SharpShooter Followers


Tuesday, January 31, 2012

Safri wartawan Harakah pergi buat selamanya...

AL- FATIHAH - Safri wartawan Harakah pergi untuk selama-lamanya. Harakah kehilangan seorang warganya apabila wartawan Mohamad Safri Samsudin, 42 tahun, meninggal dunia jam 5.37 petang ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).Safri yang mula koma pagi tadi disahkan mengidap barah Ahad lepas oleh HKL

Beliau meninggalkan lima anak yang berumur antara lapan hingga 16 tahun dan isteri, Puan Sharifah Nurhayati Al Yahya.

Safri meninggal di hadapan keluarga terdekatnya di samping rakan-rakan dari Harakah. Antara pemimpin PAS terakhir yang melawatnya adalah Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS jam 11.30 pagi tadi.

Semalam Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS juga sempat menziarahi beliau.

Safri mula terasa letih-letih badan sejak dua bulan lalu. Akibatnya badan beliau kelihatan susut dengan cepat.

Beliau mendapatkan rawatan awal di Hospital Selayang namun doktor di sana mengesyaki beliau sakit batu karang dan memberikan jadual lawatan seterusnya pada 1 April depan.

Namun, minggu lalu Safri terasa letih sangat dan berat badannya susut begitu mendadak.

Beliau kemudiannya membuat pemeriksaan di HKL dan telah dimasukkan ke wad di sana.

Dua hari lepas, 29 Januari, HKL mengesahkan beliau mengidap kanser yang bermula dari hati dan merebak dengan cepat ke seluruh badan.

Safri dan Harakah

Safri mula bekerja sebagai perekabentuk dengan Harakah sejak tahun 1990an lagi namun berhenti selepas itu.

Pada tahun 2008, Safri menyertai kumpulan Harakah semula dengan bertugas sebagai perekabentuk di akhbar Siasah.

Pada awal tahun 2011, apabila Siasah tidak lagi bersama Harakah, beliau bertukar profesyen menjadi wartawan Harakah.

Ini kerana kebolehan dan minat beliau yang mendalam sebagai wartawan.

Sejak itu beliau banyak membuat tugasan di Parlimen dan juga sidang Dun di samping tugas-tugas kewartawanan yang lain.

"Safri seorang wartawan yang berdedikasi dan fleksibel. Kami terasa benar kehilangannya. Saya bagi pihak semua Jamaah Pengarah Harakah dan kakitangan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau," kata Datuk Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah.

Beliau juga memaklumkan, pihak Harakah menyumbangkan RM2,000 untuk membantu keluarga beliau.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau.
Al-fatihah.

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/