SharpShooter Followers

Monday, November 12, 2012

59 ribu pengundi luar negara, 240 ribu pengundi awal, 170 ribu warga asing, mampukah Pakatan Rakyat tawan Putrajaya?

Dalam tulisan kali ini saya ingin membawa ayat-ayat songsang. Saya ingin membuka surah yang telah di hafal tetapi tidak difahami. Saya ingin membuka bait-bait yang sering dilaungkan tetapi tidak dihayati. Saya ingin melagukan syair kasar yang tidak akan menenteramkan jiwa. Surah dan bait-bait ini telah menjadi beban sejarah jika tidak saya dendangkan kepada orang ramai.

Surah dan ayat songsang ini ialah tentang PRU13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Bila PRU13 ini akan diadakan saya tidak tahu. Saya bukan nujum. Malah tarikh dan saat PRU13 ini untuk saya tidak begitu penting. Untuk saya tarikh PRU13 bukan surah yang akan membawa kita semua ke jambatan yang lurus.

Apa yang sahih, tarikh PRU13 ini hanya akan dijalankan apabila semua persediaan untuk memastikan United Malays National Organisation kembali berkuasa telah tersedia. Semua perancangan telah diatur. Logistik telah tersusun rapi. Semua yang wajib dilakukan untuk mengembalikan kuasa kepada BN telah dilakukan.

Pada hemat saya keputusan PRU13 akan menafikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Pada pemerhatian saya kerajaan Pakatan di Selangor akan jatuh ke tangan United Malays National Organisation. Jelas apa yang saya tulis ini adalah ayat-ayat songsang. Ayat-ayat ‘potong stim' yang ramai penyokong Pakatan tidak akan bersetuju. Bunyi surah ini amat kasar tetapi inilah hakikat realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.

Ayat-ayat songsang dalam tulisan saya ini bukan saya pungut dari mimpi. Ayat ini tidak saya terima melalui saka. Ayat-ayat ini berasaskan realpolitik yang sedang berlaku di hadapan mata saya. Ayat-ayat ini datang dari laporan demi laporan yang saya terima sebagai ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0.

Minggu lalu Dr Ong Kian Meng dari Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP) bersama 2.0 telah membentangkan laporan terakhir ke Parlimen. MERAP ialah satu badan ilmiah yang membuat kajian tentang daftar pengundi. Laporan dari MERAP ini cukup memeranjatkan. Justeru, dari laporan MERAP inilah munculnya sebahagian dari ayat-ayat songsang yang saya tuliskan di sini.

MERAP telah bertemu dengan 59,000 nama pengundi - saya ulangi lima puluh sembilan ribu - pengundi luar negara. Jumlah ini dikenal pasti kerana dalam senarai daftar nama-nama 59,000 ini menggunakan kod 71. Kod 71 ini bermakna bakal pengundi ini lahir di luar negara. Ada dari Afrika, dari Eropah, Vietnam, India dan dan dan.... Awas, Mat Indon dan Mat Bangla bukan di sini nama mereka tercatit.

Nama 59,000 pengundi dengan Kod 71 ini adalah warga negara Malaysia yang lahir di luar negara. Maka Hairan bin Takjublah kita semua. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya ramai orang Malaysia lahir di Uganda, Kenya, Sweden , Jerman, Qatar dan di Itali.

Kita juga telah membaca dan mendengar surah bagaimana nama-nama pengundi yang amat pelik lagi memelikkan telah ditemui dalam senarai pengundi. Bukit bin Batu. Harimau binti Buaya. Kijang anak lelaki Ular. Jintan binti Bawang. Dubai bin Abu Dhabi. Ini hanyalah contoh nama-nama pelik di mana si ayah atau si ibu ketika mendaftar telah hilang akal lalu menamakan bayi yang baru lahir ini Sungai binti Laut.

Untuk pembaca yang tersenyum membaca nama Ular bin Lipan pasti akan terbahak bahak ketawa apabila diberitahu ada juga pengundi yang namanya "bin". Dan menjadi lawak seram kerana nama ini bukan ditulis dengan ejaan Koma bin Noktah tetapi dengan simbol ‘.

Lebih memeranjatkan apabila MERAP membuktikan bagaimana satu alamat di Jalan Papan Klang telah didiami oleh 46 orang pengundi. Pelik bin hairan - bagaimana rumah teres ini dapat menampung 46 orang penghuni?

Kalau pun setiap bilik ini ada katil bertingkat-tingkat saya masih musykil dan ingin bertanya ada berapa buah bilik mandi dan tandas dalam rumah teres ini? Justeru saya membuat kesimpulan 46 orang penghuni rumah ini akan tidur tegak berdiri untuk memastikan ada ruang untuk kesemua 46 orang. Untuk berak mereka ke belukar.

Awas! Sikap silaturahim penghuni amat membanggakan. Dalam rumah ini ada Muthusamy, Abdullah, Lim Ah Seng, Gobala, ada Jebeng Bibik, Fatimah dan Maureen Pillay. Inilah contoh rumah Satu Malaysia.

Kes klasik sebuah rumah dengan berpuluh-puluh penghuni ini terjadi juga di Lembah Pantai. Sebuah rumah telah ditemui diduduki lebih dari 20 warga. Alhamdulillah, satu lagi contoh Malaysia yang aman permai. Tetapi apabila ditemui lot alamat rumah ini - yang tersergam ialah Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Baru. Ada 20 pengundi tinggal dalam bilik tol.

Pembaca sering mendengar ‘tuduhan' tentang Mat Bangla, Mat Filipina dan Mat Indon telah diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Apakah ini ayat-ayat setan? Atau ini surah yang saharah? Mengikut MERAP telah ditemui 170,000 nama pengundi yang berdaftar. Kesemua 170,000 ini adalah pengundi yang dilahirkan di luar negara. Di sini kita temui Bibik, Embak, Jebeng dan Suhail. Mereka semuanya mendaftar dengan kod 71 yang mensahehkan mereka tidak dilahirkan di Malaysia.

Untuk memedaskan lagi tempoyak masam ini - banyak nama-nama ini tidak ada bin atau binti. Hanya ada satu nama sahaja. Tidak diketahui jantan betinanya. Malah banyak nama-nama ini tidak memiliki alamat rumah yang penuh. Contoh yang diberikan oleh MERAP ialah kajian terperinci di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru. Dalam kompang ini ramai Jebeng, Bibik dan Embak yang mendaftar tetapi tanpa alamat rumah dan nama jalan. Yang ditulis hanya Suharto Kampong Majidee.

Surah- surah di atas ini hanyalah sebahagian dari bukti yang telah ditemui oleh MERAP. Ini bukan lagi dongeng atau kesah Haji Desas bin Lebai Desus. Ini sahih dengan fakta dan kajian yang membuktikan ada perancangan untuk menipu dalam PRU13 ini.

Biar saya jelaskan sejelas mungkin. Untuk semua ahli dan penyokong Pakatan mereka wajib sedar bahawa yang mereka lawan bukan parti United Malays National Organisation. Mereka bukan berlawan dengan MIC, MCA atau BN. Penyokong dan bakal pengundi Pakatan bukan melawan polis, raja, Islam atau Perlembagaan Malaysia.

Apa yang dilawan oleh Pakatan ialah satu sistem pemilihan calon yang telah direka khusus untuk menipu. Melawan sistem tipu.

United Malays National Organisation dan konco-konconya telah tidak lagi mendapat sokongan pengundi. Parti ketuanan Melayu ini telah ditinggalkan oleh Melayu sendiri. Tetapi awas. Dalam PRU13 ini nanti United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Hairan?

United Malays National Organisation akan menang dalam PRU13 bukan kerana sokongan rakyat tetapi kerana sistem pemilihan ini telah diatur untuk menipu. Sistem pengundian ini telah disusun khas untuk memastikan penipuan berjalan licin tanpa disedari oleh orang ramai.

Memang betul semua pengundian akan dijalankan dengan mengikut prosedur. Memang tepat semua pengundian dijalankan mengikut peraturan. Tetapi prosedur dan peraturan ini semuanya disusun, semuanya dibuat untuk tujuan menipu.

Contohnya mesin ATM akan mengeluarkan duit sebanyak mana yang kita minta - jika kita memiliki wang simpan dalam bank. Tetapi mesin ATM yang dibuat oleh SPR ini akan memastikan jika kita meminta RM20 maka hanya RM15 akan keluar dan RM25 akan ditolak dari jumlah simpanan kita. Ini bukan satu yang mustahil. Ini penipuan. Sistem penipuanlah yang didakwa sedang disusun oleh SPR.

SPR ini bukan hanya dikepali oleh anggota ahli parti United Malays National Organisation. Sistem pengudian tipu yang disusun SPR ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Pendaftran Negara, PDRM, Majlis Keselamatan Negara dan United Malays National Organisation.

Contoh penipuan yang paling senang untuk difahami ialah pengunaan dakwat kekal. Di negara-negara lain, biasanya sesudah mengundi maka si pengundi akan mencelupkan jari ke dalam botol dakwat.

Kunci ayat songsang ini ialah - SESUDAH. Tetapi dalam sistem SPR Malaysia jari tidak dicelup ke dakwat kekal tapi hanya dicalit halus. Untuk terus menipu calitan halus ini dibuat SEBELUM memangkah.

Kenapa calit dakwat sebelum memangkah? Ini untuk memastikan akan banyak undi rosak terpalit dakwat hitam. Undi rosak ini pastilah undian untuk Pakatan. Penipuan guna dakwat hitam ini diteruskan untuk apa yang dikenali sebagai pengundi awal. Sebelum ini tidak wujud pengundi awal ini. Siapa pengundi awal ini?

Pengundi awal ialah pekerja SPR di hari membuang undi. Dulu ada 100,000 - kini ditambah untuk menjadi 240,000 - saya ulangi dua ratus empat puluh ribu pengundi. Di katakan mereka akan mengundi awal tetapi tidak diketahui seawal mana? Lima hari? Tujuh hari atau tiga hari? Lagi awal mengundi lagi baik kerana tanda telah lama hilang. Mereka boleh mengundi beberapa kali lagi.

Surah dan ayat-ayat syaitan di atas membuktikan bahawa apa yang dilawan oleh Pakatan bukan parti politik. Yang dilawan ialah satu sistem pemilihan yang dibentuk dan direka khas untuk menipu. Sistem penipuan ini diwujudkan untuk memastikan United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Itu saja ayat songsang? Tidak ada lagi minggu depan.- Tukar Tiub



Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/