SharpShooter Followers

VIDEO CLIP PERTAMA JINGGA 13 YANG PALING POPULAR

Tuesday, December 06, 2011

Peluh jantan PM @NajibRazak deras mengalir

Ketika pemimpin BN memperlekehkan misi 16 September, hakikat sebaliknya peluh jantan mereka deras mengalir apabila terpaksa berusaha keras menggagalkan usaha Anwar itu.

Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dengan debaran Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang semakin memuncak baru-baru ini boleh dianggap gema-gema dari gaung perhimpunan tahun sebelumnya.

Seperti perhimpunan sebelumnya, tiada apa yang baru, hanya dipenuhi dengan usaha memperlekehkan pemimpin dan parti-parti pembangkang khususnya di mata masyarakat Melayu negara ini.

Adakah di dalam Umno, mempersendakan pemimpin dan parti-parti pembangkang dianggap sebagai tonik penyegar semangat dalam persediaan untuk menghadapi PRU 13 nanti.

Salah satu isu yang menjadi bahan lawak dalam perhimpunan tersebut ialah misi 16 September yang pernah dicanangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan penggulungannya itu, Najib mendakwa projek 16 September oleh ketua pembangkang itu merupakan satu pembohongan kepada rakyat dan juga satu jenaka yang membuatkan perwakilan ketawa terbahak-bahak.

Mendengar ulasan Najib malam itu, banyak mengingatkan saya apa yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali dalam memoirnya, Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali.

Menurut Syed Husin, misi 16 September Anwar Ibrahim itu memang benar-benar wujud, cuma berjaya dipatahkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurut pemimpin veteran itu lagi, Umno selepas mengetahui rancangan berkenaan, bergegas membawa kebanyakan ahli parlimen BN ke Taiwan, dan ada juga ke Macau dan New York, bagi memastikan rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Dalam memoirnya turut menyatakan BN telah mengumumkan peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk projek-projek pembangunan di Sabah dan Sarawak sebagai umpan ahli parlimen BN di dua negeri itu.

Peruntukan itu katanya telah memberi peluang kontrak kepada syarikat-syarikat dan kontrak kroni yang ada kaitan dengan ahli-ahli parlimen yang juga merupakan pemimpin politik Umno-BN di kedua-dua negeri.

Antara beberapa ahli parlimen BN yang dikatakan bakal menyeberang ketika itu ialah pemimpin Bumiputera bukan Islam yang dipercayai dari Sabah dan Sarawak.

JPM panas

Selain itu ia juga mengingatkan saya terhadap apa yang diberitahu seorang kenalan saya yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada saya kira-kira lebih seminggu sebelum 16 September 2008 tiba.

Kenalan saya itu, walaupun tidak menjawat jawatan yang cukup tinggi bagi membolehkan beliau berurusan terus dengan Perdana Menteri tetapi jawatan yang disandangnya juga bukanlah kecil-kecil anak.

Selain dari faktor jawatan, lokasi pejabatnya itu menyebabkan agak kerap beliau bertemu beberapa ‘orang kuat’ termasuklah orang penting ‘tingkat empat’.

Menurutnya, semasa isu misi 16 September Anwar itu meletus, keadaan di JPM khususnya yang berkait rapat dengan Pejabat Perdana Menteri sungguh tegang.

Perdana Menteri (PM) ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan arahan khas yang mahukan segala laporan maklumat berkaitan isu berkenaan hendaklah disalurkan terus kepada pejabat PM untuk membolehkan tindakan segera diambil.

Dalam arahan khas itu juga menyebut, segala arahan berkenaan isu itu hanya boleh dikeluarkan dari Pejabat PM sahaja.

Pihak-pihak lain di JPM ketika itu tidak dibenarkan sama sekali mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak.

Guna risikan polis, tentera

Menurutnya, kebanyakan arahan yang dikeluarkan itu disalurkan terus kepada Pegawai Tinggi Cawangan Khas dan juga Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia.

Antaranya, pergerakan Anwar, individu rapatnya serta individu yang ditemui oleh Anwar ketika itu dipantau rapat dengan diselaraskan secara bersepadu oleh anggota-anggota Cawangan Khas dan juga anggota Kor Risik.

Maklumat dari sumber risikan itulah yang kemudiannya disalurkan terus ke pejabat PM ketika itu untuk tindakan selanjutnya.

Kenalan saya turut yakin bahawa tindakkan BN yang secara tiba-tiba membawa ahli parlimennya mengikuti lawatan sambil belajar di Taiwan, Macau dan New York merupakan sebahagian tindakan untuk menggagalkan rancangan Anwar.

Bagaimanapun dalam isu lawatan sambil belajar ini, beliau mempunyai pendapat yang sama dengan saya iaitu ia bukanlah merupakan faktor utama punca kegagalan Anwar membawa ahli parlimen BN menyeberang ke Pakatan Rakyat.

Sebaliknya ia hanyalah sebagai persediaan atau langkah berjaga-jaga BN sekiranya pelan utama untuk mematahkan misi 16 September yang telah dijalankan sebelumnya mengalami kegagalan.

Ketika lebih kurang dua hari sebelum 16 September tahun yang sama, kenalan saya itu turut memberitahu rancangan Anwar boleh dikatakan hampir seratus peratus berjaya digagalkan tetapi langkah berjaga-jaga masih diambil.

Memandangkan kedudukan jawatan kenalan saya di JPM itu, siapakah orang-orang di sekelilingnya di tempat kerjanya dan juga keperibadian beliau, membuatkan mudah untuk saya mempercayai apa yang disampaikan dan sehingga kini pun saya masih yakin kebenarannya.

Ketika pemimpin-pemimpin BN termasuk Abdullah dan Timbalannya ketika itu Najib memperlekehkan misi 16 September, hakikat sebaliknya peluh jantan mereka deras mengalir apabila terpaksa berusaha keras menggagalkan usaha Anwar itu.

Sudah tentu ramai yang tidak terlalu bodoh untuk mempercayai pemimpin BN ketika itu tidak melakukan apa-apa tindakan melainkan berpeluk tubuh sambil ketawa berdekah-dekah menikmati ‘lawak’ 16 September Anwar itu.

Sama juga ketika malam ucapan penggulungan Najib dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, walaupun mereka ketawa tetapi di sudut hati pemimpin tinggi mereka hanya mampu menarik nafas lega kerana berjaya melepaskan diri dari petaka yang hampir menimpa Umno dan BN.

Jelas, pada malam ucapan Najib memperlekehkan usaha 16 September itu, pemimpin Umno dan para perwakilannya hanya mentertawakan dan menipu diri sendiri, tidaklah lebih dari itu adanya.

Nazli Ibrahim merupakan seorang penulis dan wartawan bebas. Artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com




Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/