SharpShooter Followers

Thursday, February 02, 2012

Hampir 3,000 akan sertai Perarakan di Pulau Pinang.

Seperti kelaziman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Majlis Perhimpunan Ummah dan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1433H/2012M pada 5 Februari yang akan bermula jam 7.00 pagi di Padang Kota Lama dan berakhir di Dewan Sri Pinang.

Pelepasan perarakan akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Mansor Othman, sementara Majlis Perasmian oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. “Rasulullah SAW Pencetus Perubahan” telah dipilih sebagai tema perayaan pada tahun ini.

Seperti tahun-tahun lepas, pelbagai progam telah disusun. Ia bermula pada 2 Februari dengan majlis Bacaan Yasin dan Tahlil di Masjid Negeri dan seluruh masjid Pulau Pinang.

Diikuti pada 11 Februari dan 12 Februari 2012, program bacaan Kitab ‘Ithaful Ikhwan al-Mutaqin ila Ma’rifati Sayyidil Awwalin wal Akhirin,’ oleh Ustaz Haji Rosli Othman, Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura akan diadakan di Masjid Negeri pada jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Dijangka 2500 peserta perbarisan daripada lebih 50 kontinjen terdiri daripada orang kenamaan, agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, khariah masjid dan orang perseorangan akan menyertai perarakan tahun ini.

Seperti kelaziman, majlis anugerah Maulidur Rasul meliputi Tokoh Maulidur Rasul dan Anugerah Khas akan dikurniakan kepada individu daripada pelbagai latar belakang sebagai menghargai sumbangan dan kecemerlangan mereka kepada negeri dan negara.

Seramai empat individu telah dipilih untuk menerima Tokoh Maulidur Rasul, Anugerah Khas Kemasyarakatan, Anugerah Khas Agama dan Anugerah Khas Inovasi.

Sebelum itu, majlis akan diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh adik Omar Shazuli Mohd Tahir, Johan Tilawah Al-Quran antara Sekolah Menengah Peringkat Negeri Pulau Pinang. Ini disusuli dengan majlis berzanji dan selawat daripada kumpulan Wardatul Aeman daripada Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).

Ustaz Ahmad Fawwaz Dato’Fadzil Noor daripada Kolej Insaniah Kedah (KUIN) akan mengisi slot ceramah agama sebelum acara kemuncak Majlis Anugerah Tokoh Maulidur Rasul disampaikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) yang telah menjalin kerjasama dengan menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 1 hingga 10 Februari lalu.


YB. ABDUL MALIK KASIM

Pengerusi Sambutan Majlis Perhimpunan Ummah dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang, 1433H / 2012M

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/