SharpShooter Followers

Thursday, November 25, 2010

Che Det perlu taubat nasuha

Keadilan menasihatkan adalah lebih wajar Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri melakukan taubat nasuha kerana beliau sebenarnya menjadi punca perpecahan bahkan kemunduran orang Melayu, dan jangan menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komponen Pakatan Rakyat itu mendakwa mutakhir ini bekas perdana menteri menjadi penyebab maraknya api perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Pada usia senja adalah lebih baik untuk mantan perdana menteri banyak melakukan ibadah khusus kepada Allah SWT sebagai persiapan menemuinya walaupun penentuan umur adalah di tangan Allah s.w.t.,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Dr Muhammad Nur Manuty.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Muhammad berkata, Dr Mahathir bertanggungjawab memecat dan mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan timbalan perdana menteri dengan dakwaan fitnah liwat yang ternyata tidak benar.

“Beliau mengaibkan Datuk Seri Anwar dan keluarga di khalayak ramai. Perbuatan mantan Perdana Menteri mengaibkan Datuk Seri Anwar dan seisi keluarga adalah sangat bertentangan dengan prinsip dan hukum agama dan tindakan tersebut bertentangan denga norma dan tatasusila masyarakat bertamadun.

“Justeru, Datuk Seri Anwar mempunyai hak di sisi syariat Islam mempertahankan maruah diri dan keluarga daripada fitnah. Kiranya tindakan Datuk Seri Anwar mempertahankan maruah diri menimbulkan perpecahan, maka perpecahan itu adalah hasil daripada pertembungan antara hak dan batil,” kata Muhammad.

Semalam, Mahathir berkata pihak luar semakin tidak percaya kepada Anwar dan dengan itu kerajaan tidak perlu bimbang dan menghalangnya daripada pergi ke luar negara bagi mengelak ketua pembangkang itu daripada terus menghina Malaysia.

Lagipun, kata bekas perdana menteri, jika Anwar dihalang ke luar negara, ini akan menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan, dan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

Dr Mahathir berkata semakin kerap Anwar keluar negara untuk memburukkan negara sendiri, secara sendirinya penasihat Keadilan itu mendapat imej yang negatif.

Katanya, sudah sampai masanya penyokong dan anggota Keadilan menyertai Umno kerana terbukti Keadilan diwujudkan hanya untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan dengan segera kerana kewujudannya hanya memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab memecah belahkan umat Islam perlu ditolak sama sekali daripada membiarkannya menjadi pemimpin sehingga membawa kepada pergolakan sesama umat Islam itu sendiri.

“Umat Islam harus bersatu dalam parti yang besar (Umno) yang selama ini banyak memainkan peranan membangunkan negara dan membela kebajikan rakyat.

“Takkan kita hendak pemimpin yang tidak tahu berbakti tetapi hanya tahu hendak menjadi Perdana Menteri. Sehubungan itu saya menyeru kepada penyokongnya agar bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan seperti kata pepatah Melayu,” katanya.

Menurutnya dengan pembubaran Keadilan, orang Melayu serta umat Islam diyakini akan kembali bersatu teguh dalam sebuah parti yang selama ini banyak memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata mana-mana parti kecil perlu kembali menyertai parti besar bagi mengukuhkan perjuangan orang Melayu yang kini terpecah kepada tiga kumpulan.

Malah kata Muhammad, bekas perdana menteri itu juga bertanggunjawab merobek unsur-unsur kekuatan bangsa Melayu dari segi bahasa, agama, pendidikan sekolah agama rakyat, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan ekonomi orang Melayu dan melakukan pindaan persempadanan kawasan pilihan raya majoriti pengundi Melayu sehingga menjejaskan keutuhan politik Melayu.

Kata beliau, menjadi satu kebiasaan Dr Mahathir untuk meletakkan setiap beban kesilapan dan ketelanjuran beliau di atas bahu orang lain.

“Isu perpecahan masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia adalah berpunca daripada beliau sendiri.

“Parti yang didakwa kecil oleh Dr Mahathir Mohamad pada hakikatnya adalah sebuah parti yang lahir pada tahun 1999 dari gejolak kemarahan rakyat kerana kezaliman beliau dan terus mendapat dokongan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Alhamdulillah, parti ini pengaruhnya semakin meluas dan bertakhta dihati rakyat serta berpotensi besar, insya-Allah, mengambil alih pemerintahan negara.

“Inilah yang digeruni oleh Dr Mahathir yang menjadikan beliau sentiasa berada dalam resah dan gelisah,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, sewajarnya Dr Mahathir berlapang dada menerima penentuan rakyat dalam merayakan amalan demokrasi.

Katanya, seandainya Anwar, yang merupakan Penasihat Keadilan dan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu rendah kualiti diri dan kepimpinan dalam mata pandangan Dr Mahathir, mengapa beliau masih terus mendapat sambutan dan sanjungan rakyat di negara ini walaupun dicerca saban hari dan waktu oleh pelbagai pihak menerusi pelbagai media.

“Beliau juga terus diterima dan dihormati sebagai seorang tokoh pemimpin berwibawa oleh sebahagian besar pemimpin dunia, para ‘ulama tersohor, para ilmuan Muslim dan bukan Muslim di peringkat antara bangsa,” katanya.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/