SharpShooter Followers


Friday, December 31, 2010

Gobala diminta tarik balik

Beberapa pemimpin India Parti Keadilan Rakyat hari ini berhimpun di ibu pejabat parti itu di sini bagi menjawab segala dakwaan yang dilontarkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan terhadap kepimpinan parti.

Mereka terdiri daripada Naib Presiden Keadilan yang baru, N. Surendran; Exco Selangor, Dr. Xavier Jeyakumar dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Menurut mereka, dakwaan Gobalakrishnan adalah tidak berasas termasuk tuduhannya bahawa Anwar Ibrahim meminggirkan masyarakat India dan mengarahkan penutupan Kuil Sivan di Bukit Gasing di sini.

Surendran yang nyata kecewa dengan dakwaan berkenaan secara keras menuntut Gobalakrishnan agar menarik balik kenyataan tersebut serta-merta.

Menurutnya, jika Gobalakrishnan gagal berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

"Dakwaan itu dipandang serius oleh kepimpinan parti dan ia adalah kenyataan yang tidak adil dan tidak benar sama sekali.

"Selain itu, kita juga menuntut beliau menarik balik kenyataan berkenaan yang berupa dakwaan salah terhadap Xavier berhubung isu kontrak komputer yang dihebahkan secara meluas di media baru-baru ini," katanya.

Jelas Surendran, pihaknya berharap agar Gobalakrishnan dapat menarik balik kenyataannya jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sementara itu, Manikavasagam yang menjawab tuduhan berhubung penutupan Kuil Sivan berkata, Anwar tidak pernah mengarahkan agar kuil tersebut ditutup.

Ujar beliau, ia diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas faktor keselamatan berikutan berlakunya tanah runtuh di cerun berdekatan.

"Saya kecewa dengan kenyataan yang mengatakan Anwar mengarahkan kuil itu ditutup. Jika berlaku runtuhan dan terjadinya bencana, sudah tentu orang ramai akan menuding jari kepada kerajaan negeri.

"Jika beliau (Anwar) arah tutup, sudah tentu saya orang pertama yang akan bising. Sebenarnya, kita amat menitikberatkan keselamatan orang ramai," katanya.

Perkara itu turut disokong Xavier yang menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu tersebut.

Mengenai pelantikan Surendran selaku Naib Presiden Keadilan, Manikavasagam secara berseloroh menyatakan bahawa beliau dan beberapa pemimpin India dalam parti tidak berhadapan dengan sebarang masalah kerana ia adalah keputusan Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya yang bawa beliau masuk ke dalam Keadilan pada 2002. Apabila beliau dilantik sebagai Naib Presiden, saya terima dengan hati terbuka termasuk Xavier," tegasnya.

"Ini keputusan parti dan kita kena akur. Kita akan bekerja bersama dengan Surendran," tegasnya.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/