SharpShooter Followers

Thursday, July 05, 2012

MCA kini berpecah dgn UMNO di Selangor - @azmizam

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yakin desas desus politik yang ditimbulkan oleh MCA dalam isu penyelewengan Talam Corporation Sdn Bhd bernilai RM 260 Juta hanyalah semata-mata satu cubaan semberono untuk menyerang keampuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor .

Usaha ini terpaksa dilakukan oleh MCA memandangkan 'ketua' mereka dalam Barisan Nasional iaitu Umno dilihat semakin longlai dalam menangani asakan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan padu rakyat Malaysia.

Ini terbukti apabila Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kata putus mengenai tarikh pembubaran Parlimen dan membayangkan untuk menggunakan mandat lima (5) tahun sepenuhnya sehingga tahun 2013, satu situasi sukar yang membayangkan kejatuhan kerajaan tua itu.

Atas dasar itu AMK Selangor menempelak kenyataan Penyelaras BN Selangor, Dato Seri Ir Mohd Zin yang menyatakan BN tidak gentar apabila akan disaman oleh Kerajaan Selangor berhubung pendedahan tidak benar dan fitnah itu.

Saya menganggap percaturan politik Umno BN ini menemui jalan mati apabila Menteri Besar Selangor , Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim dengan segera memberi reaksi bahawa Kerajaan Negeri akan menyaman MCA dan mana-mana pihak yang cuba mendedahkan maklumat palsu dan memfitnah Kerajaan Negeri. 

UMNO SELANGOR BERANTAKKAN, MCA TERPAKSA CARI JALAN SENDIRI

Kebelakangan ini terlihat kepada umum betapa sebenarnya Umno terutamanya di Selangor ini bekerja cuma kerana dipayungi tender berjuta dan memeras semua projek negeri. Apabila mereka tewas pada 2008, Umno Selangor hilang punca dan cuba mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan pelbagai corak agresif dan kasar.

Namun setelah empat tahun berlalu, ternyata semangat Umno Selangor telah hilang lantaran kekurangan tender dan projek yang menyebabkan kantung mereka kering dan terpaksa bergantung kepada Umno pusat, malangnya mereka masih gagal memuaskan hati kroni mereka. 

Umno Selangor juga bercakaran dan berantakkan apabila wujud beberapa kem di dalam parti tua itu semenjak Datuk Seri Dr Khir Toyo terpaksa menelan kepahitan ditumbangkan walaupun melaungkan slogan "Pembangkang Sifar" pada 2008. Selain kem Dr Khir Toyo, wujud juga kem Dr Ir Mohd Zin selaku Penyelaras BN Negeri dan kem Tan Sri Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri.

Umno Selangor ini sendiri, terpaksa diketuai oleh Najib Razak sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri. Maka mana mungkin MCA boleh menaruh kepercayaan kepada mereka untuk mengintai sisa-sisa peluang sekurang-kurangnya mengekalkan kerusi yang ada. 

Namun, MCA tiada pilihan lain kecuali cuba melempar seketul batu dengan niat semata-mata untuk mempertahankan beberapa kerusi MCA yang ada di Selangor. MCA sendiri tahu mereka tidak dapat merampas semula Selangor jika Umno negeri itu terus bersikap kebudak-budakkan dan gagal untuk bersatu. 

Justeru AMK Selangor yakin dan percaya akan integriti dan ketelusan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam mengurustadbir amanah rakyat serta menyokong amaran Kerajaan Negeri yang mahu menyaman mereka yang terus memfitnah dan cuba mengaibkan Kerajaan Negeri tanpa bukti yang kukuh.

AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Pusat

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone