SharpShooter Followers


Wednesday, December 22, 2010

Sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat P.Pinang merudum

GEORGE TOWN, 21 Dis – Pakatan Rakyat (PR) mengakui perikatan tiga parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan orang Melayu berbanding situasi dua tahun lalu, ekoran serangan bertubi-tubi Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan bandar, kata Datuk Mansor Othman.

Menurut timbalan ketua menteri itu (gambar), serangan berterusan media dikuasai Umno khususnya Utusan Malaysia telah mengalih aliran sokongan daripada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, yang menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Baki 11 kerusi dipegang oleh Umno.

Mengambil kira persekitaran itu kata beliau, pihaknya sedang memfokus usaha peringkat kedua untuk memperbaiki keadaan menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Sokongan orang Melayu menurun, ada kajian bebas dikendalikan beberapa ketika dulu, yang menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang menurun, dijalankan oleh Merdeka Center... bagi saya, ia kesan serangan berterusan, diserang oleh media, media arus perdana.

“Jika anda berbohong sekali, dua kali orang tidak akan percaya anda.

“Tetapi jika anda berbohong 20 kali, mereka akan terpengaruh,” kata Mansor dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri dari Keadilan ini menyenaraikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang memperlihatkan peralihan signifikan dalam sokongan orang Melayu, yang kembali kepada Umno.

Antaranya ialah Seberang Jaya dan Bayan Lepas, yang kedua-duanya dimenangi Umno.

Kerusi DUN Seberang Jaya terletak dalam bahagian Parlimen, yang wakilnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah kerusi-kerusi Umno yang kami bimbang kerana ini adalah kerusi yang Keadilan bertanding.

“Saya bimbang dengan kerusi-kerusi (yang diperuntukkan) kepada Keadilan dan PAS, bukannya kerusi ditanding DAP.

“(Pun begitu) kerusi-kerusi (ditandingi) DAP juga perlu diberi perhatian, misalnya Sungai Pinang, yang majoritnya orang Melayu,” kata Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Daripada 29 kerusi dipegang oleh Pakatan Rakyat, DAP menguasai 19 manakala Keadilan sembilan dan PAS satu.

Mansor yang bulan lalu dipilih sebagai naib presiden Keadilan berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak risau sangat mengenai sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, yang lazimnya merupakan penyokong tradisi Umno.

“Kali ini kami perlu menangani isu perkauman, isu perkauman yang dimainkan (secara besar-besaran), ia sangat bahaya di sini... di Pulau Pinang khususnya apabila mereka memainkan elemen tiga ‘R’ iaitu kaum, agama dan raja (‘race, religion and raja’).

“Kami risau mengenai sokongan pengundi (Melayu) bandar beralih kepada Melayu, selepas datang kepada kami pada 2008. Kini sokongan kelihatan beralih semula (kepada mereka),” katanya lagi.

Semalam, sehari selepas Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas, Pulau Pinang, Utusan Malaysia memberi liputan besar-besaran kepada pemimpin-pemimpin Umno, yang antara lain memanggil DAP sebagai “raja perkauman.”

Dalam serangan terbaru itu, akhbar tersebut menyenaraikan rencana bertajuk “Kebiadapan Guan Eng” dengan menyenaraikan tindakan-tindakan mendakwa anti orang Melayu.

Lim dalam responsnya berkata akan menyaman Utusan Malaysia selepas ia kelmarin menyifatkan DAP sebagai alat kerajaan asing dan meminta parti itu diharamkan.

Ekoran perkembangan itu, Mansor memberitahu The Malaysian Insider bahawa Pakatan Rakyat perlu menangani siri pembohongan dan kerajaan negeri akan memfokus pada skim atau program yang akan memanfaatkan masyarakat Melayu.

“Apa yang kami perlu lakukan ialah bukan saja menyangkal pembohongan-pembohongan ini, tetapi juga memfokus pada usaha-usaha kami. Projek pembaharuan bandar, memfokus ke atas kawasan-kawasan setinggan tanpa mengira kaum, tetapi memberi fokus lebih ke atas kawasan-kawasan bandar, yang didiami orang Melayu... ada kawasan-kawasan penempatan orang Melayu di bandar seperti Tanjong Tokong, dan Bukit Jelutong.

“Kami harus memberi lebih fokus untuk mengatasi isu-isu ini, perlu diadakan skim perumahan mampu dimiliki.

“Kami telah membuktikan bahawa kami ada kerajaan yang baik (berbanding kerajaan negeri sebelum 2008 pimpinan BN), tetapi ia tidak cukup. Perlu ada projek pembangunan fizikal untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kami memang melakukan sesuatu, beberapa projek pendidikan yang konkrit, pelancongan,” kata beliau.

Mansor juga menolak serangan Utusan Malaysia ke atas Lim dan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak logik dan bermotifkan “politik semata-mata.”

“Apabila kami membuka tender, kami telah mendedahkan bahawa kesemua projek JPS bagi tahun 2010, seratus peratus diberikan kepada orang Melayu... di JKR, 98 peratus projek diberikan kepada orang Melayu.

“Kami telah menunjukkan orang Melayu juga berdaya saing. Jika mereka tidak boleh berdaya saing, bagaimana mereka boleh memperoleh tender-tender ini? Jadi, mereka menggunakan soal perkauman,” kata Mansor.

Sehubungan itu, Mansor menekankan, kerajaan negeri perlu mempertingkatkan usaha untuk menangani isu-isu yang dibangktikan supaya dapat dikawal menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun kata beliau, ini kali pertama kerajaan negeri, khususnya di bawah Pakatan Rakyat, ada inisiatif untuk membantu orang Melayu.

Katanya, pada masa-masa lalu projek seumpama itu datang daripada kerajaan persekutuan seperti menerusi agensi Perda dan Jabatan Kemajuan Persekutuan.

“Tetapi apa yang hendak saya katakan ialah ada inisiatif (oleh kerajaan negeri semasa). Kerajaan negeri masa lalu tiada inisiatif, tetapi kami (kerajaan negeri Pakatan) lakukan,” kata beliau.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menjanjikan kakitangan awam akan diberikan ganjaran lebih baik sekiranya mereka memperbaiki prestasi mereka.

Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan bayaran imbuhan tambahan, lebih baik berbanding kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain sempena perayaan Maal Hijrah dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Penerimaan RM800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.


Sharpshooter - Kalau sudah sedar baguslah, selesaikan segera masalah tanah wakaf di Bagan, masalah rumah di Teluk Kumbar, masalah di Jelutong, masalah di Genting, masalah gerai, masalah perumahan dan lain-lain lagi.

Bertindak
sekarang jangan sampai rakyat kata TKM 1 lembik dan tak mampu selesaikan masalah orang Melayu di P.Pinang. Di Pulau Pinang juga penerangan dari segi billboard amat kurang, hanya 7 siri risalah isu semasa dan terbitan Suara CAT baru 4 edisi yang dikeluarkan hingga kini sedangkan media perdana serang Pakatan Rakyat di setiap rumah melalui TV 24 jam tanpa henti.

Kesimpulannya potfolio Penerangan Negeri P.Pinang amat lemah yang dipegang sendiri oleh Guan Eng. Sepatutnya setiap program yang dilancarkan akan terpampang di billboard besar, barulah rakyat tahu apa yang Kerajaan Negeri P.Pinang telah laksanakan tetapi malangnya ini tidak berlaku di P.Pinang jika nak dibandingkan dengan Negeri Pakatan Rakyat yang lain terutamanya Negeri Selangor.

Billboard memang banyak di negeri Selangor, TV Selangor juga begitu aktif dan efisyen tetapi di P.Pinang, TV Mutiara atau TV Penang pun tiada. Sekadar teguran membina untuk Negeri Pakatan Rakyat di P.Pinang.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/