SharpShooter Followers

Sunday, August 29, 2010

Pemimpin UMNO cemarkan Islam

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendiriannya bahawa bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid atau surau atas tujuan yang betul dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan rumah ibadat.

Sehubungan itu kata beliau, pendekatan sesetengah golongan politik menggunakan isu agama untuk membangkitkan permusuhan kaum sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam, “sebenarnya tindakan itulah yang mencemarkan Islam.”

“Bukan Muslim boleh masuk ke dalam masjid jika dengan tujuan yang betul seperti untuk mengenali Islam, memahami atau mempelajarinya.

“Juga untuk urusan dengan orang Muslim, dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Ini kerana pada zaman Nabi s.a.w bukan Muslim masuk ke masjid untuk bertemu Rasulullah s.a.w,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Asri, ada media yang melaporkan beliau mempertahankan tindakan Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi berucap di Surau Al-Huda, Kajang pada Ahad lalu.

Bagaimanapun kata Asri, beliau tidak campur dalam urusan politik wakil rakyat itu dan tidak mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di surau tersebut.

Ketika pelbagai pihak menyerang tindakan Teo itu, dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan wakil rakyat tersebut menyampaikan sumbangan dan berucap di ruang solat surau itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Dalam kenyataannyaa hari ini, Asri menegaskan, orang bukan Islam boleh memasuki masjid atau surau dengan niat yang baik, bukannya untuk tujuan berpolitik.

“Bukan Muslim, bahkan Muslim juga tidak boleh menggunakan masjid untuk tujuan politik puak dan peribadi,” katanya.

Asri juga berkata isu-isu agama Islam hendaklah dinilai dengan timbangan agama yang berteraskan dalil dan hujah.

“Menggunakan neraca politik kepartian untuk menilai isu agama boleh merosakkan kesucian agama ini.

“Islam dibina atas hujah dan dalil, sementara politik kepartian sering dibina atas persepsi dan prejudis,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pandangan dan pendapat mengenai Islam hendaklah berteraskan hakikat Islam yang sebenar.

Dalam kenyataan dua hari lalu, Asri menyifatkan perbuatan Teo memasuki bahagian dalam surau tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain diperkuat dengan fatwa yang dikeluarkan beliau berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Keputusan itu dicapai pada muzakarah 1 Mac 2010.

Bekas mufti itu menegaskan, bukan menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam untuk memasuki surau dan masjid asalkan niatnya baik dan betul.

Dalam kenyataan itu, Asri berharap kepada umat Islam di negara ini tidak terikat dengan stigma tertentu hingga mendorong mereka membuat kesimpulan mudah tapi salah.

Teo dilaporkan akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon ampun serta memberi penjelasan kepada baginda tentang tindakannya.

Kata beliau, kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,” kata beliau.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/