Timbalan Yang Dipertua PAS Jelutong, Mohd Yusoff Mohd Noor berkata, bagi menghalang program badan bukan kerajaan (NGO) tertentu itu, pihaknya telah membuat lapuran polis di Balai Polis Jelutong petang semalam.
"PAS, Keadilan dan pihak Masjid Jelutong tidak membabitkan diri dengan NGO tertentu yang cuba menimbulkan kekacauan sebaliknya kami telah pun mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Pokok Asam yang dikatakan akan dibangunkan dengan pembangunan mewah tidak lama lagi," katanya.
Pada 7 Julai, tambahnya Masjid Jamek Jelutong telah mengadakan perbincangan awal dengan penduduk terbabit cara mana yang boleh dipakai, bukan dengan berdemonstrasi yang bakal mengundang padah atau bimbang dipergunakan oleh Umno.
Justeru itu, beliau dan juga pimpinan Keadilan Jelutong tidak akan bertanggungjawab kepada mana-mana individu yang cuba membangkitkan isu perkampungan Pokok Asam yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Yusoff yang juga Pengerusi Kariah Jamek Jelutong berharap sesiapa yang berhajat datang ke masjid berkenaan membetulkan niat untuk menunaikan solat fardu Jumaat, bukan berdemonstrasi kononnya mempertahankan Kampung Pokok Asam yang sedang dalam projek pembangunan sebelum pengambilalihan kerajaan pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
"Kemusnahan perkampungan Melayu Jelutong disebabkan kebongkakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong yang tidak langsung membela nasib penduduk sejak awal. Mereka dilihat lebih berminat membina kekayaan hasil pembangunan yang dibuat tanpa membela nasib rakyat yang menderita," tambahnya kesal.
Sejak dua hari lepas, masyarakat Melayu Jelutong menerima penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menggesa semua orang Islam berkumpul di masjid berkenaan untuk tujuan itu.
Yusof Noor juga mengecam Umno kerana didakwanya memanipulasi isu tersebut dengan mengeluarkan kenyataan akhbar dan menganjurkan demonstrasi terhadap kerajaan negeri sekarang, tetapi kelibat pemimpin mereka langsung tidak kelihatan ketika penduduk di situ diusir.Yusof Noor berkata, pemimpin Pakatan di kawasan itu - ahli jawatankuasa Masjid Jelutong - yang berunding dengan pihak pemaju untuk melanjutkan tempoh untuk penduduk terbabit berpindah - dari seminggu kepada tiga bulan.
Mereka memujuk pihak pemaju supaya memberi lebih banyak masa kepada penduduk untuk berpindah memandangkan bulan Ramadan semakin hampir.
"Di mana hero-hero Umno pada masa itu? Nampaknya kelibat mereka pun tidak kelihatan untuk menangani isu ini," katanya Yusof dalam satu sidang akhbar di pusat operasi PAS di Jelutung semalam.
Menurutnya, Umnolah yang meninggalkan semua masalah tersebut dan "kami tidak mempunyai jentera atau mekanisme untuk menanganinya masalah yang ditinggalkan oleh Umno." "Tapi kami akan cuba melakukan yang terbaik," tambah Yusof.
Katanya, jika Umno benar-benar berminat untuk membantu penduduk terbabit, maka parti itu harus berunding dengan pihak pemaju dan penduduk untuk mencari penyelesaian yang terbaik.
Tetapi sebaliknya, kata beliau, tindakan mereka telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk, dengan membuatnya seolah-olah kerajaan negeri sekarang yang bertanggungjawab terhadap masalah mereka.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Umno supaya jangan cuba hendak menjadi hero kerana akhirnya penduduk sendiri yang akan menjadi mangsanya. Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah ahli majlis bandaran Pakatan termasuk Izuree Ibrahim, Ramlah Bee Asiahoo, Mohd Zahry Shaik Abdul Rahman, Zikri dan Mohd Fadzil Ismail Ibramsa.
Kumpulan itu menjawab dakwaan pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa peminggiran kampung Melayu di Pulau Pinang merupakan "harga yang berat" yang terpaksa mereka bayar kerana mengubah kesetiaan politik. Zahid yang juga naib presiden Umno dilaporkan berkata rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, perlu menyedari bahawa Umno, yang menjadi tulang belakang BN, selalu memperjuangkan kepentingan semua pihak.
Beliau yang juga menteri pertahanan menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai kira-kira 200 peduduk kampung tersebut yang diberi tempoh tiga bulan untuk berpindah dari kawasan itu yang akan dibangunkan dengan projek perumahan mewah.
Sementara itu, Izuree pula mendakwa, Umno turut mencetuskan masalah yang sama di merata tempat di negeri itu, termasuk di Batu Uban dan Kampung Binjai, yang didiami ramai penduduk Melayu.
Menurutnya, penduduk di dua kawasan tersebut juga mempunyai masalah dengan pemaju kerana mereka menolak pembangunan yang dijalankan di sana. Izuree mendakwa Umno telah mempolitikkan isu tersebut, menyebabkan penduduknya menjadi keliru.
Sharpshooter :- Alahai umno...sudahlah..macam gila talak saja...sejak bila umno bela dan mempertahankan kampong Melayu di Pulau Pinang?
Tahun 2006 di Kg Nelayan Sg Batu adalah bukti jelas bagaimana UMNO tergamak menghalau Melayu ketika dalam bulan Ramadhan. Klik di sini.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/