SharpShooter Followers


Friday, December 04, 2009

Chin Peng sedia berdepan tribunal jenayah perang

Bekas pemimpin Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng bersedia dihadapkan ke tribunal jenayah perang sekiranya ianya benar-benar adil dan bebas.

Bekas setiausaha agung PKM itu - yang kini sudah berusia 85 tahun - menyuarakan kesediaannya itu ketika diwawancara Malaysiakini selepas majlis ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai yang ke-20, di Hatyai Isnin lalu.

"Jika ianya sebuah mahkamah yang benar-benar adil dan bebas, saya akan hadir.


"Tetapi ia mustahil (adil dan bebas). Jika hakim-hakim dilantik oleh kerajaan Malaysia, saya tidak akan hadir," katanya.

Ditanya sama ada rakan-rakan seperjuangannya yang lain, juga harus dihadapkan ke tribunal tersebut, Chin Peng menjawab:

"Itulah masalahnya, (saya didiskriminasi) hanya kerana saya bukan Melayu."

Bila diberitahu bahawa Abdullah CD pernah mengakui dalam memoirnya mengenai serangan ke atas sebuah balai polis di Pahang, Chin Peng berkata seingatnya, beliau tidak pernah membunuh seorang pun orang awam.

Sewaktu zaman darurat, katanya, pihak tentera dan polis juga telah membunuh ramai orang.

"Tetapi mengapa hanya saya sahaja yang harus berdepan dengan semua tuduhan tersebut?" soalnya.

Sewaktu darurat, menurut Chin Peng, British berperang hanya untuk mengekalkan kuasa penjajahannya manakala anggota PKM pula pejuang sebenar untuk kebebasan dan kemerdekaan negara.

Mengenai dakwaan yang beliau tidak pernah memohon untuk pulang ke Malaysia - sewaktu tempoh setahun yang diberikan untuk berbuat demikian selepas Perjanjian Damai Hatyai - Chin Peng berkata, beliau telah memohon tetapi telah dipermain-mainkan oleh para pegawai Malaysia.

"Mereka minta saya jumpa (mereka) di sempadan, tetapi selepas tiga jam berkejar ke beberapa lokasi (yang disuruh), tidak ada pun wakil rasmi. Walaupun lama menunggu, tiada seorang pegawai pun yang muncul," tambahnya.

Berikutan itu, katanya, beliau merasa seperti 'diperbodoh-bodohkan' dan serik untuk berbuat demikian lagi.

Chin Peng juga berkata, tidak guna baginya membuat bantahan secara terbuka mengenai layanan buruk terhadapnya itu kerana media juga dikawal oleh pihak kerajaan.

Ditanya mengenai beliau yang tidak dapat menunjukkan rekod kelahirannya untuk membuktikan beliau rakyat Malaysia, Chin Peng berkata, beliau tidak pernah menyangka yang soal kewarganegaannya akan dipertikaikan.

"Saya dilahirkan di Malaysia, maka tentunya saya termasuk dalam mereka 'yang berasal dari Malaysia' seperti yang disebut dalam Perjanjian Damai Hatyai," katanya.

Menurutnya, jika pihak berkuasa meminta bukti kewarganegaraannya sewaktu rundingan damai tersebut, sudah tentu beliau akan meminta keluarganya menadpatkan bukti-bukti yang diperlukan.

Ditanya mengapa kerajaan sendiri tidak menyemak perkara itu dalam arkib pendaftaran negara, Chin Peng mengesyaki rekod kelahirannya telah dimusnahkan.

Chin peng juga menegaskan bahawa beliau tidak akan meminta bantuan Thailand untuk menyelesaikan pertikaian beliau dan kerajaan Malaysia itu.

Beliau berkata, masalahnya adalah dengan kerajaan Malaysia dan menurutnya, adalah tidak betul untuk meminta negara lain campur tangan.

Lagi pula, katanya, kepimpinan kerajaan Thailand sekarang mungkin tidak bersedia untuk membantunya.

Tambahnya, pucuk pimpinan di Thailand sudah bertukar tangan. "Jika Chavalit (Yongchaiyudh) masih berkuasa, saya boleh cuba."

Chavalit adalah bekas panglima angkatan tentera Thailand yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai dan bekas perdana menteri Thailand.

Chin Peng - kini seorang datuk berusia 85 tahun - teringin sekali pulang ke tanahairnya.

Berasal dari Sitiawan, Perak, Chin Peng yang nama sebenarnya, Ong Boon Hua, mahu pulang menziarahi kubur ibubapanya serta kembali ke pangkuan keluarganya.

Tetapi kerajaan Malaysia berkeras tidak membenarkan beliau pulang, atas alasan setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah dibubarkan itu, tidak boleh dimaafkan atas kekejaman pasukan tersebut.

Chin Peng yang kini tinggal di Thailand, tidak menolak kemungkinan bahawa bangsa menjadi faktor di sebalik punca beliau seorang sahaja anggota KPM yang dilarang pulang ke Malaysia.

Ditanya mengapa kerajaan Malaysia menentang kepulangannya, bapa dua orang anak itu, pada mulanya menjawab bahawa ia satu soalan yang sukar untuk dijawab.

Tetapi apabila kes Abdullah CD (kiri) disebut, di mana bekas pengerusi PKM itu dibenarkan pulang serta diterima mengadap Sultan Perak, Chen Peng tidak menolak kemungkian ia disebabkan oleh diskriminasi kaum.

"Mungkin (ia disebabkan) saya bukan Melayu," katanya.

Ditanya, sama ada beliau merasakan kepulangannya akan memberi impak kepada suasana politik negara ini, sekiranya dia pulang lama dahulu, Chin Peng berkata: "Ya, saya mungkin membabitkan diri dalam aktiviti politik dan memimpin pihak pembangkang.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa suasana politik negara sudah banyak berubah dan mungkin tiada lagi peranan yang boleh dimainkannya.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/