SharpShooter Followers


Wednesday, November 03, 2010

Wang Zakat pun dikatakan rasuah



Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mempertikai laporan yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada masyarakat Orang Asal yang diislamkannya sebagai rasuah.

Abdul Halim berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenarnya menyampaikan wang zakat kepada tiga masyarakat Orang Asli selepas mengislamkannya di perkampungan Orang Asli, Sandrop.

“Bukan rasuah tapi zakat kepada tiga Orang Asli. Saya sudah mengesahkan perkara ini. Wang itu diberi kepada tiga Orang Asli selepas Tok Guru mengislamkan mereka.

“Zakat boleh dibayar di mana-mana atau pada bila-bila masa. Apatah lagi kepada saudara baru yang memeluk Islam. Takkanlah beri zakat kepada tiga orang itu rasuah,” katanya dalam sidang media di markas PAS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Mursyidul Am PAS memberi wang kepada mereka yang terbabit sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

Akhbar berkenaan hari ini menyiarkan gambar Mursyidul Am PAS menyampaikan wang kepada Orang Asli selepas diislamkannya di perkampungan Orang Asli Sandrop.

Visual yang sama turut disiarkan berita TV3 malam tadi.

Ekoran itu, Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu melanggar seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Mursyidul Am PAS itu sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.

Justeru, Abdul Halim meminta SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut kerana ia boleh mencemar kredibiliti badan bebas itu selain dipandang sebagai berpihak.

“SPR biarlah terbuka, jangan melihat bila Tok Guru beri duit sikit lalu dikatakan rasuah. Kalau ia meragukan buatlah laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysaia (SPRM).

“Jangan keluar kenyataan yang seolah-olah SPR boleh dilihat sebagai memihak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim yakin pemberian ‘wang ihsan’ akan berleluasa di kawasan Dun Galas menjelang tempoh pilihan raya yang berbaki tidak sampai 24 jam lagi.

“Saya yakin ‘wang ihsan’ akan melebar di sini pada pilihan raya ini yang dikeluarkan kepada golongan-golongan tertentu yang dikelaskan sebagai golongan miskin terutama golongan atas pagar,” katanya.

“Walaupun sekarang ini ia diberi di tempat-tempat lain tapi akan diberi juga di sini kerana di sini juga ramai orang miskin. Ini menampakkan ‘wang ihsan’ itu diberi seolah sogokan untuk menarik undi,” katanya.

Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan walau apapun penjelasan PAS mengenai wang yang diberikan kepada beberapa Orang Asli Isnin lalu, ia masih dianggap sebagai sogokan di bawah undang-undang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun PAS berkata ia adalah zakat, tetapi di mata undang-undang, wang yang diberikan oleh siapapun kepada pengundi yang bol
eh mengubah undi mereka, dianggap rasuah mengikut Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.

Katanya, SPR telah memaklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.
"Mereka telah melihat video, dan mereka mungkin mengambil inisiatif untuk menyiasat kes ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Gua Musang. Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada calon, penduduk Galas atau parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu untuk melaporkan kes tersebut supaya SPRM boleh mengambil tindakan.

Sharpshooter - TV3 melaporkan PAS sengaja memberi zakat ketika kempen di Galas. Mereka boleh berbuat demikian selepas PRK Galas. Begitulah berita TV3, hidup sebenarnya lebih sihat tanpa TV3 lebih-lebih lagi semasa kempen pilihanraya.

B-end masih gunakan taktik yang sama iaitu janji pembangunan, pembangunan, pembangunan..semoga rakyat semakin cerdik dari diperbodohkan sepanjang masa.


Sepatutnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mendapat saudara baru. Inikah wajah umno yang mengaku kononnya memperjuangkan Islam?


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/