SharpShooter Followers

Sunday, August 22, 2010

TKM 1 dan Hj Malik senada bertegas isu khutbah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi menafikan nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan untuk menggantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sambil menegaskan, tindakan tegas akan diambil jika ada pihak bertanggungjawab berbuat demikian.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.


Dalam kenyataan hari ini Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Sehubungan itu kata beliau, Umno harus membuat laporan rasmi polis atau di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang terhadap mana-mana khatib atau imam mesjid di Pulau Pinang yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim.

“Sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dengan keras dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib atau imam yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” kata kedua-dua pemimpin itu.

Kata mereka, permainan politik Umno ini berniat jahat dan telah mencemarkan nama baik golongan khatib atau imam di Pulau Pinang, yang bukan sahaja mendokong syair Islam yang syumul dan menyeluruh tetapi juga setia kepada raja dan negara.

“Beberapa ahli kariah masjid yang berikan keterangan menyokong dakwaan Umno berkata nama Ketua Menteri ada disebut. Tetapi ia disebut oleh khatib atau imam dalam konteks memohon kepada Allah supaya Ketua Menteri diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.

“Ini adalah perkara lain daripada menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan Ketua Menteri. Adalah difahamkan ahli kariah tersebut adalah orang Umno,” kata Mansor dan Abdul Malik.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, adakah BN dan Umno marah kerana kesudian Ketua Menteri untuk hadir di majlis-majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan, sambutan Maulidur Rasul, menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Pulau Pinang yang tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini.

“Sumbangan Ihya Ramadan, yang diluluskan oleh Ketua Menteri diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Serbaguna Jawi kepada semua masjid. Ketua Menteri hanya hadir bersama. Ini boleh disahkan oleh semua masjid yang hadir.

“Lagipun Lim Guan Eng merupakan di antara Ketua Menteri yang paling awal sekali mengharamkan judi bola yang diluluskan oleh Umno.

“Adakah Umno simpan dendam dalam hati kerana Lim Guan Eng, sungguhpun bukan Islam, telah memalukan Umno dengan mengharamkan judi bola yang dihalalkan oleh Umno?” katanya lagi.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/