SharpShooter Followers


Monday, January 23, 2012

Mansor Othman selar mereka yang perlekehkan Mahasiswa

Mansor menggunakan pendekatan perbincangan ilmiah dengan wakil mahasiswa

GEORGETOWN: Mahasiswa adalah golongan yang perlu diberi perhatian sewajarnya kerana daya keintelektualan mereka amat berguna dalam pembangunan negara dan negeri.

Mereka bukan saja permata malah diibaratkan juga sebagai kumpulan pemikir yang bakal mencorakkan masa depan negara dengan pelbagai disiplin ilmu yang dimiliki.

Demikian kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, ketika menerima kunjungan terima kasih daripada dua wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Gong Badak, Terengganu, di pejabatnya baru-baru ini.

Dua mahasiswa itu ialah Presiden Majlis Perundingan Mahasiswa Unisza di Pulau Pinang, Muhammad Amirrul Kamaruddin, dan wakil Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam universiti berkenaan, Mohd Zulkarnain Mehamat@Mohamad.

Kunjungan itu sebagai membalas keprihatinan Mansor yang hadir di Unisza untuk merasmikan upacara penutupan Karnival Mahasiswa Islam Kali Ke-2 Disember tahun lalu.

Mansor memberi perangsang kepada wakil mahasiswa


Mansor, berkata sikap segelintir pihak memandang remeh tahap keupayaan mahasiswa berfikir sebenarnya boleh mengundang kesilapan besar sekali gus mencerminkan kedangkalan pihak itu sendiri.

"Mereka (mahasiswa) ini terdedah dengan pelbagai sumber dan disiplin ilmu. Jangan sombong dengan merendahkan mereka sebagai 'budak sekolah'. Suara mereka adalah hasrat yang mewakili semua rakan di universiti di Malaysia.

"Mahasiswa yang cergas, cerdas dan bijaksana serta mempunyai jati diri yang utuh adalah mahasiswa yang sering berkata tidak kepada kezaliman dan ketidakadilan," katanya.

Beliau, berkata golongan mahasiswa sedemikian adalah golongan yang sentiasa peka dengan sesuatu isu dan gerakan perkumpulan mereka memperjuangkannya adalah semata-mata untuk kemaslahatan semua penuntut universiti.

"Mereka adalah pelapis kepemimpinan negara atau negeri satu hari nanti. Mereka sangat tahu membezakan mana yang baik atau sebaliknya. Mereka berdiri dengan iltizam tinggi mahu melihat negara yang dicintai tidak berterusan disalahtadbir," katanya.

Mansor menerima plag penghargaan daripada Muhammad Amirrul (kanan) sambil diperhati Mohd Zulkarnain


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/