SharpShooter Followers

Monday, July 19, 2010

Protes akan adakan demo dan road show seluruh negara

Oleh Sidiqin Omar

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) bercadang untuk mengadakan beberapa siri demonstrasi dan program penerangan sebagai sebahagian daripada kempen bantahan terhadap tindakan terbaru kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG).

Menurut penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli satu perjumpaan akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur pada 28 Julai ini sebagai langkah permulaan kempen bantahan yang dirancang.

"Pada hari tersebut, kita akan susun beberapa siri aktiviti seperti edaran risalah dan menetapkan tarikh 'road show' di seluruh negara. Dalam mesyuarat hari ini, kita bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan itu. Ia merupakan acara kemuncak dan dilihat sangat berkesan," kata Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dijangka hadir pada perjumpaan itu termasuk Pengarah Strategi KEADILAN Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan, wakil Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah, wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema).

Dr Hatta juga memberitahu Protes akan menyegerakan tindakan dan kempen sebelum pertengahan bulan Ogos menjelang bulan Ramadhan.

Beliau menjangkakan program tersebut akan disertai oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan mahasiswa.

Ketika ditanya mengenai tindakan Perdana Menteri yang menaikkan harga minyak dan keperluan asas, sebaik sahaja sidang Parlimen tamat, Dr Hatta menegaskan terlalu jelas ketakutan yang diperlihatkan oleh Barisan Nasional.

"Sebaik sahaja persidangan tamat, kita mendapat maklumat mengenai perkara tersebut. Memang dia tidak berani untuk berhadapan dengan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat," kata beliau.

Dr Hatta turut menyelar tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memanipulasikan istilah dalam kenyataan media bagi mengelirukan rakyat seperti 'rasionalisasi' dan 'penyelarasan' harga bahan bakar dan keperluan asas.

"Itu semua alasan 'karut-marut' Barisan Nasional. Kalau nak mengurangkan penggunaan gula, bukannya dengan cara menaikkan harganya. Kita sepatutnya mendidik masyarakat berkenaan kesan daripada pengambilan gula berlebihan melalui program kesihatan," tambahnya.

Beliau menjangkakan kesan berantai akibat dari kenaikan harga gula akan menyebabkan kenaikan harga dalam makanan, terutamanya kepada umat Islam dan rakyat Malaysia, sama ada pengguna mahu pun peniaga yang bakal menghadapi bulan Ramadhan dan Syawal akan datang.

"Kenaikan bahan makanan pun telah meningkat, ditambah pula dengan kenaikan harga bahan bakar. Ini membebankan, terutamanya kepada kakitangan dan swasta yang berpendapatan kecil, serta peniaga kecil-kecilan," tambahnya.

Dr Hatta menyelar tindakan kerajaan yang boros dalam pengurusan. Dalam pada masa yang sama memangsakan rakyat dengan memotong subsidi.

Baginya penjimatan perbelanjaan kepada kerajaan berjumlah sebanyak RM750 juta itu sebenarnya boleh diperolehi dengan cara lain antaranya mengurangkan pemberian subsidi kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), mengurangkan perbelanjaan kepada projek mega dan mengelakkan ketirisan.

"Kesan kepada rakyat akan berganda. Tindakan (kenaikan) ini menambah kesengsaraan. Kelihatan kerajaan seolah-olah berdendam dengan rakyat," katanya.

Sharpshooter :- Jangan ulangi kesalahan yang sama. Jangan sampai unit amal bertindak ganas terhadap konsert gila.

Teruskan perjuangan...

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/