Saya tahu diri saya. Demi Allah, semua yang dituduh itu tidak benar. Saya amat tertekan. Sehingga saya berfikir ingin berdoa agar Allah memberikan bala kepadanya.
Tapi ada orang beritahu saya tidak boleh berdoa macam itu sesama muslim. Saya amat sakit dengan kezalimannya. Bolehkah saya doa supaya Allah beri balasan kepadanya?
Azman, Klang.
Jawapan Dr MAZA:
Semoga Allah memberikan kesabaran dan pahala atas ujian yang menimpa saudara. Percayalah segala kesakitan hidup di dunia ini, jika kita redha dengan Allah maka ia akan menjadi kebaikan dan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Untuk soalan saudara di sini saya nyatakan beberapa perkara;
1. Sesiapa sahaja yang menzalimi orang lain, maka akan ada pembalasan Allah ke atasnya sekalipun insan yang dizalimi itu telah mati, atau gagal bertindak apa-apa.
Allah tidak lupa perbuatan mereka yang zalim. Akan ada hari yang mendatang di mana si zalim akan tetap dibalas Allah dengan cara yang dikehendakiNya. Percayalah hal ini. Jika tidak pun di dunia, pembalasan akhirat tetap menanti. Dosa itu akan tetap ditanggung oleh si zalim. Akan tetap tiba hari yang maha adil untuk semua.
Sabda Nabi s.a.w:
"Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).
2. Jika benar saudara dizalimi, saudara tidak akan disia-siakan pada Hari Akhirat kelak. Si zalim pula akan berhadapan dengan mahkamah Allah di Mahsyar nanti. Amalan baiknya akan saudara perolehi, jika tidak dia akan menanggung dosa saudara.
Sabda Nabi s.a.w:
"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).
3. Berdasarkan hadis-hadis, baginda Nabi s.a.w pernah berdoa agar Allah mengambil tindakan ke atas musuh-musuh Islam. Banyak hadis-hadis mengenai hal tersebut. antaranya doa baginda s.a.w ke atas kumpulan Quraish yang menzalimi baginda:
"Ya Allah, ambillah tindakanMu ke atas Quraish" (Riwayat al-Bukhari).
4. Adapun sesama muslim, perkara yang patut didahulukan –jika mampu- adalah memaafkan atau memohon hidayah agar diberikan kepada si zalim.
Sabda Nabi s.a.w:
"Sedekah tidak akan mengurangkan harta, Allah akan tambah kemuliaan untuk seseorang hamba disebabkan kemaafannya dan tiada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah melainkan Allah akan mengangkatnya". (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya).
5. Adapun jika saudara mahu juga berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya, maka perkara tersebut tidaklah salah. Pastikan dahulu memang saudara dizalimi dan perbuatan individu berkenaan memang terbukti dan zalim.
Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim menyebut:
Umm Sulaim iaitu Umm Anas memiliki seorang anak yatim perempuan. Suatu hari Nabi s.a.w melihat kepada anak yatim tersebut. Baginda bersabda: "Oh awak, dah besar pun awak. Umur awak takkan membesar lagi".
Anak yatim tersebut kembali kepada Umm Sulaim dan menangis. Umm Sulaim bertanya: "Kenapa wahai anakku?".
Kata gadis itu: "Nabi Allah s.a.w telah mendoakan keburukan ke atasku agar umurku tidak membesar. Maka mulai sekarang umurku tidak akan membesar lagi selama-lamanya.
Maka Umm Sulaim pun keluar, tergesa-gesa mengenakan tudungnya sehingga berjumpa Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: "Kenapa wahai Umm Sulaim?". Kata Umm Sulaim: "Wahai Nabi Allah, adakah engkau telah mendoakan keburukan ke atas anak yatimku?".
Baginda bertanya: "Apadia wahai Umm Sulaim?". Kata Umm Sulaim: "Anak yatimku mendakwa engkau mendoakan agar umurnya tidak membesar".
Rasulullah s.a.w pun ketawa kemudian bersabda: "Wahai Umm Sulaim! Tidakkah engkau tahu syaratku untuk tuhanku? Aku telah memberikan syarat untuk tuhanku, aku berkata:
"Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti".
Gurauan Nabi s.a.w telah merisaukan Umm Salamah. Nabi s.a.w menjelaskan bahawa doa itu tidak akan menimpa gadis itu kerana dia tidak layak. Ertinya, jika sesiapa yang layak maka doa itu akan menimpanya.
6. Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa'id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya serta mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam.
Sa'id bin Zaid berdoa dengan menyebut: "Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya". Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.
Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa'd bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah 'Umar mengambil tindakan menggantikan Sa'd bin Abi Waqqas dengan 'Ammar bin Yasir.
Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa'd, kecuali di Masjid Bani 'Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut:
"Sesungguhnya Sa'd tidak menyertai peperangan, tidak membahagi harta secara saksama dan tidak adil dalam hukuman".
Sa'd menjawab: "Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: "Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah".
Maka lelaki tersebut hidup dalam kefakiran sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.
7. Doa-doa di atas jika kita lihat mereka tidaklah terus meminta bala kepada muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan "Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…" atau mungkin kita sebut "jika dia telah menzalimiku maka..". Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran maka wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
8. Kita hendaklah sentiasa bimbangkan doa orang yang kita zalimi. Akan ada masanya Allah memustajabkan doa insan yang dizalimi lalu membalasnya kepada si zalim. Sabda Nabi:
"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Ertinya, walaupun insan yang dizalimi itu mungkin tidak baik agamanya, tetapi perbuatan orang lain menzaliminya tetap akan Allah balas. Dosa individunya itu urusan dirinya. Dosanya itu tidak memberi 'lesen' kepada orang lain untuk menzaliminya. Maka berhati-hatilah kita.
* Tersiar di akhbar Sinar Harian pada 30 April 2010.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone