SharpShooter Followers

Monday, November 26, 2012

Pantau penjualan tanah di P.Pinang


TASEK GELUGOR: PAS di setiap negeri disaran menubuhkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memantau serta memberikan penerangan kepada rakyat terutamanya orang Melayu tentang risiko penjualan tanah mereka.

Demikian kata Pengerusi Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Beliau mengulas penjualan tanah kepada bukan bumiputra yang banyak berlaku di Seberang Prai sekarang ini.

Bagi beliau, ia boleh dielak sekiranya pengetahuan dan kesedaran timbul di kalangan orang Melayu jika ada parti seperti PAS main peranan.
Mazlan berkata demikian dalam lawatannya ke Seberang Prai baru-baru ini bagi melihat isu yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan.

Beliau pergi ke beberapa lokasi seperti di Batu Maung dan Teluk Kumbar bersama Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Ahli Majlis MPSP, Haji Jamil Abdul Rahman, Setiausaha PAS Tasek Gelugor, Zamri Darus dan ahli Jawatankuasa PAS Tasek Gelugor, Haji Abdul Moin Hashim.
"Penubuhan NGO berkaitan tanah atau  PAS sendiri mainkan peranan yang serius agar isu berkenaan tidak menjadi semakin parah, " tegasnya mengulas kejadian penjualan tanah  sawah yang semakin berleluasa di Seberang Perai sejak kebelakangan ini.

Lazimnya, kata beliau, penjualan tanah sawah  di kampung-kampung  kepada bukan bumiputra berlaku kerana mereka kesempitan wang untuk menyekolahkan anak atau melanjutkan pelajaran anak ke peringkat univesiti.

Beliau difahamkan, banyak peristiwa penjualan itu sendiri diuruskan oleh pemimpin Umno tempatan dengan harapan mendapatkan keuntungan peribadi.

"Mereka jadi broker untuk menggalakan pembangunan kononnya tetapi hasrat sebenar ialah mahukan kepentingan peribadi.  Mereka sanggup jadi orang tengah semata-mata mengaut keuntungan.  Dalam soal ini siapa sebenarnya petualang bangsa PAS atau Umno," katanya lantang.

Kesedaran amat penting sambung Mazlan, kerana  penjualan berkenaan akan mengundang masalah lain pula selepas ini sebab pihak yang membeli pastinya membina apa sahaja yang difikirkan termasuk kilang, tempat penyimpanan barangan dan sebagainya.

Laluan atau saliran air ke petak sawah sekitar pastinya terganggu sebab tanah berkenaan akan ditambun untuk membangunkan projek lain.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua, Haji Zahadi Mohamad dalam isu  yang sama menegaskan, pihak pentadbiran tanah wajar prihatin terhadap gejala penjualan tanah sawah untuk pembangunan lain.

Di Sungai Dua sahaja jelasnya, terdapat beberapa lokasi penjualan seperti di Permatang Tok Jaya, Simpang Empat Permatang Buluh, Permatang Tiga, Permatang Sungai Dua  dan lainya.

Fenomena tersebut ujarnya, menyebabkan kebimbangan penduduk kerana, contohnya
di Permatang  Tok Jaya, lokasi itu dijadikan bengkel besi yang membahayakan masyarakat kerana bersebelahan dengan stesyen minyak.

"Sepatutnya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kena pantau pembinaan bukan meluluskan sahaja projek yang bahayakan penduduk.

"Bukan kita halang pembangunan tetapi biarlah pembinaanya jauh dari tempat yang mempunyai potensi kebakaran," katanya bimbang kawasan ini akan jadi macam Sungai Puyu dan Bagan Lalang penuh dengan kilang kecil bersebelahan rumah penduduk.
harakahdaily/-




Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/