24 November 2010
Kepada Tan Sri Abd Aziz Yusuf
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Perkara: Memohon maaf atas kritikan saya
Tuan, merujuk kepada di atas, saya seperti nama di atas merupakan seorang penulis politik di beberapa akhbar media cetak, akhbar portal dan blog ingin memohon maaf atas kesilapan beberapa kenyataan dalam artikel saya yang pernah diterbitkan.
Sebagai seorang penulis politik yang tidak bertuankan sesiapa dalam politik negara, saya agak bebas mengkritik mana-mana pihak yang saya fikirkan perlu termasuk pihak tuan sendiri.
Oleh kerana saya melihat terlalu banyak kepincangan apabila setiap kali pihak tuan mengendalikan perjalanan pilihan raya, maka pihak tuan sering menjadi sasaran mudah saya.
Kritikan dan kecaman saya terhadap pihak tuan tidak terbatas dari satu sudut sahaja, malah saya sentiasa menyerang dari segenap ruang yang ada.
Ketika itu, pada pendapat saya, SPR tidak ubah kalau bukan budak suruhan Umno-BN pun, sekurang-kurangnya sudah tentu menjadi alat kepada mereka.
Saya juga berpendapat, SPR adalah suruhanjaya yang paling tidak berwibawa dalam menjalankan mana-mana pilihan raya dalam negara ini.
Dalam erti kata lain, saya menganggap prestasi SPR adalah yang terburuk dalam mengendalikan mana-mana pilihan raya di negara ini.
Bagaimanapun baru-baru ini saya mula menyedari akan kesilapan saya meletakkan SPR di kedudukan paling terburuk, setelah menyaksikan satu lagi pilihan raya yang diadakan oleh sebuah parti politik baru-baru ini.
Saya dapati pilihan raya yang dikendalikan oleh parti tersebut mempunyai kepincangan dan penipuan yang berlipat kali ganda lebih buruk dari apa yang pihak tuan pernah lakukan untuk parti pemerintah.
Saya percaya, niat mereka juga sama dengan pihak tuan, iaitu untuk menjaga pihak yang memegang tampuk kuasa dengan apa cara sekalipun. Cuma saya percaya kaedah yang mereka gunakan adalah kaedah penipuan yang lansung tidak pernah terfikir oleh pihak tuan.
Salah satu contoh mudah, saya percaya pihak tuan tentu tidak pernah terfikir untuk melarikan peti undi, apatah lagi membawa peti undi balik ke rumah tuan.
Walaupun ianya kedengaran agak melucukan, tetapi hakikatnya ia memang berlaku dalam pilihan raya parti tersebut yang baru sahaja selesai minggu sudah.
Setelah saya menilai semula apa yang berlaku, saya mendapati pilihan raya yang dijalankan oleh pihak tuan tidaklah seburuk mana jika dibandingkan dengan pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik itu.
Maka pada masa ini jelaslah, bahawa andaian saya sebelum ini yang menganggap kewibawaan pihak SPR adalah yang terburuk adalah salah kerana pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik tersebut didapati jauh lebih buruk.
Bagaimanapun saya tidaklah bermaksud menarik kembali kenyataan yang pernah saya lemparkan kepada pihak tuan kecuali dari segi kedudukan terburuk sahaja yang berubah apabila ada lagi yang lebih buruk.
Saya juga ingin memaklumkan kepada pihak SPR, adalah amat wajar jika pihak SPR meneruskan usaha untuk memenangkan parti pemerintah dalam PRU 13 akan datang dan ia satu usaha yang perlu walau dengan apa cara sekali pun tanpa mengira sekotor mana sekali pun.
Pihak parti yang menjalankan pilihan raya tadi tentunya dengan mudah menerima dengan hati terbuka jika kekalahan mereka disebabkan penipuan yang SPR lakukan nanti.
Saya berpendapat sedemikian berasaskan hakikat mereka sendiri turut telah dapat menerima penipuan sebagai satu cara yang halal untuk mencapai matlamat mereka ketika pilihan raya.
Tambahan pula, saya turut berpendapat seandainya mereka ini memenangi PRU 13 nanti saya percaya kelak jawatan-jawatan tertinggi dalam SPR akan diisi oleh orang-orang yang sama dalam jawatan kuasa pilihan raya parti itu.
Jika ini terjadi, maka dalam PRU seterusnya (14) nanti akan jadi lebih haru biru. Mungkin pembangkang dalam parlimen ketika itu telah pun pupus disebabkan semua kerusi parlimen dan DUN dimenangi oleh mereka.
Akhir kata, sekali lagi saya memohon maaf kerana meletakkan pihak SPR di kedudukan terburuk sebelum ini walaupun sebenarnya pihak yang menjalankan pilihan raya parti itu lebih buruk.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Beduk Canang.
Tidur di masjid, Istimewa PAS, menjelas kehidupan.. & saranan..
-
*1. Tidur di masjid, Istimewa PAS, menjelas kehidupan.. *
*Soalan:*
Pada setengah masjid ramai orang tidur di dalamnya sama ada kerana berehat
atau ...
6 minutes ago