SharpShooter Followers

Monday, June 14, 2010

Judi dan rasuah punca utama bolasepak Malaysia lemah

Mutu sukan bola sepak negara bakal mengalami kemerosotan yang serius jika judi bola sepak dihalalkan kerana tumpuan rakyat Malaysia akan bertukar daripada aktiviti sukan itu sebagai riadah kepada permainan yang diatur oleh proksi syarikat judi bagi mengaut keuntungan.

Jurulatih bola sepak Kedah, Radhi Mat Din berkata sebagai bekas pemain yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam sukan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan beliau berasa kecewa dengan sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional yang meluluskan lesen judi sukan bola sepak kononnya untuk mengatasi masalah judi haram yang berleluasa di negara ini.

"Bola sepak tidak ada kaitan langsung dengan judi, malangnya sukan ini sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini.

"Ini umpama lain yang sakit lain pula yang diubatnya dan kerajaan sepatutnya mengetatkan pemantauan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membanteras gejala tersebut.

"Bola sepak mempunyai sejarahnya tersendiri, Malaysia pernah dilihat sebagai antara negara yang terkehadapan dari segi mutu permainan satu masa dulu. Kita setaraf dengan Jepun dan Korea, kini kita ketinggalan jika dibandingkan dengan negara tersebut," kata Radhi pada ceramah perdana sempena dengan Muktamar PAS ke-56 di sini Sabtu lalu.

Menurut beliau pada tahun 1996 seramai 126 pemain telah disabitkan dengan kesalahan rasuah bola sepak dan lebih kurang 42 pemain telah didapati bersalah dan dibuang daerah atas kesalahan terlibat secara langsung dalam skandal rasuah bola sepak negara.

Di kalangan mereka yang terlibat dalam jenayah itu termasuk pemain harapan dunia bola sepak yang bakal menggalas tugas dan tanggungjawab untuk menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Yang menyedihkan lagi hampir keseluruhan skuad pra-Olimpik negara 1996 terlibat dalam jenayah rasuah tersebut.

"Di Malaysia lebih 80 peratus pemain bola adalah anak muda, mereka banyak terdedah kepada judi bola. Tanpa judi bola pun mereka dengan mudah bermain judi melalui internet tanpa kawalan daripada pihak kerajaan, bayangkan apa yang terjadi kepada generasi ini jika judi bola ini dihalalkan oleh kerajaan.

"Justeru itu, jika usia yang masih muda telah terjebak dengan judi maka mereka akan meneruskan sehingga dewasa sehingga menjadi darah daging mereka dan keluarga mereka akhirnya menjadi 'keluarga judi'.

"Saya menyeru agar kita sama-sama turun ke Himpunan 100,000 rakyat Malaysia pada hari Sabtu 3 Julai 2010 di Kuala Lumpur bermula di Masjid Negara dan terus ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bagi mendesak pihak kerajaan memansuhkan judi sukan ini.

"Saya dengan ini juga menjemput tokoh-tokoh besar dalam negara termasuk Tun Dr Mahathir Mohammad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan ramai lagi tokoh besar sama-sama turun dalam himpunan nanti," kata beliau lagi.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/