SharpShooter Followers

Thursday, December 29, 2011

Rakyat wajib tolak budaya politik samseng

Semakin jelas bahawa para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka yang semakin dicabar oleh rakyat prihatin.

Ini termasuk menyeleweng wang negara, memfitnah anak bawah umur Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa mencabul seorang gadis dan menghina rakyat Malaysia yang menolak politik mereka dengan menggelar mereka dengan pelbagai nama termasuk “bangsat”.

Semasa Perhimpuan Agung UMNO baru-baru ini, seorang wakil Pemuda UMNO yang berketurunan India Muslim, atas nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, telah menggelar warga Malaysia yang menyokong DAP sebagai “bangsat:.

Konco-konco UMNO di Pulau Pinang pula telah menghantar kek berbentuk najis kepada Guan Eng sempena hari lahir beliau. Begitu bangga sekali mereka yang kebanyakannya dari keturunan India Muslim dengan kelakuan tidak senonoh dan memalukan orang Melayu yang dahulunya terkenal dengan sifat sopan santun serta beradab mulia.

Malah, jika diingatkan semula, apabila segelintir warga Indonesia melemparkan najis ke bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta tahun lalu, ramai rakyat Malaysia marah dengan perbuatan biadap itu. Apakah ia tidak menjadi peringatan buat kita semua?

Inilah politik samseng yang berasaskan ugutan, tekanan, membuat kacau bilau, fitnah terhadap orang yang tidak sealiran politik dengan mereka. Inilah ‘kehebatan’ kepimpinan UMNO dan konco-konco mereka. Apakah ini warisan perjuangan Melayu 1946?

Kedangkalan politik, kerendahan hati budi

Seolah-olah tiada daya intelektualisme untuk berhujah dan menggunakan akal untuk membuktikan bahawasanya mereka adalah pilihan yang lebih baik daripada alternatif yang ditawarkan pihak lawan.

Rakyat melihat dan menilai mana satu pihak yang memberikan alternatif yang lagi baik melalui wacana penyampaian ilmu yang baik, bukannya siapa paling samseng di Malaysia mahu pun siapa lagi banyak membuat fitnah dan dusta.

Anak-anak sekolah pun jijik dengan ‘kematangan’ wira-wira perkauman ini. Bagaimana mereka tangkis skandal yang benar-benar berlaku? Dengan memfitnah orang lain. Bagaimana mereka menjelaskan penyelewengan dan salah guna kuasa? Dengan menjadikannya isu perkauman.

Bagaimana mereka mahu membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat lemah dan tidak baik untuk rakyat? Dengan menghantar ‘Mat Rempit’ yang berusia ‘bapak budak’ untuk membuat demonstrasi sambil memakai t-shirt perkauman. Malah pengayuh beca juga dikatakan dibayar sedikit wang untuk berdemonstrasi menentang kerajaan Pakatan Pulau Pinang.

Semua itu dihebohkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia. Apabila yang berdemo itu meminta maaf dan mengakui mereka dibayar oleh pihak-pihak perkauman, semua media kawalan BN diam membisu.

Mereka melayan rakyat seperti hamba yang dangkal otak. Apabila rakyat mendesak hak dan peluang untuk berhujah, dikusi, debat dan sebagainya, ia dibalas dengan intimidasi, fitnah dan budaya samseng.

Mahasiswa pun menjadi mangsa fitnah

Awal bulan ini, sekumpulan mahasiswa telah ditahan kerana berpidato di UiTM walau pun Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah diisytiharkan oleh Mahkamah sebagai tidak sah kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang lebih dikesali ialah sekumpulan mahasiswa pro-BN telah membuat kacau dan berlagak samseng di majlis tersebut. Bapa borek anak rintik, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ramai orang UMNO, khususnya ahli-ahli veteran sudah sedar bahawa demokrasi dalam UMNO sudah lama mati di mana titik nokhtahnya bermula semenjak penubuhan UMNO Baru pada 1988.

Tetapi bagi rakyat, itu soal UMNO. Jika tidak suka dengan demokrasi dalam parti sendiri, itu soal parti tersebut sahaja. Tapi janganlah mendidik rakyat dengan sedemikian juga.

Kita ada Perlembagaan Persekutuan. Walau ada beberapa pindaaan yang menghalang hak dan kebebasan, yang penting adalah amalan mengikut perlembagaan asal yang membentuk negara kita yang merdeka lebih 54 tahun lalu. Ia adalah amanah dan tanggungjawab kerajaan yang diberikan oleh rakyat.

Rakyat yang mahu demokrasi perlu membuat pilihan

Sesungguhnya rakyat dahagakan sebuah demokrasi yang matang dan baik. Ia memberikan peluang yang adil untuk segenap lapisan masyarakat terlibat dalam isu membangunkan negara yang tercinta ini.

Janganlah kita menganggap demokrasi itu sebagai ‘agama baru’ untuk menghancurkan negara semata-mata kerana takut berhadapan dengan rakyat yang sudah celik, bijaksana dan prihatin tentang hak dan tanggungjawab.

Budaya samseng dan kurang ajar bukan sahaja tiada tempat di Malaysia, ia juga ditolak oleh semua ajaran agama dan ideologi politik yang bebas dan demokratik. Mengugut dan berselindung di sebalik undang-undang yang zalim hanya menonjolkan kedangkalan untuk berhujah dengan baik dalam ruang demokrasi.

Rakyat yang bosan dan meluat dengan budaya UMNO-BN ini, termasuk dari kalangan ahli-ahli parti-parti komponen mereka sendiri, mempunyai alternatif untuk memperbaiki keadaan yang semakin parah ini. Sesungguhnya kuasa itu di tangan rakyat. Ayuh!!! tumbangkan umno bn pada PRU 13....

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/