SharpShooter Followers

Tuesday, May 10, 2011

Rais dan Hishammuddin perlu mohon maaf secara terbuka

PAS menuntut dua anggota Kabinet pentadbiran Najib memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana bersikap lepas tangan terhadap Utusan Malaysia, yang menyiarkan laporan didakwa cuba menimbulkan ketegangan antara agama.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sikap diambil Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dilihat cuba melindungi Utusan Malaysia walaupun akhbar itu mengeluarkan laporan yang berunsur fitnah dan salah.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Dua menteri ini kena memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesengajaan mereka memberikan respons yang tidak sewajarnya dengan niat menjadikan keadaan ini semakin gawat.

“Sepatutnya Hishammuddin menggantung Utusan Malaysia sebagai tanda kita serius kepada perkara-perkara yang mengundang kepada keadaan yang tidak harmoni ini, Utusan Malaysia harus diberikan pengajaran kerana perbuatan Utusan Malaysia ini sudah melampau dan kalau dibiarkan akan berlaku huru-hara dalam negara,” kata Mahfuz pada sidang media di sini.

Tambah beliau, Hishamuddin juga harus menggantung permit Utusan Malaysia bagi “melegakan” rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara.

“Saya minta Hishamuddin hentikan provokasi perkauman, tunjukkan sifat sayangi Malaysia dan bukan sifat sayangi kerusi empuk singgahsana mereka

“Kalau Hishammuddin enggan hentikan saya bersedia untuk berdebat dengan beliau supaya masing-masing boleh bentangkan sama ada betul atau tidak Melayu diancam, biar rakyat adili dan kita akan buktikan Umno adalah pengkhianat yang sebenar,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, laporan Utusan Malaysia itu telah menimbulkan keadaan tidak kondusif dalam negara selain berniat membangkitkan lagi api perkauman dan keagamaan.

“Laporan Utusan Malaysia telah menimbulkan keadaan yang tidak kondusif dalam negara dan jadikan rakyat tidak tenang kerana dirasuk oleh berita yang bersifat jahat, saya kira laporan itu menambahkan api perkauman dan keagamaan sempit yang sering dimainkan media Umno-BN.

“Kita tidak boleh biarkan perkara sebegini dibiarkan, tindakan harus diambil segera,” katanya.

Selepas pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia, Rais berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.

Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.

Sementara itu, Hishammuddin pula menyifatkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, jika benar, adalah sesuatu yang serius.

Katanya, apa juga tindakan dari satu agama akan mengundang reaksi dari penganut agama lain.

Tegas Mahfuz, laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia itu memperlihatkan Umno kini berada dalam keadaan semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

“Laporan seperti ini memperlihatkan politik Umno kini berdepan dengan keadaan sesak nafas yang menyebabkan saluran pernafasan politik Umno semakin sempit sehingga terpaksa gunakan pendekatan yang tidak bermoral, saya anggap apa yang dilaporkan itu menggambarkan Umno-BN sudah menyimpang dari landasan... iaitu sudah bawa negara keluar dari landasan demokrasi yang kita amalkan.

“Oleh itu saya nasihatkan Umno-BN jangan sampai menagih simpati pengundi Melayu dengan merosakkan seluruh struktur negara yang telah kita bina, pemimpin Umno tidak harus ambil pendekatan seperti penagih dadah yang tegar yang sanggup buat apa sahaja termasuk sanggup bunuh ibu sendiri untuk dapatkan dadah,” katanya.’

Malah kata Mahfuz, “jangan sebab nak dapatkan sokongan sanggup rosakkan negara, tidak wajar Utusan Malaysia mengeluarkan laporan yang tidak tepat, laporan itu sangat serius dan Hishammuddin dan Rais perlu ambil tindakan,” katanya.

Sharpshooter - umno sudah terdesak, peristiwa 13 Mei mahu diulang, mereka mahu buat huru hara demi untuk mengekalkan kuasa. Jangan terperangkap dengan paluan gendang sumbang umno sebagai helah mereka untuk terus kekal berkuasa.

Mungkinkah akan ada pemimpin Pakatan Rakyat akan ditahan dibawah ISA selepas ini?

Kenyataan bersama antara Paderi- paderi Kristian Pulau Pinang dan
Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng pada 9 Mei 2011 di
Komtar, Penang.

1. DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah
meminta paderi- paderi Kristian berdoa meminta Tuhan untuk campur
tangan dalam usaha untuk membentuk Malaysia sebagai negara Kristian
ataupun mempunyai Perdana Menteri Kristian.

2. Paderi Kristian dan pihak Gereja selalunya berdoa agar diberi
keberkatan kepada negara, keamanan dan kehidupan yang lebih baik,
penyatuan dan keharmonian di antara semua bangsa dan kepimpinan yang
jujur dan adil.

3. Pihak paderi dan gereja dibelenggu kekecewaan berikutan dakwaan
penipuan tersebut yang dilaporkan di media massa. Kami dengan tulus
mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil
tindakan terhadap Utusan Malaysia yang mencetak dan menyebarkan
pembohongan berbahaya seperti yang telah menganggu keharmonian
kepelbagaian agama daripada pelbagai masyarakat, mencetuskan rasa
takut dan gelisah di kalangan rakyat Malaysia terutama di kalangan
penganut Kristian.

4. Kami melahirkan keprihatinan bahawa Utusan Malaysia menyebarkan
pembohongan yang sungguh bahaya yang boleh menyebabkan kebencian
diwujudkan terhadap penganut agama Kristian dan juga membolehkan
perasaan kebencian diwujudkan terhadap penganut agama Kristian yang
boleh menyebabkan implikasi- implikasi yang tidak diingini.

5. Ketua Menteri Pulau Pinang akan terus mengadakan perjumpaan dengan
pemimpin Kristian, Ketua Paderi ataupun Paderi seperti mana perjumpaan
yang dilakukan terhadap ulama- ulama Islam, sami- sami Buddha atau
Hindu selaras dengan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri Pulau
Pinang.

6. Kenyataan bersama ini dibuat bersama Christian Federation of
Malaysia (CFM) yang dianggotai oleh:

a) Roman Catholic Church
b) Council of Churches of Malaysia (CCM)
c) National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng

Video di bawah adalah penjelasan YB Khalil Samad tentang isu kristian.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/