Selamat menjalani ibadah puasa dan mudah-mudahan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya....
Isu Bazar Ramadhan di KOMTAR tidak wajar meletup dan gegak gempita jika Kerajaan Negeri P.Pinang terutamanya PDC dan YB Ng Wei Aik Adun KOMTAR mengambil langkah yang bijak.
Seperti yang dijanjikan pada 10 Ogos 2010 jam 11.00 pagi, AMK P.Pinang bertemu dan berbincang dengan Lim Guan Eng tentang isu peniaga Bazar Ramadhan di KOMTAR di pejabatnya tingkat 28 KOMTAR.
Pertemuan ini adalah permintaan Guan Eng sendiri yang mahu mendengar dan berbincang dengan AMK P.Pinang dan apakah langkah yang perlu diambl untuk tangani masalah ini setelah AMK P.Pinang mengambil langkah proaktif untuk meninjau dan mencari punca dan bagaimana untuk tangani isu ini.
Alhamdulillah perbincangan berjalan lancar dan AMK P.Pinang memberi pandangan dan beberapa cadangan kepada Guan Eng dan Guan Eng akhirnya memberi mandat kepada AMK P.Pinang untuk hadir bersama dalam perbincangan antara PDC dan peniaga yang terlibat untuk selesaikan isu ini.
Selepas itu sidang media diadakan bersama Guan Eng, PDC dan Amk P.Pinang di tingkat 28 KOMTAR.
Guan Eng menyelar Ghani Naib Pengerusi Persatuan Peniaga KOMTAR (KMA) yang telah mengutip wang dari peniaga tetapi hingga ke hari ini masih tidak membayar kepada PDC.
Gan Eng juga kesal kerana TPM Muhyidin juga menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat P.Pinang. Muhyidin mendapat maklumat yang salah dari media perdana seperti Utusan, TV3 dan RTM dan beliau sepatutnya menyiasat terlebih dahulu bukannya membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa.
Guan Eng dalam sidang media ini juga meluahkan rasa kesal dalam hatinya yang amat kecewa dengan tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas serta fitnah yang dilemparkan seolah-olah Kerajaan Pakatan Rakyat telah dirogol dan telah mencabul kehormatan.
Katanya lagi hampir setiap hari dan minggu, Kerajaan Pakatan Rakyat difitnah namun begitu beliau menganggap ini semua ada hikmahnya dan beliau akan terus menhadapi segala dugaan yang datang.
Selepas itu AMK P.Pinang pula membuat kenyataan media yang dibacakan oleh Syed Mikael Setiausaha AMK P.Pinang.
Hentikan Segera Fitnah ‘Perkauman’
Terhadap Kerajaan Negeri
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) pada hari ini menegaskan tidak akan bertolak ansur kepada mereka yang memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai ‘perkauman’ dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Cukuplah dengan siri-siri fitnah bermula dari Kampung Buah Pala, Tanah Wakaf Bagan Ajam, Isu Jelutong dan Pokok Asam yang menjadi ‘modal’ politik murahan UMNO untuk menagih sokongan rakyat, sekarang ditambah lagi dengan menghasut peniaga-peniaga Melayu Komtar untuk membenci Kerajaan Negeri, dalam isu lot niaga di ruang legar Komtar.
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) merujuk kepada tuduhan liar yang dilemparkan oleh Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO Pulau Pinang, Aziaan Ariffin yang mengatakan "Ia memperlihatkan sikap pilih kasih pemimpin DAP dan menunjukkan sikap perkauman yang amat tebal.”
Tuduhan jahat ini jelas menggambarkan, siapa sebenarnya pemimpin UMNO yang jelas suka bermain dalam ruang lingkup perkauman mereka yang sempit dan suka ambil sikap hentam keromo sebelum tahu apa yang sebenarnya berlaku. Siapa dia Aziaan? Adakah dia benar-benar menyelami permasalahan yang berlaku? Konon menjadi ‘hero segera’ Melayu, tetapi selama lebih 50 tahun, apa yang UMNO berjaya tinggalkan untuk orang Melayu Pulau Pinang?
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga merasa amat kesal dengan tindakan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar, Mohamed Ghani Abdul Jiman yang mengapi-apikan hubungan baik yang sudah terjalin lama antara komuniti peniaga Komtar dengan pihak Kerajaan Negeri. Tindakan beliau yang menuduh Kerajaan Negeri meroboh premis gerai dan menghalau Melayu dari Komtar adalah amat tidak tepat dan hanya emosional semata-mata.
Bilakah masanya ada notis yang mengatakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menghalau peniaga-peniaga Melayu dari Komtar? Yang jelas ada hanyalah notis untuk urusan menaiktaraf ruang niaga tersebut, agar lebih teratur dan tidak menghalang lalulintas pelanggan Komtar. Bahkan, 20 peniaga sedia ada boleh terus berniaga seperti biasa, dan ditambah lagi dengan 17 lot di tingkat yang sama dan 10 lot di tingkat 4 untuk Bazar Ramadhan.
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) di sini juga menyatakan sokongan kepada kenyataan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar untuk PDC melakukan kutipan terus bayaran sewa tapak dari peniaga, dan bukannya menerusi Komtar Merchant Association (KMA). Ini adalah untuk memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan, setelah kontroversi yang ditimbulkan oleh Naib Pengerusi KMA itu sendiri, Mohamed Ghani.
Justeru, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) dengan ini sekali lagi menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melontarkan fitnah jahat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk orang Melayu, Cina dan India di negeri ini.
Demi memastikan isu-isu rakyat yang membabitkan tiga kaum ini ditangani dan diselesaikan dengan baik, AMKPP menawarkan diri sebagai orang tengah atau ‘mediator’ untuk mencari jalan keluar sebarang pemasalahan pada masa akan datang. Atas kesedaran ini, AMKPP akan menubuhkan satu sekretariat khas yang dinamakan sebagai “Sekretariat Warga Diskusi Isu Rakyat” (SWADAYA)
Selepas sidang media, Guan Eng menjemput AMK P.Pinang ke Tingkat 22, Pejabat Tanah dan Galian untuk menikmati juadah makan tengahari sempena menyambut Ramadhan Al-Mubarak.
Azrizal..sudahlah tu...jangan makan banyak sangat...jaga kesihatan sama...:-)
Pengarah PTG Encik Ariffin bin Awang (tengah) turut meraikan kedatangan AMK P.Pinang.
Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri P.Pinang, Puan Faiza Bt Zulkfli turut hadir bersama dalam jamuan tersebut.
Amboi Rizal Hamid...sengeh kenyang nampak..:-)
Selepas makan TKM 1 P.Pinang pula mahu bertemu dengan AMK P.Pinang di Pejabatnya Tingkat 52. Perbincangan ini biarlah rahsia....cakap salah tak cakap pun salah....
Jam 2.30 - Perjumpaan Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli bin Jaafar dan CEO PDC Setia Urus Encik Sabarul Aswadi bersama peniaga diadakan.
Dalam perbincangan tersebut Ghani Naib Pengerusi KMA turut hadir walaupun tidak dijemput. Namun oleh kerana peniaga mahukan Ghani bersama mereka maka perbincangan diteruskan.
Perbincangan pada mulanya berjalan lancar tetapi akhirnya menjadi tegang bila ada beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan.
Melihat kepada suasana yang agak tegang akhirnya Rizal Hamid Naib Ketua AMK P.Pinang mencelah dan memberi beberapa cadangan. Alhamdulillah PDC dan peniaga bersetuju dengan cadangan AMK P.Pinang yang prihatin tentang nasib peniaga. Cadangan ini mendapat sokongan dan tepukan gemuruh oleh peniaga Bazar Ramadhan.
Namun begitu perbincangan masih belum selesai dan ada beberapa isu lagi yang belum selesai. Keadaan menjadi tegang kembali bila Ghani membela diri dan mendakwa beliau difitnah.
Melihat kepada pertikaian yang masih belum selesai walaupun sudah melebihi sejam, sharpshooter juga mencelah dan memberi beberapa cadangan. Akhirnya Alhamdulillah perbincangan ini berakhir dengan aman dan kedua-dua pihak bersetuju dan mencapai kata sepakat seperti berikut :-
1) Peniaga dibenarkan berniaga mulai hari Rabu.
2) Sewa RM50 sehari dikekalkan dan duit sewaan peniaga diuruskan oleh KMA dan KMA akan bayar kepada PDC.
3) Sewaan serta kos kios Bazar Ramadhan ditanggong oleh PDC.
4) Bazar Ramadhan dikurangkan dari 27 gerai menjadi 25 gerai.
5) Pada mulanya hanya 10 gerai sahaja dibenarkan PDC untuk berniaga di tingkat 3, kemudian Guan Eng cadang 17 gerai dan selebihnya di tingkat 4 oleh kerana ada aduan tetapi akhirnya AMK P.Pinang mendesak PDC agar semua 25 peniaga di benarkan berniaga di tingkat 3 dengan syarat barangan jualan mereka tidak melebihi 2 kaki dan peraturan ini wajib dikenakan terhadap semua peniaga yang ada di KOMTAR bukan hanya kepada peniaga Bazar Ramadhan.
6) PDC juga dipertanggungjawabkan menjaga barangan peniaga kerana pengalaman mereka pada tahun sebelumnya, barangan mereka sering kecurian walaupun ada pengawal keselamatan. PDC berjanji akan tingkatkan kawalan keselamatan.
Alhamdulilah lega rasanya AMK P.Pinang dapat membantu selesaikan isu ini yang tidak sepatutnya menjadi isu besar jika PDC dan YB Ng Wei Aik bijak tangani masalah ini lebih awal.
Semoga apa yang terjadi tidak akan berulang lagi di tahun hadapan. Rasa puas dan tidak sia-sia dua hari berkampong di KOMTAR.
Terimakasih pada semua yang memberi sokongan dan berdoa.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/
P.Pg hanyut diseret arus DAP. UMNO 'hilang'?
-
*1. Keadaan jalan raya di Pulau Pinang tanda mutu kerja teruk – CAP*
PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan
Negeri Pulau...
5 hours ago