SharpShooter Followers


Tuesday, December 29, 2009

Masalah Kg Tok Panjang selesai

BUKIT TENGAH – Masalah yang timbul di Kampung Tok Panjang sebelum ini akibat dari tiadanya longkang yang sempurna hingga menyebabkan pergaduhan tercetus dalam kalangan jiran tetangga dianggap selesai.

Pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Jordan Kee Yu Wah berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama penduduk dan mereka bersetuju untuk membina longkang di hadapan rumah masing-masing bagi memudahkan pengaliran air serta tidak mengganggu lagi kawasan jiran yang tinggal berhadapan rumah mereka.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM10,000 digunakan untuk membina longkang sepanjang 224 meter serta melibatkan 10 buah rumah.

“Saya berharap agar penduduk di kampung ini tidak lagi bertikam lidah serta menyalahkan jiran tetangga yang menyebabkan banjir berlaku selain mengalirkan air yang kotor ke dalam parit mereka.

“Selain itu, saya juga meminta agar penduduk menjaga kebersihan longkang bagi mengelakkan ia dicemari dan tersumbat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pembantu Adun, Amizudin Ahmat berkata, perkara penting yang perlu diberi perhatian penduduk adalah kerjasama dalam menjaga kebersihan longkang agar ia sentiasa bersih.

Katanya, sebelum ini longkang sedia ada di kampung itu juga tidak pernah dibersihkan dan beliau telahpun mengaturkan gotong-royong bersama penduduk baru-baru ini untuk membersihkan longkang berkenaan.

“Penduduk seharusnya mempunyai sikap tanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar terutama longkang. Jika tidak dijaga, maka kemungkinan untuk berlakunya banjir itu pasti ada. Selain itu, ia turut mengundang masalah kesihatan seperti demam Denggi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, gotong-royong secara berterusan akan diaturkan bersama penduduk untuk membersihkan longkang di sekitar kawasan kampung. Katanya, ia seharusnya dilakukan sekali dalam tiga bulan agar kebersihan sentiasa terjamin.

Sementara itu, bagi salah seorang penduduk, Ramzan Ali Azid Ahmad, 37, berkata, pembinaan longkang tersebut amat melegakan hati penduduk.

Menurutnya, longkang tersebut mula dibina sejak seminggu lalu oleh beliau dan beberapa pekerja yang diupah, dan dijangka siap dalam masa dua minggu lagi.

“Saya berharap agar selepas ini penduduk tidak lagi bergaduh dan dapat hidup dalam keadaan aman.

“Saya amat kesal dengan apa yang terjadi beberapa minggu lalu, yang mana sepatutnya ia tidak perlu terjadi kerana ia hanya mencemarkan keadaan,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian dalam laporannya bertarikh 4 Disember lalu menyiarkan tentang pergaduhan yang berlaku antara tuan tanah dan juga penyewa tapak yang bergaduh gara-gara parit yang dikorek pihak tuan tanah digunakan sewenang-wenangnya oleh penyewa tapak dengan mengalirkan air dari rumah mereka.

Parit yang pada asalnya dibina untuk menampung air hujan akhirnya menjadi air acar apabila penyewa tapak yang tinggal berhadapan rumah tuan tanah memasang saluran bagi mengalirkan air dari rumah mereka hingga berlakunya banjir.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan tuan tanah hingga berlakunya pertelingkahan antara kedua belah pihak.

Azila
Sinar Harian


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/