SharpShooter Followers

Monday, July 05, 2010

Himpunan tak nak judi

Kira-kira 2,000 orang berhimpun secara aman dalam pelancaran 'Kempen Tak Nak Judi' yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang diadakan di Masjid Negara petang semalami.

Pelancaran kempen tersebut adalah bagi meraikan pemansuhan lesen judi dan menggantikan rancangan awal penganjur, iaitu berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agung.

Perhimpunan itu bermula pada pukul 5.00 petang selepas ditangguhkan pada 2.00 petang tadi bagi menghormati majlis pengebumian jenazah Allahyarham Toh Puan Norashikin Mohd Seth, balu Allahyarham Tun Dr Ismail Abd Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

"Kempen 'Tak Nak Judi' ini penting, kerana kita nak sedarkan kepada rakyat bahawa judi ini merupakan musibah. Kita berpendirian bahawa, sekarang adalah masa yang penting untuk kita membuat gesaan memansuhkannya, walaupun bukan serta merta, tapi kita mengambil sikap untuk mendidik dan memberi kesedaran melalui pengalaman sebenar mangsa akibat tabiat berjudi," kata Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Turut hadir pada pelancaran kempen itu termasuk Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi, Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat, Exco Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz serta pimpinan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha GMJ.

Orang ramai turut melaungkan slogan, 'Hidup Rakyat', 'Tak Nak Judi', 'Didik Rakyat', 'Mansuh Judi'.

Beberapa buah kereta peronda polis dan kira-kira 30 anggota berpakaian seragam dan preman berkawal di sekitar Masjid Negara manakala polis trafik mengawal lalulintas yang mulai sesak sebaik sahaja perhimpunan dimulakan.

Shamsul Iskandar dalam ucapannya memberitahu kepimpinan dan hala tuju negara ini, seolah-olah berada dalam tangan tauke judi.

Beliau sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa, perhimpunan hari ini, benar-benar aman, kerana tiada serbuan dari FRU, tembakan bom asap atau pun semburan air kimia.

"Nampaknya FRU pun sokong kita, sebab itu mereka tak ganggu. Jadi, jika kerajaan yang ada sekarang ini tidak pandai mentadbir dan mengurus negara, serahkan kepada yang layak. Janganlah kantung dan dana negara ini ditampung daripada wang hasil urusniaga judi," katanya.

Mohd Azmi juga melancarkan sebuah buku terbitan khas Teras Pengupayaan Melayu (Teras) yang berjudul 'Judi Di Malaysia - Menghalalkan Yang Haram, Musibah Kepada Rakyat Dan Negara'.

Perhimpunan bersurai selepas doa yang dibacakan oleh Nik Abduh.










* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/