SharpShooter Followers

Thursday, May 26, 2011

Selangor kenal pasti tapak baru untuk rumah anak yatim

Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti sebidang tanah yang sesuai untuk membina premis baru bagi menempatkan kanak-kanak dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim  berkata, kerajaan negeri akan menawarkan tapak baru tersebut kepada Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia untuk dibina premis baru, selepas bangunan yang lama disahkan tidak selamat untuk diduduki.

"Kita akan wartakan tapak ini sebagai tapak untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan Madrasah Al-Taqwa bolehlah memohon tapak berkenaan untuk membina bangunan baru dengan bayaran premium paling rendah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar.

Khalid dalam kenyataannya mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan tapak untuk membina bangunan bagi melaksanakan program-program kebajikan dengan hanya mengenakan bayaran premium tanah serendah RM1.

"Bagaimanapun, NGO ini perlu mematuhi semua peraturan dan menjalin kerja sama dengan pihak berkuasa dalam melaksanakan program-program kebajikan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya lagi.

Mengenai anak-anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Khalid berkata usaha sedang dijalankan untuk menempatkan mereka di sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah menyumbangkan RM1,000 untuk mangsa dan keluarga manakala kerajaan negeri menyumbang RM5,000.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula menyalurkan sumbangan RM217,000 untuk diagihkan kepada semua mangsa dan keluarga.

Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga membiayai penempatan sementara ahli keluarga mangsa di Azwen Resort, sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal juga dihantar bagi membantu pihak berkuasa menjalankan kerja mencari dan menyelamat selain bantuan keperluan harian kepada semua pihak yang terlibat.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone