Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini dua pertubuhan itu berkata pendedahan yang dibuat di dalam rencana Utusan Malaysia pada 9 Jun lalu membuktikan pada haikatnya kerajaan tidak konsisten dalam hal hubungannya dengan Israel.
"Makluman bahawa ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini, semada secara terus atau dari negara ketiga adalah amat mengejutkan.
"Persoalan yang ditanya benarkah Israel diizinkan memasuki ke pelabuhan kita dan mengadakan aktiviti perdagangan dengan negara ini, dan ini secara jelas telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan.
"Mapim dan Shura amat kesal dengan pendedahan yang menunjukkan hiprokasi yang amat nyata," kata kenyataan itu yang diemel kepada Suara Keadilan.
Menurut Setiusaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin adalah anehnya ketika usul khas di Parlimen dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Jun lalu berkaitan dengan kecaman dan tindakan yang akan di bawa oleh kerajaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk bertindak ke atas Israel, tiba-tiba pada hari yang sama dilaporkan kapal Zim Genova milik syarikat Zim Israel Navigation Company berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo yang besar.
"Lebih pelik lagi dilapor oleh rencana tersebut selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).
"Mapim dan Shura terkejut bagaimana pula ada rundingan senyap hubungan perdagangan atau perkhidmatan pelabuhan dilakukan dengan syarikat perkapalan Israel dengan Malaysia.
"Ini sudah pasti suatu penipuan kepada rakyat Malaysia dan dunia umumnya, betapa Malaysia bertalam dua muka dalam perhubungannya dengan Israel.
"Kenyataannya bila kapal kemanusiaan Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang disertai rakyat Malaysia kita dihalau dan diserang di pengairan antarabangsa kenapa pula kapal Israel sewenang-wenangnya dibenarkan berlayar dan berdagang di negara ini!," tegas kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu mencabar sama ada kapal MISC milik Malaysia dibenarkan memasuki Pelabuhan Haifa di Israel.
Mapim dan Shura berpendirian dengan jawapan jelas pihak Kementerian Pengangkutan bahawa kapal Israel dibenar berdagang di Malaysia, membuktikan Malaysia telah mengkhianati rakyat Palestin.
"Walau apapun syarat dan peraturan dikenakan ke atas kapal Israel, membenarkan kapal tersebut berlabuh itu sendiri adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan sikap yang diambil oleh seluruh rakyat Malaysia dan semangat dari usul yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
"Penjelasan Kementerian bahawa pihak West Port menetapkan syarat kepada kapal Israel itu tidak boleh diterima samasekali. Jika Malaysia mempunyai dasar tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan negara yang tidak ditiktiraf, kenapa kapal itu dibenarkan masuk dan berlabuh di Klang?
Mapim dan Shura dengan itu mendesak supaya kerajaan mengarahkan kapal itu keluar dari Pelabuhan Klang dan menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada lagi kapal Israel yang akan dibenarkan berlabuh di pengairan Malaysia," desak pertubuhan itu lagi.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/