SharpShooter Followers

Tuesday, July 13, 2010

Lombong pasir - salah fakta

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengatakan syarikat itu pasti gambar tersebut diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat dan bukannya di Bukit Canggang seperti dilaporkan media.

"Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan daripada jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB.

Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands,"jelas Abdul Khalid dalam kenyataan beliau hari ini.

Menurutnya, syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar.

Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG, kata Abdul Khalid lagi.

"Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

"Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

"Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya RM10 juta tan pasir bernilai RM220 juta seperti yang dilaporkan akhbar," jelas Menteri Besar.

Kata Abdul Khalid, adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir.

"Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian. Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/