projek ini diklasifikasikan segera kerana pengguna jalan raya masih ada alternatif lain, iatu jalan Jeram – Kg. Buloh Gading.

Atas alasan apa jalan susur dianggap perlu disegerakan, walhal lebuhraya LPT2 hanya dijangka siap pada penghujung tahun 2014 dan pakej sambungan dari Kg Banggol Tuan Muda ke Bandar Kuala Terengganu melalui Pulau Sekati belum dimulakan. Siasatan hendaklah dilakukan untuk menentukan keperluan terdesak tersebut samada atas kepentingan awam atau untuk kepentingan kontraktor. Siasatan juga hendaklah dilakukan adakah projek yang diklasifikasikan segera tidak perlu mematuhi prosedur APT 1960?

Justeru JINGGA 13 meminta pihak SPRM menyiasat serta membuat pendakwaan ke atas semua yang terlibat di dalam menjalankan projek jalanraya tersebut yang ternyata mempunyai unsur-unsur salahguna kuasa (abuse of power) dan aktiviti-aktiviti rasuah sehingga mengakibatkan semua pihak yang terlibat begitu bersungguh-sungguh bagi memastikan projek 'anugerah' tersebut tetap berjalan walaupun jelas telah membelakangi prosedur dan melanggar akta serta tidak mengambil kira bantahan dan keperihatinan penduduk kampung yang terlibat.

JINGGA 13 meminta agar pihak SPRM membuat siasatan secara telus, adil dan profesional terhadap :

1. YAB Menteri Besar Negeri Terengganu , Datuk Seri Ahmad Said ternyata memberikan sokongan kepada projek jalanraya tersebut dan tidak mengendahkan bantahan para penduduk kampung sedangkan ternyata berdasarkan laporan Ketua Audit Negara projek tersebut telah melanggar prosedur iaitu seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan bertentangan dengan Perlembagaan Negara dari segi hak pemilikan individu.

2. YB Exco Pembangunan Infrastruktur & Kemudahan Awam, Yahya Khatib Mohamad dan bekas Exco Pembangunan Infrastruktur & Kemudahan Awam, Datuk Haji Za'abar Haji Adib juga turut memberikan sokongan terhadap projek jalan tersebut sedangkan mereka sebagai exco yang bertanggungjawab mengetahui bahawa wujudnya kesalahan yang berkaitan dengan prosedur serta melanggar Akta Pengambilan Tanah 1960.

3. Dato' Abdul Rahin Mohd Said ( ADUN Teluk Pasu) yang merupakan Exco Belia & Sukan dilihat begitu bersungguh-sungguh bagi memastikan projek tersebut terus berjalan seolah-olah beliau mempunyai kepentingan peribadi walaupun beliau sendiri amat mengetahui bahawa segala perlaksanaan dan pengambilan tanah jajaran tersebut adalah bertentangan dengan prosedur. Malahan beliau juga berusaha mempengaruhi para penduduk agar bersetuju dengan pengambilan tanah tersebut, sedangkan ianya tidak diwartakan dan bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 .

4. Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu , Saiful Bahri Baharudin yang mana syarikat beliau sendiri dianugerahkan bagi menjalankan projek jalanraya berjarak 7.6 kilometer berjumlah RM226 juta ini juga ternyata telah menimbulkan pelbagai syak samada berlakunya amalan rasuah sehingga segala prosedur dan peraturan tidak diendahkan. Malahan, beliau disyaki telah mempengaruhi banyak pihak untuk mendapatkan sokongan bagi memudahkan syarikat beliau menjalankan kerja-kerja tersebut tanpa halangan walaupun ianya telah melanggar peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

5. Pengarah Jabatan Kerjaraya Negeri Terengganu (JKR ) serta semua pegawai JKR Negeri Terengganu yang bersekongkol dengan projek jalanraya tersebut .

6. Pentadbir Tanah Kuala Terengganu dan Pegawai-pegawai Pejabat Tanah Kuala Terengganu yang juga turut terlibat dalam projek jalan tersebut .

7. Jabatan Perancang Bandar Dan Desa, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian turut perlu disiasat turut terlibat dalam skandal jalanraya tersebut .

8. Pihak Jawatankuasa Kemajuan , Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu disiasat kerana turut terlibat dalam usaha mempengaruhi para penduduk agar bersetuju menyerahkan tanah-tanah mereka .

MUAFAKAT * PRIHATIN * BERANI

JINGGA 13 MALAYSIA Dan. JINGGA 13 TERENGGANU


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone