SharpShooter Followers

Tuesday, July 06, 2010

Mayat dijumpai di Kg Tok Panjang


BUKIT TENGAH – Seluruh penduduk di Kampung Tok Panjang, dekat sini, semalam dikejutkan dengan penemuan satu mayat lelaki dalam keadaan terlentang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri di sebuah pondok berhampiran pokok buluh.

Mayat yang dikenali sebagai Man, berusia dalam lingkungan 40an itu ditemui dua pemungut sampah ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan barangan terbuang berhampiran pondok tersebut.

Saksi, K Wadivelu, 39, berkata, lelaki berkenaan baru seminggu tinggal di pondok itu ekoran tiada pekerjaan tetap.

Menurutnya, beberapa jam sebelum itu dia sempat berbual bersama mangsa dan ketika itu tiada sebarang perubahan ditunjukkan.

“Kira-kira jam 4 petang saya bersama seorang rakan datang ke sini untuk meletakkan barang-barang terbuang yang kami kutip dari Bandar Perda. Ketika itu mangsa masih boleh bercakap. Selalunya dia akan panggil saya untuk memesan makanan atau minuman.

“Akan tetapi, saya hairan mengapa dia senyap sahaja dan tidak keluar dari pondok ketika kami datang ke situ sekitar jam lima. Kami beranggapan mungkin dia ke hospital ekoran penyakit yang dihidapi iaitu penat dan jantung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Begitupun, Wadivelu berkata, kedua-dua mereka terkejut apabila mendapati mangsa terbujur kaku di dalam pondok dan apabila diperiksa, dia sudah pun meninggal dunia.

Sementara itu, Muhd Khairi Abdullah,26, berkata, mangsa baru sahaja berpindah ke pondok itu dan sebelum ini tinggal di surau kampung berkenaan dan bersikap seperti biasa ketika ditemui beberapa jam sebelum itu.

Difahamkan, mangsa berasal dari Lahar Yooi, Seberan Perai Utara (SPU) dan kerap berpindah-randah.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan tentang penemuan mayat itu.

“Polis mengesyaki mangsa mati mengejut berikutan maklumat yang diperolehi dari penduduk mengatakan mangsa menghidap penyakit jantung. Selain itu, polis turut menemui ubat di dalam poket seluar mangsa.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/