SharpShooter Followers

Tuesday, December 13, 2011

RM100 sebulan untuk penarik beca Pulau Pinang

Saya telah mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan YB Danny Law Heng Kiang untuk meningkatkan bantuan Kerajaan Negeri kepada penarik beca kepada RM100 sebulan daripada cadangan asalnya iaitu RM100 setiap dua bulan. Mereka akan dibayar RM100 sebulan jika mereka menghadiri penuh Hari Tanpa Kenderaan setiap Ahad dari 7 pagi hingga 5 petang di jalan-jalan terpilih di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Tiga bulan lalu, Kerajaan Negeri telah merancang bersama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mengadakan Hari Tanpa Kenderaan setiap hari Ahad di jalan-jalan terpilih di George Town mulai 11 Disember. Buat julung kali di negara Malaysia, Hari Tanpa Kenderaan George Town bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat dan mesra alam serta membantu para penarik beca untuk meningkatkan peluang pendapatan mereka.

Tiada kenderaan atau pun motosikal yang akan dibenarkan dalam kawasan-kawasan Hari Tanpa Kenderaan melainkan basikal dan beca. Ini akan membantu menambahkan peluang pendapatan untuk para penarik beca. Untuk memastikan bahawa hanya penarik beca yang tulen akan dibantu, Kerajaan Negeri akan mencadangkan bahawa mereka mesti mendaftarkan diri dengan Jabatan Pelancongan Pulau Pinang di bawah naungan YB Danny Law.

Tambahan pula, para penarik beca mestilah berhimpun di kawasan yang ditentukan untuk tempoh masa yang tertentu bagi melayakkan diri untuk RM20 yang akan dibayar setiap minggu. Bonus RM20 akan dibayar jika mereka hadir penuh setiap Hari Tanpa Kenderaan bagi sesuatu bulan. Ini akan memastikan kehadiran beca di kawasan-kawasan yang ditentukan untuk pelancong serta memastikan penarik beca yang tulen akan diberi bantuan.

Hari Tanpa Kenderaan George Town merupakan lagi satu inisiatif hijau oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengurangkan kesan karbon dan penggunaan kereta di samping membantu golongan berpendapatan rendah di kalangan penarik beca untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/