SharpShooter Followers

Wednesday, December 28, 2011

Kita kan orang Malaysia


Penulis : YB Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar)

Penerbit : Media Ikon

Harga : RM18.00

Ulasan oleh Abd Shukur Harun

Sudah sekian banyak orang memperkatakan mengenai bangsa Melayu, ketuanan Melayu, ‘The Malay Power’, ‘The Malay Delima’ dan pelbagai lagi. Golongan intelektual dan penulis sudah sedemikian banyak menulis mengenai Melayu. Antaranya, Almarhum Prof. Dr. Syed Husein Al-Attas, Dr. Syed Husin Ali, Datuk Kamarudin Jaafar dan ramai lagi. Tentu saja perihal bangsa Melayu ini dengan segala kelemahan dan kekuatannya akan terus diperkatakan.

Namun sebuah buku baru, ‘Kita kan Orang Malaysia’ karya terbaru pemimpin dan ideolog (pemikir) PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa memberikan pandangan, analogi dan perspektif yang berbeza dengan buku lain yang mengupas mengenai Melayu. Karya terbaru yang diterbitkan oleh Media Icon Sdn Berhad ini merakamkan pengalaman peribadinya sebagai ahli akademik dan pemimpin politik PAS dan tentu saja beliau mempunyai autoriti untuk bercakap mengenai Melayu, sebuah bangsa yang berada di tengah jalur perdana politik tanah air. Ia memaparkan kisah perjuangan menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, dilema dan cabaran yang dihadapi.

Buku Dr. Mujahid ini dilancarkan bersama dengan sebuah lagi bukunya, ‘Menuju PAS Baru – Krisis, Peluang dan Dinamisme’ yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider’. Kedua-dua buku tersebut dilancarkan oleh Prof. Dr. Aziz Bari. Setelah menekuni bertahun-tahun kedudukan dan masalah orang Melayu dan kaum lain di Malaysia, buku Dr. Mujahid , ‘Kita kan Orang Malaysia’ ini adalah ‘Revisited’ kedudukan Melayu di negara ini setelah lebih 50 tahun merdeka. Beliau meninjau kembali dengan penuh simpati dan pengertian, di samping memberikan pandangan bagaimana seharusnya orang Melayu menghadapi cabaran yang ada.

Melalui buku tersebut, Dr. Mujahid mencadangkan supaya Melayu dinilai semula, dikaji semula masalahnya bermula dari akar umbi hingga hingga ke peringkat atas dibiat secara ikhlas, terbuka apakah bentuk Melayu yang kita kehendaki masa kini. Acuan Melayu mana, katanya, yang akan membentuk generasi masa depan supaya lebih mantap. Ini, kata Mujahid, bukan bermakna Melayu itu hendakm ditukar asasnya, Melayu tetap Melayu.

Beliau merindukan Melayu sebagai bangsa yang mampu bersaing, Melayu yang boleh menjadi contoh dan disegani, serta Melayu yang mampu melihat kaum lain sebagai rakan yang boleh seiring jalan dan Melayu yang mampu menyelesaikan masalah dengan cara yang bertamadun. Bagi Dr. Mujahid inilah watak Melayu yang dikenali dalam sejarah, lalu beliau bertanya, mengapa kita berdepomankan sejarah Melayu tetapi tidak mengikuti ada sopan orang Melayu.

Beliau bertanya lagi, bukankah Melayu telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sebuah tamadun Islam di rantau sebelah sini. Melayu idak mungkin mampu berbuat demikian, katanya, tanpa harga diri dan nilai kesopanan ilmu yang mencetuskan semangat persaingan dan jati diri yang utuh. Bagi Dr. Mujahid, persoalan Melayu kini perlu re-visited atau peninjauan kembali dan ini baginya, bukan lagi satu pilihan tetapi ia suatu kewajipan jika Melayu hendak diletakkan dalam perspektifnya yang betul.

Bagi saya inilah mesej penting yang hendak dihantar oleh pemikir PAS itu kepada orang Melayu sendiri, khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Dengan sifatnya sebagai pemikir, pandangannya memang kritikal dan mencabar, namun bagi mereka yang berfikiran terbuka dan rasional, pandangan Dr. Mujahid ini sangat penting. Ia mengundang semua pihak untuk berfikir akan keperluan menilai semula watak dan kemampuan orang Melayu berdepan dengan cabaran yang ada jika tidak mahu ditewaskan oleh suasana yang sudah sangat jauh berubah.

Beliau mengejutkan mereka yang sedang berkhayal dengan nostalgia masa lampau terutama mengenai apa yang dikatakan ketuanan Melayu, supaya sedar dan melihat realiti sekitar di mana pertarungan di dunia politik, ekonomi, pendidikan dan persaingan sengit semua penjuru kehidupan sedang berlaku dengan hebatnya. Sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid merasa terpanggil untuk mengungkapkan pandangannya mengenai orang Melayu, justru beliau menyedari pentingnya interaksi orang Melayu, dalam karengka gerak kerja lajnah beliau.

Dr. Mujahid adalah anak Mursyidul Am PAS yang pertama, Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa yang juga Presiden PAS dari 1982 hingga 1989. Oleh itu sudah tentu pandangannya mengenai orang Melayu atau bangsa Melayu adalah berdasarkan kenyataan yang ada, bukan dibuai oleh perasaan romantis, nostalgia masa lalu, atau emosi yang tidak terkawal.

Beliau ingin sangat melihat Melayu tampil ke depan sebagai Melayu baru yang mampu menghadapi cabaran yang ada, bersaing secara sihat dan harmonis dengan pelbagai kaum yang ada. Inilah juga, cita-cita dan harapan Lajnah Perpaduan Nasional. Ini jugalah yang menjadi visi PAS, justru Dr. Mujahid adalah Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat, di samping sebagai ideolog (pemikir parti) yang sangat menyerlah. Bukunya ini menarik dibaca untuk oleh semua golongan sebagai bahan berfikir.

Dalam buku tersebut juga ia membicarakan mengenai pengertian ‘Saya Melayu’, debat mengenai orang Melayu, pembentukan diri Dr. Mujahid sebagai orang Melayu, suasana politik di Malaysia bagaimana watak orang Melayu di tengah kemelut politik. Beiau juga merakamkan perjuangan bagaimana menegakkan perpaduan kaum yang melahirkan ‘Kelab Penyokong PAS’ di mana proses selanjiutnya menjadi ‘Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang diterajuinya, kisah dan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar dan impiannya untuk melihat hubungan erat antara kaum sebagai Hadiah 2010 baginya.

—————————————————————

Dr. Mujahid Yusof adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Negeri Perak dari PASdan merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Bapa beliau Yusuf Rawa merupakan Presiden PAS dari 1982 hingga 1989.

Pendidikan : Ijazah Sastera Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir; Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM); Ijazah Kedoktoran Siasah Syariah di Universiti Malaya (UM)

Politik : Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang (2007- ); Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS (2005- ); AJK PAS Pusat (2005- ).

Buku Dr. Mujahid ini adalah sebuah kisah perjuangan menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/