SharpShooter Followers

Sunday, August 15, 2010

Mengapa ini semua berlaku dalam Ramadhan

Polis menembak mati seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman kira-kira tiga jam selepas menetak mati isterinya dengan sebilah parang di rumah mereka di Taman Mawar, Langkap dekat Teluk Intan kira-kira 100 kilometer dari sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata Mohd Natri Sharudin, 39, ditembak apabila cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang dan pisau pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

Katanya, sebelum itu lelaki itu telah mengamuk dan menyerang isteri dan dua anak perempuan mereka pada kira-kira 5.15 pagi.

Isterinya Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, seorang pekerja kilang, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang anak mereka, Najihan, 13, cedera di bahagian badan serta putus dua jari tangan kanan, kata Goh ketika dihubungi.

Seorang lagi anak pasangan itu, Nazuwa, 10, terselamat daripada sebarang kecederaan, katanya.

Menurut Goh, selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan berusaha memujuk Mohd Natri menyerah diri tetapi beliau terus mengurung diri di dalam rumah.

Katanya, anggota polis telah menembak mangsa dengan menggunakan senjata taser tetapi tidak berkesan malah menyebabkan dia semakin agresif.

Polis terpaksa menggunakan pistol apabila lelaki itu bertindak ganas dan cuba menyerang dengan parang dan pisau, katanya.

Menurut Goh, mangsa yang terkena dua das tembakan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati lelaki itu memang mempunyai masalah mental dan pernah menjalani rawatan di hospital, katanya.

Mayat pasangan berkenaan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala Najihan pula dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan, katanya. - BERNAMA






Sharpshooter - Ramadhan tahun ini biarpun baru masuk hari ke lima, setiap hari berita yang amat memilukan berlaku ke atas orang Melayu Islam.

Kes buang bayi (kes bunuh bayi), kes bunuh gadis, ribut di Bazar Ramadhan 3 meninggal dunia dan yang terbaru amuk bunuh isteri semuanya melibatkan Melayu Islam.

Melayu dan Islam memang ada bezanya. Islam tak semestinya Melayu dan Melayu tak semestinya Islam. Ini hakikat yang kita perlu terima.

Apakah ini semua amaran Allah? Apakah hikmah disebalik kejadian ini?

Islam ada cara penyelesaiannya. Islam adalah cara hidup. Islam bukan sekadar Sembahyang, Kerjakan Haji, Puasa dan zakat semata-mata tetapi Islam adalah satu cara hidup. Maknanya setiap saat, setiap masa jika dilakukan niat kerana Allah akan menjadi satu ibadah dalam Islam.

Salah satu perkara yang benar, tetapi sukar hendak diakui ialah masalah kejahilan umat Islam terhadap Islam yang dipegang dan dianuti. Daripada kejahilan itu, timbullah tanggapan dan pegangan yang berbeza-beza terhadap Islam.

Kerananya timbul perbalahan dan pertelingkahan yang kadang-kadang membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Kerananya penghormatan kepada ilmu Islam itu sendiri tidak diberikan, yang menyebabkan ulama-ulama Islam dipandang rendah dan direndah-rendahkan.

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam dari dahulu hingga sekarang ialah kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t. Hal ini telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku ke atas umat Islam secara khusus, kerana merekalah umat yang diberi hidayah tetapi ada yang menolak hidayah itu.

Mereka diberi al-Quran tetapi tidak mengenali dan memahaminya. Mereka diberi jalan yang lurus, tetapi memilih jalan bengkang-bengkok kerana pujukan hawa nafsunya.

Sekiranya berlaku kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t., maka malapetaka besar akan
menimpa umat Islam yang akan menyebabkan kesengsaraan di dunia dan keazaban yang dahsyat di akhirat.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Maka adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menyempurnakan pembalasan (pahala) baik mereka dan menambah untuk mereka sebahagian daripada kurniaNya. Adapun orang yang enggan (mengingkari perintah) dan menyombong diri (menolak kebenaran), maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih dan mereka tidak akan memperolehi bagi diri mereka pelindung (pembela) dan penolong (pembantu), selain daripada Allah.” (al-Nisa’ 4: 173)

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud “Hendaklah
kamu menyuruh melakukan ‘makruf’ dan menegah mereka melakukan ‘mungkar’ kalau tidak, Allah akan menurunkan azabNya ke atas manusia.”

Islam adalah agama Allah s.w.t. yang sentiasa untuk diikuti oleh sesiapa sahaja, sentiasa bersedia memberi jalan untuk menyelesaikan masalah umat dari dahulu
hingga sekarang.

Kekurangan umat Islam hanyalah pada keyakinan untuk kembali kepada Islam itu sepenuhnya. Kalau sudah ada keyakinan dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai penyelesai masalah, maka Allah s.w.t. akan menolong hambanya menyelesaikan masalah.

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dibukakan jalan keluar (penyelesaian
masalahnya) baginya dan diberi rezeki kepadanya sehingga tidak teritung banyaknya.” (al-Talaq 65: 2 – 3)

Sama-samalah kita berdoa di bulan Ramadhan yang mulia ini, mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua terutamanya pimpinan kita.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/