Tetapi, kini semua itu hanya tinggal kenangan. Dia tidak mungkin lagi dapat memasak untuk suami dan anak-anak, serta menguruskan rumah tangga berikutan pembedahan membuang tumor pada kepala menyebabkan dia kini terbaring tanpa sepatah kata.
Jamilah Samsudin,41, ibu kepada enam cahaya mata berusia enam hingga 19 tahun itu dikesan menghidap ketumbuhan otak sejak tiga tahun lalu.
Namun, beberapa bulan kebelakangan ini penyakitnya sampai ke tahap kritikal hingga memaksa pembedahan membuang tumor dan sebahagian daripada tempurung kepala dilakukan.
Ibunya, Siti Khatijah Razak, 66, berkata, pembedahan pertama dibuat pada 14 Februari lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurutnya, Jamilah masih mampu bercakap selepas itu walaupun pertuturannya kurang jelas. Namun, pembedahan kali kedua yang dilakukan pada Mac lalu merubah segalanya.
Anak keenam dari tujuh adik-beradik itu mula menunjukkan perubahan ketara. Dia bukan sahaja tidak boleh bercakap, malah badannya menjadi kejang dan tidak mampu untuk memberikan sebarang respon.
Walaupun terapi dilakukan dua kali seminggu, namun keadaannya masih tidak berubah. Jari jemari dan kaki mengerekot dan tidak dapat dibetulkan.
“Sebelum ini, dia (Jamilah) tinggal di Kepala Batas bersama suami dan anak-anak. Tetapi, bila keadaannya begini, mak cik mengambilnya untuk tinggal bersama memandangkan dia memerlukan perhatian sepenuh masa.
“Suaminya, Mad Sobri Saad merupakan seorang pembekal pisang dan akan datang menjenguk isterinya setiap dua hari, kadangkala setiap hari mengikut kelapangan. Anak-anak tinggal bersama bapa mereka kerana semuanya masih bersekolah,” katanya.
Dia berkata, dirinya menjadi sebak setiap kali melihat keadaan anaknya itu dan sesekali, fikirannya melayang mengenangkan anak keempat yang meninggal dunia kira-kira 13 tahun lalu akibat sakit jantung, dan anak kelima yang sehingga kini masih mengalami trauma akibat kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu, benarlah kata pepatah, ‘kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa', ketabahan Khatijah dan suaminya, Samsudin Che Mat,71, menjaga puteri mereka amat menyentuh hati.
Khatijah berkata, anaknya perlu diberi susu setiap empat jam berikutan ketidakupayaannya untuk menguyah mahupun menerima makanan keras lain. Katanya, susu akan dimasukkan melalui tiub yang disalurkan terus ke dalam perut.
Sementara itu, bagi Samsudin, penderitaan anak perempuannya itu amat meruntun hatinya.
Dia berkata, tiada apa yang mampu dilakukan, hanya sekadar berdoa agar anaknya itu dapat kembali sembuh seperti sediakala.
“Saya kasihan melihatkan keadaannya yang menghabiskan hampir keseluruhan hari dengan tidur. Setakat ini, doktor tidak memberikan sebarang jaminan untuk dia sembuh dan pembedahan kali ketiga juga mungkin akan dilakukan selepas ini bergantung kepada keadaan.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/