SharpShooter Followers

Monday, August 02, 2010

Chegu Bard antara 30 ditahan demo ISA


1 Ogos — Polis mengempur dan menahan 30 peserta kempen nyalaan lilin di Padang Timur di sini malam ini, program yang diadakan untuk mendesak agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Empat orang lagi ditahan di Pulau Pinang dan seorang di Ipoh.

Antara mereka yang ditahan di sini ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin — menyertai kempen itu yang dianjurkan sempena lima dekad kerajaan menguatkuasakan ISA.

Daripada 30 orang yang ditahan di Petaling Jaya, 22 adalah lelaki dan lapan perempuan.

Mereka ditahan oleh sepasukan lebih 30 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan.

Kempen itu bermula pada pukul 8 malam di Padang Timur, serentak di beberapa lokasi di seluruh negara.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati keadaan menjadi kecoh apabila polis mendesak orang ramai di pekarangan bangunan Amcorp Mall supaya memasuk ke dalam premis itu.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua dalam mesej Twitter berkata, polis juga telah menghalang peserta kempen daripada memasuki Padang Timur yang terletak berhadapan dengan Amcorp Mall.

“Malah polis juga melarang penganjur daripada mengadakan rundingan dengan mereka,” kata beliau.

Katanya, di Pulau Pinang empat orang ditahan kerana mengadakan aktiviti yang serupa.

Mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang terletak berhampiran dengan Padang Timur kira-kira 9 malam.

Dua lagi ditahan di hadapan IPD Petaling Jaya.

Sehingga pukul 11.30 malam, mereka yang ditahan masih berada di IPD.

Maklumat yang diterima The Malaysian Insider menunjukkan selain dua pemimpin tersebut turut ditahan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan, dan beberapa pemimpin Suaram antaranya E. Nalini yang juga penyelaras GMI.

Turut berada di pekarangan IPD Petaling Jaya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy San dan Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya, yang juga seorang peguam.

Presiden PSM Dr Nasir Hashim juga kelihatan di luar IPD.

Ekoran tindakan polis menahan mereka acara nyalaan lilin diadakan di hadapan IPD Petaling Jaya kira-kira pukul 9.30 malam.

Bagaimanapun peguam-peguam hanya dibenarkan masuk ke dalam IPD kira-kira 9.45 malam untuk bertemu dengan mereka yang ditahan manakala anggota FRU diletakkan di pekarangan IPD.

Ketika ditemui pemberita kira-kira 10.30 malam, Latheefa berkata, seramai 18 peguam berada di IPD untuk membantu mereka yang ditahan.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu mengutuk tindakan polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan aman di Padang Timur.

“Saya anggap himpunan ini perjumpaan aman. Polis tak patut buat begini.

“Memang rakyat tak mahukan ISA. Takkan mereka nak kata kami suka ISA,” kata pemimpin DAP ini.

Sentimen yang sama diulang oleh Hee.

“Saya kesal polis tangkap ramai rakan seperjuangan. Mereka buat perjumpaan aman tapi polis anggap sebagai musuh,” katanya.

Latheefa yang juga ahli majlis MPPJ menyifatkan polis tidak menghormati kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.

“Ahli majlis memberi kelulusan bertulis untuk program ini dan keluarkan surat kebenaran. Tapi polis langsung tak hormati.

“Rakyat cuma buat nyalaan lilin, apa yang dibawa cuma lilin, bukan senjata,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed memberitahu pemberita di sini bahawa polis terpaksa bertindak menahan individu terbabit selepas mereka enggan mematuhi arahan supaya bersurai selepas perhimpunan bermula seawal pukul 7 malam.

Beliau berkata pada mulanya kesemua aktivis berkumpul di tempat letak kereta pusat membeli belah terbabit sebelum berarak beramai-ramai menuju ke Dataran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ). Katanya, kesemua mereka kini ditahan di IPD untuk disoal siasat.

Arjunaidi berkata pihak penganjur tidak memohon sebarang permit dari pihak polis untuk mengadakan perhimpunan malah dakwaan pihak penganjur bahawa permit telah dikeluarkan oleh MBPJ pula tidak masuk akal kerana MBPJ tidak punya kuasa untuk mengeluarkan permit tersebut.

Beliau berkata para aktivis yang menyertai perhimpunan itu lebih mementingkan tujuan peribadi dari keselamatan anak-anak apabila mereka membawa dan melibatkan anak-anak kecil mereka serta mengeksploitasi mereka.

Katanya, kesemua penganjur dan peserta perhimpunan itu beredar kira-kira pukul 9 malam tadi.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/