SharpShooter Followers

Wednesday, July 18, 2012

TKM 1 P.Pinang sedia kosongkan kerusi Penanti

PERTEMUAN di tingkat 52, Komtar antara Sinar Harian dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman selama sejam bermakna buat pembaca kerana beliau yang sentiasa sibuk dengan tugasan sebagai orang kedua  terpenting di Pulau Pinang dan Adun Penanti.

Mansor yang menyambut kedatangan saya, tersenyum sambil bertanya mengapa saya menggunakan perkataan 'eksklusif' untuk wawancara kali ini ketika membuat pengesahan dengannya.

Dalam wawancara bersama SYAJARATULHUDA MOHAMMAD ROSLI bersama Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang itu, berkali-kali mengulang bersedia dengan apa jua keputusan parti termasuklah sekiranya diarahkan bertukar  kawasan Dun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Katanya, beliau tidak bermasalah kerana bersifat 'party man', dan menyerahkan keputusan itu kepada pusat untuk menentukannya.

Dalam wawancara ini juga beliau ada menyebut berkenaan persiapan PKR menghadapi PRU13 yang semestinya lebih sengit dari PRU terdahulu. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Mansor.

Datuk ada dakwaan mengatakan Datuk ingin mengosongkan kerusi Dun Penanti untuk beri laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, sejauh manakah kebenaran itu?

MANSOR: Itu terpulang kepada pusat, saya adalah 'party man', apa sahaja keputusan Pusat, saya ikut. Jika di Dun Penanti berkehendakkan saya dipecat (kosongkan kerusi) untuk digantikan orang lain termasuk Wan Azizah, saya tiada masalah atau saya boleh ambil kedua-dua kerusi (Adun dan Parlimen).

Bagaimanapun saya tidak sasar mana-mana kerusi untuk bertanding. Namun msih ada dua kerusi Parlimen yang kosong (Nibong Tebal dan Bayan Baru). Tapi tunggulah, tunggu Pusat buat keputusan terlebih dahulu.

Terdapat juga desas desus mengatakan ahli PKR mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Nibong Tebal, adakah ia benar?

MANSOR: Ya,... ada juga cakap-cakap begitu tetapi, saya percaya Anwar akan kekal di Permatang Pauh. Itu kerusi ikonik untuk beliau sekarang. Kita tidak mahu menukar 'keadaan' ikonik yang sedia ada itu.

Bagaimana Datuk melihat dengan persiapan calon PKR menjelang PRU13?

MANSOR: Senarai (calon) sudah pun dibuat dan kita sudah kemukakan kepada Pusat. Calon yang menonjol untuk kali ini, tidak macam dulu yang mana dulu kita sukar untuk cari calon yang hebat, menonjol. Namun kali ini, kita ada lebih calon (yang berkualiti).

Ini bermakna, di setiap DUN, kita sudah bersedia. Pemilihan tetap macam biasa, cabang hantar kepada kita dan kita serahkan kepada pusat. Di peringkat pusat, kita ada menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya Pusat yang mana saya selaku Timbalan Pengarah untuk membuat senarai pendek calon-calon yang akan bertanding. Saya mempunyai senarai calon yang baik. Kira-kira 30 peratus adalah muka baru.

Parti yakin dengan calon-calon ini berikutan mereka terdiri daripada golongan profesional.

Calon yang bagaimana dikategorikan sebagai menonjol dan berkualiti?

MANSOR: Calon yang ada profesionalisme, serta calon yang kita nampak boleh menang. Selain itu, kita mengambil kira kesediaan calon itu untuk memberi khidmat kepada rakyat serta perkhidmatannya di dalam parti. Kita juga mengambil kira calon yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus serta jawatan dia dalam bidang profesional.

Kita dalam usaha untuk mencampurkan calon yang tidak profesional dengan profesional kerana rakyat kini semakin matang serta 'demanding'.

Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah keupayaan calon itu dalam memberi perkhidmatan yang baik, tak guna ada profil yang baik namun tiada keupayaan untuk mendekati dan berkhidmat untuk rakyat.

Bagaimana pandangan Datuk mengenai senario politik di Pulau Pinang kini?

MANSOR: Banyak aspek yang saya lihat, antaranya penglibatan rakyat terhadap dasar rakyat, iaitu banyak suara rakyat terutamanya bila tengok rakyat tidak puas hati, maknanya rakyat respond dan ada peningkatan kalau dibandingkan dengan dahulu. Penglibatan mereka ini adalah penyertaan politik dalam proses pendemokrasian. Selain itu, kita nak ganjak daripada politik perkauman kepada politik berteraskan keadilan, tetapi malangnya di sini, masih ada unsur-unsur politik perkauman.

Ia tidak susah untuk kita nak faham sebab sentimen orang Melayu masih menganggap mereka golongan minoriti sedangkan statistik menunjukkan tiada golongan etnik yang majoriti. Tetapi jika India dan Cina digabungkan, maka bukan Melayu lebih, tetapi jika disenarai satu persatu (kaum), tiada kaum yang menonjol begitu ketara.

Walau bagaimanapun, jika kita banding Melayu di negeri lain, Melayu di Pulau Pinang lebih baik, dalam banyak aspek antaranya rumah, infrastruktur atau kemudahan kesihatan.

Dasar di Pulau Pinang mestilah prihatin tentang isu Melayu kerana kita faham apa yang mereka rasa. Selain itu, kita lihat di sini seolah-olah jadi trend apabila politik menjadi ganas.

Sebelum ini (2008) tidak pernah jadi pun, oleh itu, inilah perkara malang bagi PR. Kita nak menuju ke negeri maju dalam pelbagai penambahbaikan dalam sistem pilihanraya, pentadbiran dan sebagainya, sepatutnya politik ganas ini tidak perlu terjadi.

Harap perkara ini tidak menjadi trend yang berpanjangan. Saya juga melihat, trend menyerang peribadi seseorang pemimpin itu semakin menjadi-jadi. Bagi saya, mengapa perlu menyerang peribadi seseorang itu, kita debat berdasarkan dasar dan bukannya peribadi. Itulah trend politik sekarang.

Bagaimana dengan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sekarang?

MANSOR: Kita bekerja dengan baik dengan rakan kita, DAP dan Pas iaitu mempunyai hubungan baik dengan DAP dan peringkat pengurusan Pas. Tambahan pula, kita selalu mengadakan perjumpaan.

Keadaan PR di Pulau Pinang sangat baik di dalam perspektif itu (hubungan sesama dalam parti). Kita tidak menghadapi isu-isu besar seperti negeri PR yang lain. Kemasukan ahli pula menunjukkan peningkatan berikutan penekanan pada setiap biro politik dan ahli pimpinan mesyuarat majlis. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menekankan isu keahlian berikutan ia adalah agenda utama parti. Kita memperoleh antara 200 anda 300 ahli setiap kawasan setiap bulan.

Kawasan yang menunjukkan peningkatan adalah Bayan Baru, Permatang Pauh, Nibong Tebal, Batu Kawan, Kepala Batas dan Bukit Mertajam.

Yang agak kurang adalah Bagan. Ada juga perwakilan dari kaum etnik dan apa yang penting, mereka ini golongan muda. Kalau kita lihat pada majlis makan malam PKR yang diadakan di cawangan-cawangan baru, kira kira 1,000 keahlian telah dibuka bulan lalu. Kebanyakkannya mereka dari bahagian pulau. Oleh itu,ia satu peningkatan yang baik dari sudut perspektif itu. Ini adalah persediaan untuk pemimpin baru di masa akan datang. Ia satu kegagalan buat saya jika tiada golongan muda yang menyertai PKR.

Bagaimana pula dengan kerusi yang mempunyai peluang cerah untuk menang?

MANSOR: Umno mendakwa mereka yakin boleh menang. Saya ingin menegaskan bahawa pada tahun 2008, kami (PKR) terlepas lima kerusi, tetapi majoriti mereka (Umno) memenangi hanya kira-kira 500 undi. Oleh itu, ini adalah kerusi 'winnable' yang berpotensi untuk kita (menang), seperti Pulau Betong, Teluk Bahang, Bayan Lepas (Pas), Sungai Acheh dan Seberang Jaya.

Walau bagaimanapun, kita tetap bimbang untuk kerusi Melayu (majoriti), termasuk saya.

Saya tidak boleh kata amat yakin mengenai kedudukan saya termasuk Batu Maung kerana ia adalah sasaran Barisan Nasional(BN)-Umno.

Adakah PR Pulau Pinang sudah setiap manifesto apa yang dijanjikan pada 2008?

MANSOR: Dari 2008 hingga sekarang, PR telah menunjukkan bahawa kita boleh mentadbir. Kita telah menunjukkan tadbir urus yang baik, bermakna ia diuruskan dan bebas daripada rasuah, terutamanya di kalangan ahli politik. Perkara ini didedahkan sendiri Ketua Audit Negara. Kita juga menunjukkan peningkatan dalam penciptaan dan Pelaburan Luar Negeri (FDI) serta urus tadbir dalam kerajaan dan pembangunan. Kita juga berkeupayaan memberi semula keuntungan yang ada kepada rakyat. Kita dah buktikan yang kita Kerajaan Negeri yang penyayang dan mesra jumlah rakyat. Walaupun apa yang kita ada itu dalam jumlah yang kecil, namun kita tetap beri kepada rakyat antaranya program penghargaan untuk warga emas, ibu tunggal, pelajar, orang kurang upaya dan bayi yang baru lahir. Ini semua boleh dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, tetapi mereka tidak buat.

Antara perkara penting lain yang perlu kita tunjukkan adalah pembangunan fizikal, seperti terowong, jalan raya, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (Pice), Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PICC), membangunkan sektor   pelancongan sukan, perubatan dan menangani isu-isu pengangkutan awam.

Selain itu, dibangkitkan juga isu-isu seperti jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), video seks serta tuduhan penglibatan negatif dalam perhimpunan Bersih, adakah ia akan menjejaskan PR?

MANSOR: Untuk MAINPP, saya diberi tempoh masa bagi ia diselesaikan, malah ketika pembangkang cuba untuk menguji kita (PKR) terhadap Pas, ia masih tidak berjaya. Manakala bagi isu-isu yang melibatkan pimpinan PKR, saya tidak fikir ia akan memberi kesan besar kepada kita kerana rakyat tahu ini semua permainan psikologi sementara pembangkang (BN di Pulau Pinang). Isu ini sudah 'overplayed' dan bila sudah 'overplayed', orang ramai akan mula  mengeluarkan pendapat.

Saya yakin, isu-isu yang dimainkan di televisyen, akhbar dan ceramah, tidak membuat golongan muda terpengaruh. Faktor ini yang kita kena jaga kerana pengundi muda menunjukkan 40 peratus di dalam  senarai pengundi. Mereka (golongan muda) bukan mudah dipengaruhi dengan psikologi yang dimainkan pembangkang.

Sehingga kini masa menghadapi PRU13 dilihat agak kritikal, sejauh manakah dan peratus keyakinan Datuk untuk  PR terus menguasai Pulau Pinang?

MANSOR: Saya sangat yakin, saya yakin 80 peratus untuk kami terus mentadbir kerajaan negeri. Ini berdasarkan ukuran mood rakyat yang bertambah serta kerusi yang belum dimenangi, tak banyak. Dengan penambahan pengundi baru, kita yakin terhadap Pulau Pinang.

Cuma yang menjadi penghalang adalah proses pilihanraya, jika ia dijalankan dengan tidak bersih, ia akan memberi masalah kepada kita. Kita juga sasar lebih banyak kerusi dalam PRU13. 


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone