SharpShooter Followers

Wednesday, July 07, 2010

Kontrak APCO terus disambung

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Parlimen bagi menjelaskan tindakan kerajaan menyambung kontrak perkhidmataan Apco Worldwide Sdn Bhd.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Agung KEADILAN meminta Najib bertanggungjawab mendedahkan segala butiran kontrak antara kerajaan Malaysia dengan firma yang mempunyai hubungkait dengan rejim Zionis-Israel itu.

"Kita mendapat tahu bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah memperbaharui kontrak perkhidmatan Apco pada akhir bulan lalu. Perkara berkaitan dengan Apco telah kita cabar di dalam parlimen tiga bulan lalu sehinggakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana pendedahan tersebut.

"Hari ini ada empat perkara yang saya cabar Najib berikan penjelasan dan berharap beliau dapat hadir ke parlimen untuk penjelasan tersebut.

"Saya mahukan Najib secara terbuka mengeluarkan fakta-fakta cadangan penyambungan kontrak tersebut kerana perkara ini kita mahu tahu atas dasar apakah kontrak itu disambung.

"Keseluruhan isu Apco telah didedahkan oleh Anwar tetapi tindakkan lain dikenakan ke atas beliau, bermula dari pendedahan itulah kita dapati kerajaan memeterai perjanjian bernilai RM76.8 juta hanya untuk perkhidmatan Apco. Jumlah ini diketahui apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengemukakan soalan susulan.

"Bagi penjelasan yang kedua, Najib perlu nyatakan berapa jumlah kos yang kerajaan perlu keluarkan bagi perkhidmatan seterusnya, kalau sebelum ini RM76.8 juta dan penyambungan yang dilakukan ini berapa pula wang rakyat digunakan untuk membayar nilai kontrak tersebut. Selain itu juga Najib perlu nyatakan apakah skop tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada Apco untuk tempoh kontrak baru mereka," jelas Saifuddin pada sidang media di parlimen pagi tadi.

Saifuddin juga mendesak Najib mengemukakan laporan lengkap dan dijelaskan di Dewan Rakyat terhadap prestasi serta pencapaian Apco dalam perkhidmatan mereka sebelum ini.

"Kita mahukan penjelasan dari Najib terhadap pencapaian yang telah diperolehi oleh kerajaan dari khimat Apco, kita tidak mahu tanpa sebarang penjelasan tentang pencapaian kontrak itu disambung.

"Najib perlu datang sendiri untuk menjelaskan perkara-perkara yang kita bangkitkan bukan hanya menyerah kepada timbalan-timbalannya, kita mahukan penjelasan segera dari Najib," kata Saifuddin lagi.

Pada sidang media yang sama, ketika ditanya kedudukan terkini berhubung tindakan merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Anwar berkata sehingga kini beliau belum menerima apa-apa notis.

"Berkenaan dengan hal tersebut sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa notis dan sekarang hanya menunggu apa tindakan mereka. Kita dedah di bawa ke Jawatankuasa tetapi apa tujuan mereka menyambung kontrak perkhidmatan Apco," kata Anwar.

Dalam satu kenyataan lain memberitahu pentadbiran Najib telah memperbaharui kontrak khidmat firma perunding Apco untuk tempoh setahun lagi meskipun mendapat tentangan dari Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Difahamkan kelulusan pada dasarnya telah diberikan seminggu lalu dan keputusan tersebut dirahsiakan bagi mengelakkan bantahan berhubung kaitan Malaysia dengan firma itu yang mempunyai kaitan dengan ejen perisikan Zionis-Israel.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/