SharpShooter Followers

Tuesday, January 03, 2012

Pukul Mahasiswa - Jawatankuasa siasatan Awam perlu diwujudkan segera.

KEADILAN Johor menuntut satu jawatankuasa siasatan awam diadakan bagi menyiasat kejadian mahasiswa, Safwan Anang Taib yang cedera akibat dipukul polis, 1 Januari lalu.

Ketua Penerangannya, Syed Hamid Ali berkata, KEADILAN memandang serius keganasan terhadap mahasiswa dalam Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS), yang dianjur di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu.

"Kami menuntut kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khasnya, segera mengadakan pendengaran awam dan siasatan terbuka berhubung kejadian di mana Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Taib, telah cedera parah dan 17 yang lain ditangkap.

"Jawatankuasa Siasatan Awam itu hendaklah terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan NGO yang bebas; selepas siasatan dilakukan, laporannya hendaklah diumumkan," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya, jawatankuasa itu merupakan pendekatan terbaik untuk menangani peristiwa ini memandangkan pelbagai khabar angin tersebar sehingga mengelirukan orang ramai dan menimbulkan syak wasangka.

Ini kerana Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan mendakwa tulisan di beberapa blog mengenai kecederaan dua mahasiswa akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun, kata Syed Hamid, Safwan Anang pula mendakwa dia telah dipaksa oleh polis untuk berbohong dan menandatangani dokumen yang menyatakan dia "cedera akibat jatuh".

"Sebab itulah kami menuntut supaya Jawatankuasa Siasatan Awam ditubuhkan dengan segera untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan bagi semua pihak," katanya