Ketua Penerangan KEADILAN merangkap peguam kes ini, Latheefa Koya membidas tindakan polis yang mendakwa remaja 15 tahun itu, Aminulrasyid Amzah terlibat dalam kes jenayah.
Menurut beliau, tindakan itu melambangkan kelemahan anggota polis sekaligus membuktikan PDRM tidak profesional menjalankan tanggungjawab mereka apabila mengeluarkan kenyataan sebelum siasatan dibuat.
"Kami ada saksi, kami akan 'follow up' isu ini. Kes sebegini tidak boleh berulang lagi.
"Kami akan bangkit supaya Suruhanjaya Bebas diwujudkan bagi menyiasat kes ini dan polis tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tembakan kerana ada etika yang sepatutnya untuk berbuat demikian ataupun menggunakan senjata api.
"Dan kami minta anggota yang terlibat digantung keanggotaannya, dilucutkan jawatan mereka serta diambil tindakan disiplin secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas menemai ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang semalam.
Sehubungan itu, Latheefa juga berkata, pihaknya akan terus memantau tindakan kes tersebut bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor Yaakub Sapari, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Sementara seorang lagi peguam N Surendran tidak dapat menerima alasan yang diberikan pihak polis yang membenarkan polis menembak remaja berkenaan.
Beliau juga mengecam tindakan polis bahawa mereka tidak memiliki kuasa yang membenarkan mereka menembak seseorang sesuka hati biarpun jika pemandu tidak mempunyai lesen kereta melainkan keselamatan mereka terancam.
"Polis harus mematuhi prosedur sebelum mengambil sebarang tindakan drastik yang mengancam nyawa orang awam," tegas beliau.
Surendran turut mengecam kenyataan awal polis yang mendakwa remaja tersebut terlibat dalam kegiatan menyamun dan memiliki senjata.
Aminulrasyid ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.
Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara berdaftar di bawah nombor BET 5023 ketika kejadian.
Turut berada di sebelah mangsa ketika kejadian, rakan sebayanya.
Polis juga mendakwa juvana tersebut adalah kumpulan geng samun dan memiliki sebuah parang di dalam kereta yang dinaikinya.
Mangsa dilaporkan mati ditembak dengan beberapa das tembakan dari arah belakang.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...Amizudin Ahmat (Din Binjai)http://sharpshooterblogger.blogspot.com/